Pemerdagangan manusia adalah salah satu jenayah paling kejam yang dilakukan terhadap manusia. FBI menyatakan ia adalah aktiviti jenayah ketiga terbesar dunia. Menurut PBB pula, 20% daripada mangsa jenayah ini adalah kanak-kanak. Masalah ini bukan sahaja timbul di negara miskin malah pada negara-negara pertama dunia.
Seringkali, mereka yang mempunyai kesempitan hidup sering ditipu, diculik atau dipaksa menjadi hamba dengan bayaran yang sedikit. Mereka ini kebanyakannya bekerja sebagai buruh paksa, hamba domestik, pelacur dan banyak lagi.
BESARKAN TEKS A- A+
Kajian yang paling komprehensif mengenai pemerdagangan manusia ialah Laporan Pemerdagangan Orang (TIP) yang diterbitkan setiap tahun oleh Jabatan Kehakiman Amerika. Kami ingin kongsikan bersama anda senarai negara paling teruk dalam penyeludupan manusia dan dikenali sebagai negara Tier 3 dalam laporan yang dikeluarkan.
10. Algeria
Algeria adalah negara terbesar di Afrika. Ia menjadi sarang penyeludupan manusia kerana lokasinya yang strategik untuk masuk ke Eropah. Banyak pendatang dari Mali, Niger, Cameroon, Cote d'Ivoire dan Nigeria akan singgah di negara ini. Namun, apa yang terjadi adalah mereka sering ditipu ejen, kehabisan wang atau dicuri dan terkandas di Algeria, jauh dari negara asal mereka.
Ini menyebabkan mereka tiada pilihan selain terpaksa bekerja sebagai pelacur, buruh kasar dan sebagainya bagi mengumpul wang. Hal ini semakin sukar apabila mereka adalah pekerja tidak sah dan seringkali ditipu dari segi gaji berulang kali.
Selama bertahun-tahun Algeria menafikan mereka mempunyai masalah pemerdagangan manusia. Walaupun sudah dikelaskan sebagai negara Tier 2 dan 3 sejak dari tahun 2004, mereka baru menyedari mempunyai masalah ini pada 2015. Pada Disember tahun yang sama, kerajaan telah melancarkan pelan menangani masalah ini namun masalah yang berlaku seakan tidak selesai.
9. Venezuela
Sejak tahun 2002, Venezuela telah beralih dari Tier 2 kepada Tier 3 dalam senarai pemerhatian. Namun, keadaan bertambah buruk pada 2015 apabila ekonomi Venezuela mengalami kemerosotan dan kadar jenayah meningkat sebanyak tiga kali ganda.
Antara yang menjadi mangsa adalah 55% orang dewasa, 26% gadis muda dan 19% budak lelaki. Mereka selalunya tertipu dengan tawaran perkerjaan. Sebaliknya, mereka dihantar ke negara-negara Kepulauan Caribbean di mana mereka dipaksa melakukan pelbagai pekerjaan lain.
Sebab utama Venezuela sentiasa berada di senarai terburuk ini adalah kerana kurangnya tindakan untuk memeranginya. Mereka mempunyai undang-undang yang ketat mengenai penyeludupan manusia, namun tidak sampai 10 orang yang telah disabitkan di bawah undang-undang pemerdagangan manusia sejak dari 2013.
8. Sudan dan Sudan Selatan
Perperangan antara orang Islam yang tinggal di utara Sudan dengan Kristian dan Animisme yang tinggal di selatan, telah menjurus kepada kemerdekaan Sudan Selatan pada tahun 2011. Ketika berpisah, Sudan Selatan bebas hutang dan mempunyai pendapatan sederhana kerana mereka adalah pengeksport minyak.
Disebabkan rasuah, dalam masa lima tahun sahaja Sudan Selatan telah menjadi negara ke-16 termiskin berbanding Sudan yang berada pada tangga ke-52 termiskin. Namun, kedua-dua negara ini mempunyai masalah sama yang lebih teruk iaitu penyeludupan manusia.
