Apabila kita menyebut tentang pembunuh bersiri, pasti kita terus terbayangkan kelibat seorang lelaki dengan wajah mengerikan sambil memegang pisau yang panjang. Bagaimana pula jika pembunuh bersiri itu adalah seorang wanita? Mungkin agak sukar membayangkannya apatah lagi jika pembunuh itu berperwatakan baik, cantik dan peramah.
Mungkin wanita itu sebenarnya bekerja di dalam syarikat yang sama dengan kita, tinggal dalam kejiranan yang sama atau boleh jadi dia merupakan cikgu kepada anak-anak kita. Begitulah beberapa ciri wanita pembunuh bersiri yang berada dalam senarai ini:
BESARKAN TEKS A- A+
10. The Giggling Granny (1905-1965)
Wanita psiko yang berasal dari Blue Mountain, Alabama ini bernama Nannie Doss. Dia telah didakwa atas tuduhan membunuh beberapa orang ahli keluarganya sendiri. Mangsanya terdiri daripada ibunya sendiri, salah seorang cucu, dua saudara wanita, seorang anak saudara, dan empat orang suami. Mangsa yang pertama adalah cucunya sendiri ketika baru sahaja dilahirkan. Pada tahun 1943, Doss telah membantu anaknya menyambut kelahiran seorang bayi. Ketika masih dalam keadaan sakit melahirkan, anaknya seakan tidak percaya melihat seorang nenek sanggup mencucuk pin ke kepala cucunya sendiri sebelum bayi itu didapati sudah tidak bernyawa.
Pada tahun 1945, Doss yang mendakwa dia telah dirogol suaminya telah memasukkan racun tikus ke dalam bekas minuman arak suaminya dan pada hari yang sama juga suaminya mati. Suami keduanya pula mati dalam satu kejadian kebakaran rumah yang misteri. Manakala suami ketiganya pula mati akibat memakan masakan yang telah diracun oleh Doss. Lebih malang apabila ibu kandung Doss juga menjadi korban apabila tidak sengaja termakan sebahagian daripada makanan itu.
Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Suami keempat Doss mengadu sakit perut sebelum mati mengejut. Ketika mayat suaminya dibedah siasat, doktor menjumpai kandungan arsenik di dalam perut mayat itu dan berasa curiga sebelum membawa kepada penangkapan Nannie Doss. Dia dibicarakan pada tahun 1955 semasa disahkan waras dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup, namun mati 10 tahun kemudian akibat leukimia.
9. Aileen Wuornos (1956-2002)
Kisah mengenai Aileen Wuornos ini pernah dibawa di layar perak melalui filem Monster lakonan Charlize Theron. Semasa kecil, Aileen melihat sendiri ibunya mati dibunuh oleh ayahnya. Aileen mula menjadi “monster” dirogol berulang kali oleh datuk sendiri dan dipaksa melakukan hubungan kelamin dengan beberapa orang yang lain termasuk abang kandungnya juga.
Semasa berusia 20 tahun, dia telah didakwa atas beberapa kesalahan menyerang beberapa individu sebelum bekerja sebagai seorang pelacur. Melalui pekerjaannya, dia akan menumpang sesiapa sahaja yang inginkan perkhidmatan seks dan meminta lelaki yang melanggannya untuk memandu ke tempat terpencil dan sunyi. Namun, dia bukan ke sana untuk memberikan perkhidmatan seks sebaliknya dia akan merompak mangsa menggunakan pistol. Aileen telah didapati bersalah kerana membunuh 9 orang lelaki dan akhirnya ditangkap dan dijatuhkan hukuman bunuh.
8. Dorothea Puente (1929-2011)
Wanita tua yang kelihatan sweet ini sebenarnya seorang yang berhati kering. Dorothea Puente menjalankan pusat perlindungan untuk warga tua, orang kurang upaya dan juga mereka yang mempunyai masalah ketagihan dadah. Jabatan kebajikan masyarakat melihatnya sebagai salah satu contoh teladan yang baik. Namun, sebenarnya ia indah khabar daripada rupa.
Dia mengambil cek-cek yang sepatutnya disampaikan kepada mereka yang kurang bernasib baik dan hanya menyerahkan sebahagian kecil sahaja wang kepada mereka. Seramai 9 orang tidak bernasib baik menjadi mangsa ketamakan dan kegilaan Dorothea. Dia telah memanipulasi seorang kaki botol agar menjadi orang suruhannya, dia mengarahkan untuk menanam kesemua mayat yang telah berjaya dibunuh di tingkat bawah tanah pusat perlindungan tersebut dan juga di bawah batu besar di bahagian belakang bangunan itu.
