Oleh pada 06 Jun 2022 kategori

Bagi segelintir individu di luar sana, mereka merasa tanggungjawab menjadi ibu bapa dalam zaman sekarang ini mudah. Realitinya menjadi ibu atau bapa setiap hari jauh berbeza berbanding persepsi.

Ketahanan mental dan fizikal perlu dikuasai. Silap langkah, ibu bapa boleh jadi terlalu emosi akibat perangai anak kandung sendiri. Bila dah jatuh pada bahu sendiri, barulah kita sedar mak aih susahnya nak membesarkan anak sendiri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima salah tanggapan orang muda terhadap mak ayah mereka sendiri, yang hanya akan disedari bila mereka pula dah mempunyai anak sendiri.

1. Kita rasa kita dah berjaya tipu mak ayah kita, realitinya...

anak berbohong menipu selamatkan diri

Cuba ingat balik zaman muda anda dulu, pernah tak anda tipu ibu bapa anda? Mesti ada kan? Orang muda ni biasanya menipu kerana nak menyelamatkan diri sendiri.

Bila muda kita memang selalu lakukan kesilapan jadi 'keperluan' nak menipu tu pun banyak. Kita pula waktu tu kurang kesedaran dan keberanian untuk tanggung akibat daripada kesilapan kita...jadi kita pun menipu sebagai jalan terakhir. 

Setiap kali menipu mak ayah kita kita rasa legalah bila terlepas, sambil ada  rasa bijak kerana berjaya cipta alasan yang membuatkan mak ayah kita percaya dengan kita. 

Dah ada anak ni barulah kita sedar, mak ayah kita dulu tahu sebenarnya bila kita menipu tapi diorang malas nak layan kita punya belit. Bila ada anak sendiri kita sebagai mak ayah dah boleh hidu dah taktik menipu anak, cara dia putar ayat dan riak muka dia masa dia nak menipu.

Tetapi kita lepaskan juga anak kita dengan nasihat, walaupun dalam hati kita nak tergelak dengan anak sendiri yang ingat dia berjaya tipu kita. Terus kita teringat balik semua detik kita cuba memanipulasi mak ayah kita yang kita sangkakan berjaya...

2. Masa muda kita nak bebas tapi bila dah ada anak...

kumpulan remaja bermasalah ponteng sekolah

Siapa sini dulu cukup rimas kena kongkong dengan mak ayah dia, sila angkat tangan?

Ke sana ke mari nak kena minta kebenaran. Kena ikut jadual mak ayah dia. Kalau mak ayah nak ke rumah saudara kena ikut. Semua perkara tu membuatkan kita masa muda nak rasa bebas saja tanpa boleh mak ayah kawal kita.

Bila dah ada anak sendiri barulah kita sedar kenapa.

Masa kita dengan anak kita ni duduk sekali tak lama pun bagi ramai orang. Ada yang sejak usia 13 tahun dah duduk asing di asrama. Ada yang bila capai usia 18 tahun dah mulakan hidup sendiri. Ada pada usia 24 tahun lepas graduasi bertemu penamat duduk dengan mak ayah.

Semasa muda, kita meronta-ronta nak bebas tapi bila dah ada anak sendiri kita tahu masa penuh kita dengan anak kita ni ada tarikh luput dia. Masalahnya anak-anak kita pun akan ulang perangai sama macam kita dulu; nak bebas, nak keluar lepak, tak nak kita kawal.

3. Masa muda kita nak sangat 'cepat' dewasa tetapi...

anak tak sabar mahu jadi dewasa

Semua orang yang ada anak pasti setuju bahawa setiap anak muda patut menikmati usia muda mereka sebaiknya dengan seperlahan mungkin. Tak perlu cepat-cepat nak jadi dewasa kerana jadi dewasa ni bebannya jauh berbeza berbanding remaja.

Sebaliknya bagi majoriti orang-orang muda - mereka gian nak jadi dewasa cepat.

Mereka mahu rasa ada duit pendapatan dan kenderaan sendiri. Nak keperluan yang dipenuhi dengan cara sendiri. Lagi cepat dibenarkan galas tugasan orang dewasa, lagi bagus bagi mereka.

Semua keinginan itu nampak best kerana kita belum faham apakah keperluan yang perlu dipenuhi. Bila dah dewasa dan ada nak, barulah kita faham menjadi dewasa ini sesuatu yang agak 'membosankan' rutinnya. 

4. Dah ada anak barulah kita rasa takut siapa kawan-kawan anak kita

remaja pelajar sekolah bermasalah disiplin

Semasa muda kita tak faham sangat apa itu pengaruh rakan.

