Bagi ibu-ibu yang baru mengandung kali pertama, atau wanita yang sedang merancang untuk hamil buat kali pertama, pastinya banyak pertanyaan dan persoalan yang berlegar di minda. Apa yang perlu dilakukan, bila perlu dilakukan sebagainya. Perancangan awal amatlah penting bagi memastikan semuanya berjalan dengan baik tanpa sebarang perkara yang diingini.
BESARKAN TEKS A- A+
Memang benar yang hamil itu si ibu, namun, bakal-bakal bapa yang baik juga perlu mengambil tahu tentang perkara-perkara ini bagi membantu memudahkan semua berjalan dengan lancar.
Iluminasi.com ingin berkongsi kepada wanita diluar sana, dan juga kepada bakal-bakal bapa 10 perkara yang anda perlu tahu jika mengandung kali pertama menurut Poliklinik Az-Zaara.
1. Pengambilan Asid Folik
Asid folik perlu dimakan sejak 3 bulan sebelum mengandung. Pengambilan asid folik ini sangatlah penting. Menurut Centers for Disease Control and Prenvention (CDC), dengan pengambilan 400mg sehari sekurang-kurangnya sebulan sebelum hamil dan 3 bulan pertama kehamilan, anda dapat mengurangkan kemungkinan bayi anda mengalami kecacatan neural tiub seperti "spina bifida" sebanyak 50 hingga 70 peratus. Pengambilan asid ini juga membantu mencegah beberapa kecacatan kelahiran yang lain.
2. Dapatkan ultrasound scan
Ultrasound scan awal perlu dilakukan seawal 8 ke 12 minggu untuk memastikan tarikh dijangka bersalin. Proses ini memudahkan para ibu dan bapa supaya dapat bersedia lebih awal menjelang hari yang ditunggu.
3. Pendarahan
Dapatkan pemeriksaan segera jika berlaku pendarahan atau sakit perut pada awal kandungan. Jika perkar ini berlaku, anda mungkin mengandung di luar rahim atau mengalami keguguran. Ujian ultrasound scan dari bawah mungkin perlu dilakukan jika kandungan terlalu awal.
4. Loya-loya dan muntah
Jika anda mengalami loya-loya dan muntah, ia perlu dirawat segera agar tidak mendatangkan kemudaratan kepada si ibu dan bayi. Kemungkinan ia bukan hanya alahan mengandung, dan berkemungkinan terdapat jangkitan salur kencing, gastrik dan lain-lain.
5. Ujian darah
Ujian darah perlu dilakukan seawal mungkin. Antara salah satu daripada sebabnya ialah mahu memastikan darah merah mencukupi untuk ibu dan bayi.
6. Ubat-ubatan
Kebanyakannya tidak sesuai untuk ibu mengandung. Sebelum mengambil apa-apa jenis ubatan, adalah lebih baik jika anda dapatkan nasihat doktor tentang ubat yang mana boleh diambil oleh ibu mengandung.
7. Pemakanan seimbang
Antara perkara yang paling penting ketika hamil adalah pemakanan. Ibu yang hamil seelok-eloknya makan makanan berkhasiat dan banyak minum air kosong. Jangan terlalu banyak berpantang. Bersederhana dalam setiap jenis makanan.
8. Lebihkan bersenam
Ibu mengandung digalakkan untuk melakukan senaman ringan bukan sahaja untuk mengekalkan berat badan ideal, malah untuk memastikan ibu mempunyai stamina semasa bersalin nanti. Ia juga membantu mempercepatkan proses pemulihan selepas bersalin.
9. Peka terhadap pergerakan bayi
Biasanya pergerakan oleh bayi di dalam rahim anda boleh mula dirasai oleh ibu yang mengandung kali pertama sejak 20 minggu. Jika anda masih tidak merasa pergerakan bayi, dapatkan pemeriksaan doktor segera.
10. Ujian minum air gula
Ujian ini penting untuk mereka yang mempunyai faktor risiko kencing manis, seperti berat badan naik mendadak, BMI yang tidak normal, terdapat gula dalam kencing serta sejarah keluarga yang menghidap kencing manis.
Silakan kongsi. Semoga bermanfaat.