Akan tetapi selepas pembantunya itu hilang, pihak polis telah datang berkunjung ke pusat itu kerana menerima aduan jiran tentang kelakuan ganjil pembantunya itu yang sering menggali lubang di belakang pusat perlindungan itu. Kali kedua pihak polis datang adalah untuk menyiasat tentang kehilangan seorang warga OKU yang dilaporkan hilang namun Dorothea bukanlah suspek utama mereka. Ketika disiasat, Dorothea memberikan alasan ingin pergi ke kedai namun terus lenyap melarikan diri dari California menuju ke Los Angeles.
Di sana, dia telah berkenalan dengan seorang lelaki tua. Lelaki tua itu juga mungkin boleh turut menjadi mangsa Dorothea namun disebabkan terlihat wajah Dorothea di kaca TV, dia segera menelefon polis yang menjurus kepada penangkapan Dorothea. Semasa perbicaraan, pihak juri telah menunjukkan sikap belas kasihan terhadapnya kerana tidak mencadangkan hukuman bunuh tetapi hanya penjara seumur hidup tanpa parol.
7. Dona Catalina de los Rios Lisperguer (1604-1665)
Dikenali sebagai "La Quintrala", Dona Catalina de los Rios Lisperguer adalah seorang wanita cantik berambut merah namun mempunyai sikap panas baran, dahagakan wang dan seks serta membunuh. Dia sering didenda kerana menyebabkan kematian hamba yang dimilikinya dan dituduh atas 15 kesalahan membunuh. Bukan itu sahaja, dia juga dipercayai terlibat dalam hampir 100 pembunuhan yang lain. La Quintrala mewarisi kekayaan keluarganya yang mempunyai banyak aset di pusat bandar Santiago, Chile dengan membunuh bapa kandungnya sendiri apabila menghidangkan masakan ayam yang diletakkan racun.
La Quintrala bukan sahaja membunuh orang suruhannya, malah dia juga terlibat dalam pembunuhan seorang paderi dan hampir membunuh ibunya sendiri apabila sang ibu cuba menasihatinya. Oleh sebab mempunyai ramai kenalan berpangkat dan status kekayaannya, dia tidak pernah dibawa ke muka pengadilan. Malah dia diangkat sebagai wira kerana penentangannya terhadap penjajahan Sepanyol ke atas Chile ketika dia mendermakan sebahagian asetnya untuk tujuan amal. La Quintrala akhirnya menemui ajal tanpa menerima sebarang bentuk hukuman.
6. Rosemary West (1953-kini)
Rosemary dan suaminya Fred telah menculik, merogol, menyeksa dan membunuh sekurang-kurangnya 10 orang wanita. Mereka menggunakan rumah kediaman sendiri sebagai tempat jenayah. Apa yang pelik, mereka tinggal di bandar Gloucester, England di mana polis di situ sangat terkenal atas ketangkasan dan kecekapan mereka. Fred telah melakukan pembunuhan sebanyak 12 kali manakala Rosemary hanya bersubahat membunuh 10 orang sahaja setelah berkenalan dengan suaminya itu.
Tidak dapat dibayangkan bagaimana kedua-dua psiko ini berjaya bertemu, jatuh cinta, berkahwin dan memuaskan nafsu mereka untuk bersekongkol membunuh orang lain. Fred telah meyakinkan isterinya bahawa mereka perlu membunuh sekurang-kurangnya 20 orang wanita. Ketika mereka ditangkap pada tahun 1995, Fred telah menggantungkan dirinya sehingga mati dalam penjara.
5. Belle Sorenson Gunness (1859-1908)
Tidak seperti pembunuh bersiri wanita lain yang biasanya menggunakan racun untuk membunuh, Belle ialah seorang yang tidak berhati perut kerana suka memancung dan memotong anggota badan mangsanya. Dia akan menggoda mangsanya atas nama cinta sehingga naik ke jinjang pelamin. Belle juga pernah mengiklankan dirinya di dalam akhbar untuk mencari pasangan supaya hidup bahagia berumahtangga. Ramai yang telah datang untuk menemuinya seorang demi seorang. Setiap kali itu jugalah mereka akan menghilang.
Pada tahun 1908, setelah seramai 49 orang didapati hilang secara misteri, akhirnya seorang lelaki telah mendapat tahu bahawa kesemua mangsa yang hilang semuanya mempunyai kaitan dengan Belle. Sebelum sempat pihak berkuasa menahannya, rumah yang didiami Belle telah hangus terbakar. Mereka menemui banyak potongan tubuh badan manusia di bawah runtuhan dan juga mangsa yang dipercayai suami dan anak-anaknya.