Bagi mereka yang bernasib baik membesar dalam persekitaran yang baik, syukurlah. Malangnya ada juga di antara kita yang lahir dan menetap dalam kawasan bermasalah di mana kadar jenayahnya tinggi, ketagihan dadah adalah biasa dan pergaduhan menjadi penyelesai sengketa.

Untuk tinggal di kawasan sedemikian rupa, kawan-kawan yang kita pilih itulah yang akan menentukan hala tuju kita. Masa kita muda, kawan adalah kawan biarlah dia seburuk mana pun perangai dia. 

Bila dah jadi ibu bapa ni barulah kita rasa risau saja bila anak kita mula berkawan dengan samseng kampung. Akrab pula tu. Kita jadi takut anak kita terlibat dengan jenayah. Diajar merokok atau hisap dadah. Dibawa berlumba motor, berdansa di kelab malam. Digalak buat benda tak senonoh kerana mencari rasa 'cool.'

Dah ada anak sendiri, barulah kita sedar kita tak mahu anak kita lakukan kesilapan sama yang pernah kita buat. Bapak-bapak yang masih merokok pun tak nak anak mereka merokok atau mendekati apa saja jenis rokok!

5. Dah ada anak, barulah kita menyesal tak luang masa dengan mak ayah kita...

malu keluar dengan ibu bapa

Bagi sesetengah individu yang dah bergelar anak muda, dilihat berjalan dengan ibu bapa di kompleks beli belah merupakan sesuatu yang agak memalukan.

Atas perasaan itu ramai anak muda memilih untuk enggan keluar berjalan-jalan dengan mak ayah ketika mereka sudah sampai satu peringkat usia. Kalau boleh nak duduk di rumah saja lebih baik daripada memalukan diri sendiri. 

Apa pula perasaannya bila kita dah ada anak sendiri dan kita pula kena harungi pengalaman sama? Sangat menyedihkan bukan bila kita kena terima hakikat anak kita dah tak nak keluar bersama, sebab keluar dengan kita dikata akan memalukan dia. 

Bila dah dihurung rasa sayu, kita akan kembali mengimbau balik pengalaman sendiri bagaimana susahnya kita nak ikut mak ayah kita keluar dulu.

Rasa marah kita pada mak ayah yang paksa yang kita ikut juga dulu, semuanya dilihat dalam perspektif berbeza bila kita dah berhadapan sendiri situasi sama.

6. Pedihnya hati kalau anak mengutamakan boyfriend/girlfriend berbanding kita

anak gadis lari ikut teman lelaki

Bila dah bertemu buah hati, biasanya hidup anak muda akan mula beralih fokusnya kepada yang disayangi. Semua permintaan akan dilayan penuh. Mesej mesti berbalas. Kalau boleh nak jumpa setiap hari.

Biarlah cinta monyet sekalipun, baru sekolah menengah dah mula pasang impian nak bergelar raja sehari bersama-sama. Yang sekolah rendah pun dengar cerita ada yang dah mula langkah sama.

Mak ayah larang bercinta, semua larangan langsung tak diendahkan. Mak ayah kata belajar dulu, bina hidup sendiri dulu; ah, pada kita semua tu hanyalah halangan. Siapa mak ayah kita nak halang kita daripada percintaan?

Dah bergelar mak ayah barulah kita sedar betapa sakitnya hati ni kalau anak sendiri perlakukan kita sedemikian rupa. Teringatlah kita susah membesarkan dia, basuh berak dia, bagi dia makan, ajar dia bermacam benda; alih-alih si jantan keparat muka minta penumbuk tu jugalah yang dia sayang sangat-sangat.

Tegur dengan tegas, mulalah ugut nak lari rumah, nak gantung diri. Anak tuduh mak ayah tak faham perasaan anak. Sebenarnya kita faham kan, mak ayah? Tak ada manusia lain yang faham anak dia melainkan mak ayah dia. 


Sekiranya anda masih remaja atau anak muda yang membaca artikel ini, penulis ingin mengingatkan agar anda tidak mengulangi kesilapan-kesilapan yang mungkin ibu bapa anda sendiri sedang kesalkan.

Waktu muda memang kita nak dilayan dewasa, buat keputusan kita ikut masa kita, berkawan dengan siapa kita suka dan mencorak hidup seperti mana pilihan kita. Namun realitinya semua itu hanyalah fasa pemberontakan pendek yang tak akan membawa anda ke mana-mana sekiranya perasaan anda terlalu dituruti.

Apa yang akan terus selepas semua sesi tunjuk perasaan kita sebagai anak muda selesai, hanyalah ibu bapa anda yang kami yakin setia menanti anda sedar, tak kiralah pada usia apa. Ini kerana mereka tahu apa yang sedang anda lalui dan seboleh-bolehnya tak mahu anda rasai apa yang mereka telah lakukan dan kesalkan, semasa membesarkan anda.




Hakcipta iluminasi.com (2017)