Pihak berkuasa juga menjumpai satu mayat wanita tanpa kepala yang dipercayai merupakan Belle namun ada pihak berkata bahawa itu adalah tipu dayanya untuk melepaskan diri. Selepas kebakaran itu, tidak ada lagi sebarang berita atau maklumat mengenai Belle.
4. Mary Ann Cotton (1832-1873)
Apabila bercakap mengenai wanita kurang siuman, Mary Ann Cotton mungkin merupakan yang paling teruk antara mereka. Sebaik sahaja dia mengerti tentang apa itu insurans nyawa, maka bermulalah era kegilaannya untuk membunuh mangsa dan memungut wang pampasan yang dibayar oleh syarikat insurans. Dia telah membunuh sekurang-kurangnya 21 orang ahli keluarganya sendiri. Dia tidak menerima kesemua bayaran bagi setiap mangsanya namun mula berasa teruja dengan tabiat membunuhnya itu.
Dia gemar menggunakan racun arsenik sebagai alat membunuh. Ini disebabkan pada pertengahan tahun 1850-an, pakar perubatan agak sukar untuk menentukan punca kematian akibat keracunan arsenik melainkan beberapa uji kaji yang mendalam. Kebanyakan kes kematian hanya dianggap sebagai sakit gastrik yang kronik.
Ini membuka peluang bagi Mary untuk membunuh empat orang suami, seorang kekasih gelap dan ramai anak tirinya. Dia juga merupakan seorang pembunuh yang bijak apabila berpindah-randah dari satu tempat ke tempat yang lain bagi mengelakkan dirinya disyaki. Apabila dia ditangkap dan didakwa, ramai orang yang berasa amat berang dengannya namun keadaan reda apabila melihat cara dia dihukum bunuh. Algojo yang ditugaskan untuk menjalankan hukuman gantung dengan sengaja menggantungkan Mary dari tempat yang rendah supaya lehernya tidak patah dan membiarkan dia mati secara perlahan-lahan dan menderita.
Setelah beberapa minit menggelupur, dia akhirnya menemui ajal. Orang ramai ketika itu mula menyanyikan lagu yang dicipta khas untuknya semasa Mary masih dalam perbicaraan lagi. Lirik lagu itu berbunyi seperti ini:
Mary Ann Cotton,
She’s dead and she’s rotten
She lies in her bed,
With her eyes wide open
Sing, sing, oh, what can I sing,
Mary Ann Cotton is tied up with string
Where, where? Up in the air
Sellin’ black puddens a penny a pair.
3. Darya Nikolayevna Saltykova (1730-1801)
Darya Saltykova adalah salah seorang pembunuh bersiri yang terlepas hukuman atas kesalahan yang dilakukannya. Bukan sekali atau dua, malah sekurang-kurangnya 138 kali! Wanita yang mewarisi kekayaan daripada mendiang suaminya semasa hanya berumur 26 tahun ini tinggal di estet milik keluarga itu bersama 2 orang anak lelaki yang masih kecil. Dia yang gemar menyeksa dan membunuh orang gaji dan hamba wanita yang dimilikinya sering terlepas walaupun dilaporkan oleh orang ramai. Ini disebabkan dia berkahwin dengan seorang kerabat diraja dan menyebabkan sesiapa yang membuat laporan terhadapnya pula diganggu atau ditakut-takutkan.
Akan tetapi, apabila terlalu ramai wanita yang hilang, Pemaisuri ketika itu iaitu Catherine II tidak mempunyai pilihan lain dan mengarahkan penyiasatan dijalankan. Disebabkan terlalu ramai bilangan mangsa yang terlibat, siasatan mengambil masa hampir enam tahun lamanya. Saltykova akhirnya ditahan dan dipenjarakan. Dia dikaitkan dengan penemuan sebanyak 138 mayat namun hanya didapati bersalah terhadap 38 mangsa sahaja.
Pada zaman itu, hukuman bunuh telah dimansuhkan di Russia dan disebabkan Saltykova merupakan salah seorang kerabat diraja, Permaisuri Catherine II terpaksa mengeluarkan satu bentuk hukuman yang unik dan baru.
Akhirnya pada tahun 1768, Saltykova telah diikat pada kerusi selama satu jam di sebuah dataran dengan papan tanda yang digantungkan pada leher bertulis “Saya penyeksa dan pembunuh”. Selepas itu, dia diarahkan agar dikurung seumur hidup di bahagian bawah tanah Biara Ivanovsky di Moscow. Biara ini memang menjadi tempat pengasingan wanita bangsawan yang menerima hukuman. Walaupun tidak dijatuhkan hukuman mati, orang ramai tetap berasa puas hati kerana biara itu dilaporkan membuat amalan Khlysts iaitu menyeksa dan memukul para banduan.
2. Delphine LaLaurie (1775-1842)
Delphine mengahwini suami ketiganya iaitu Dr. Leonard Louis Nicolas LaLaurie dan sering berasa bangga berada di dalam golongan elit. Rumah agamnya bersambung dengan pintu masuk penempatan untuk hamba-hambanya. Ramai yang telah memperkatakan tentang layanan buruk Delphine terhadap hamba yang dimilikinya sehingga ada warga prihatin yang telah membeli dan membebaskan dua orang hamba Delphine.
Suatu hari, seorang pendakwa raya telah pergi ke rumahnya untuk menyiasat dan mengingatkan tentang hak asasi hamba kepada Delphine agar tidak melanggar undang-undang. Namun, mereka tidak menjumpai sebarang bukti kekejaman yang dilakukannya.
Tidak lama selepas itu, salah seorang jirannya menyaksikan seorang gadis berkulit hitam yang jatuh mati dari tingkat 3 rumahnya akibat cubaan melarikan diri daripada disebat. Perkara itu telah disiasat dan menyebabkan 9 orang hamba telah dirampas oleh pihak berkuasa untuk dilelong. Namun demikian, ahli keluarga LaLaurie yang lain telah membeli kesemua hamba yang dibebaskan itu dan menyerahkan semula kepada Delphine.
Beberapa bulan kemudian segala kekejamannya terbongkar apabila rumahnya terlibat dalam kebakaran. Apabila pasukan bomba tiba dan meminta kunci untuk pintu masuk ke penempatan hamba-hambanya, Delphine enggan menyerahkannya. Pihak bomba tidak mempunyai pilihan melainkan memecahkan pintu. Apabila mereka berjaya memecah masuk, mereka terkejut kerana melihat ramai hamba yang dirantai di dinding, diseksa dan mempunyai kesan luka di seluruh badan. Pihak bomba telah memanggil hakim untuk melihat sendiri kejadian itu.
Hamba-hamba yang berjaya diselamatkan telah menceritakan bagaimana kekejaman yang dilakukan oleh keluarga LaLaurie terutamanya Delphine di mana salah satunya ialah paksaan memakai gelung tajam pada leher mereka agar mereka tidak dapat bergerak atau berbaring. Selain itu banyak mayat yang dijumpai di halaman kediaman pasangan itu serta di dalam telaga terbiar berhampiran. Hamba-hamba telah dibawa ke balai berdekatan untuk dipamerkan kepada orang ramai bagaimana kekejaman yang dilakukan oleh keluarga LaLaurie. Orang ramai kemudian menyerbu kediaman itu sebelum cuba meruntuhkannya. Walau bagaimanapun, keluarga LaLaurie sempat melarikan diri dan Delphine ditemui mati beberapa tahun kemudian di Perancis.
1. The Countess Elizabeth Bathory (1560-1614)
Tidak diketahui berapa ramai wanita yang menjadi mangsa seksaan permaisuri ini di istananya. Dipercayai mangsanya melebihi 600 orang. Wanita bangsawan yang kurang siuman ini mencari gadis-gadis cantik dari kampung dan berjanji memberi mereka kerja di istana dengan pendapatan tinggi. Disebabkan ingin keluar dari kemiskinan, mereka tidak banyak soal dan memenuhi sahaja permintaan permaisuri itu.
Permaisuri ini dikatakan gemar mandi dengan darah segar mangsanya kerana percaya akan sentiasa kelihatan awet muda dan cantik. Dia akan menyeksa, membunuh dan mengambil darah mangsanya bagi memenuhi keinginannya yang aneh itu. Pada kurun ke-15 di Hungary, tidak ada sebarang undang-undang yang boleh menyentuh mana-mana ahli keluarga diraja. Setiap kali keadilan ingin ditegakkan, pasti ada campur tangan dari pihak istana.
Akhirnya Elizabeth berjaya ditangkap dan tidak langsung diberi kebenaran untuk dibicarakan. Empat orang suruhan yang bersubahat dengannya disabit kesalahan membunuh lebih daripada 80 orang mangsa. Permaisuri itu akhirnya dibawa ke Istana Cachtice di mana dia ditanam hidup-hidup di dalam dinding istana itu.