Sudan dan Sudan Selatan memikat orang dari Uganda, Kenya, Ethiopia, Eritrea dan Republik Congo dengan menjanjikan pekerjaan tetapi sebaliknya memperhambakan mereka.
Pasaran besar di kedua-dua negara itu adalah kanak-kanak termasuk seawal usia 10 tahun. Mereka dipaksa melakukan pelbagai kerja seperti mengemis, membuat bata, membasuh kereta, melacur dan banyak lagi.
7. Belarus
Belarus adalah sebuah negara Eropah Timur yang bersempadan dengan Rusia, Ukraine, Lithuania dan Latvia. Pemerdagangan manusia biasanya dikawal oleh sindiket jenayah terancang tetapi di Belarus, ia ditaja oleh kerajaan negara itu sendiri.
Terdapat beberapa cara kerajaan memperhambakan rakyatnya. Salah satunya ialah pengganggur perlu membayar yuran kepada kerajaan atau dipaksa melakukan kerja khidmat masyarakat. Peluang adalah tinggi bagi pengganggur untuk gagal membayar yuran terbabit dan ini membawa kepada pilihan melakukan khidmat masyarakat yang bermakna bekerja tanpa gaji untuk kerajaan.
Satu lagi cara ialah kerajaan memberi bonus kepada mereka yang bekerja dalam industri pemprosesan kayu setiap bulan. Jika mereka berhenti kerja, mereka perlu membayar balik bonus kepada kerajaan atau melakukan khidmat masyarakat. Jika tidak, mahkamah akan memaksa mereka terus bekerja dalam industri kayu sambil diperhatikan pihak penguasa.
Cara ketiga adalah penagih alkohal dan dadah boleh ditahan selama 12 hingga 18 bulan dalam "Pusat Perubatan Buruh". Di sini, mereka dipaksa untuk bekerja atau akan disumbatkan ke dalam penjara. Pelbagai lagi undang-undang pelik yang dikuatkuasakan di Belarus. Oleh kerana keadaan ini, ramai orang cuba meninggalkan Belarus, menjadikannya pusat kepada penyeludupan manusia.
6. Korea Utara
Situasi di negara komunis ini adalah unik berbanding yang lain. Salah satu sebab adalah keadaan yang teruk di negara ini termasuk kem buruh paksa yang menempatkan 80,000 hingga 120,000 orang yang dipaksa bekerja untuk kerajaan. Malah kebanyakan buruh paksa ini tidak melakukan sebarang jenayah sama sekali.
Satu lagi cara lagi, negara ini memperdagangkan rakyatnya ke luar negara. Dianggarkan antara 110,000 hingga 120,000 rakyatnya yang dihantar untuk bekerja di 20 hingga 40 negara lain dalam satu-satu masa.
Ini menjadikan rejim Kim Jong-un mendapat keuntungan hampir RM 10 billion setahun. Namun, para pekerja ini hanya menerima 10% daripada gaji mereka selepas kembali ke Korea Utara. Biasanya, mereka dihantar selama 3 tahun untuk berkhidmat. Salah satu negara yang menyewa hamba dari Korea Utara adalah Qatar yang sedang bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022.
5. Rusia
Rusia adalah negara terbesar dunia dan mempunyai populasi sebanyak 144 juta orang. Ia merupakan satu-satunya negara G8 yang dikelaskan sebagai negara Tier 3 berkaitan pemerdagangan manusia.
Dipercayai sekitar 5 hingga 12 juta pendatang bekerja di Rusia dalam kondisi yang hampir dengan penghambaan. Ini termasuk bekerja di sektor kilang, pembinaan dan pertanian. Wanita dan kanak-kanak pula dipaksa melakukan pelacuran.
Pelbagai cara dilakukan oleh majikan untuk memastikan buruh paksa ini kekal berada di negara mereka seperti menahan gaji, melambatkan bayaran atau memegang passport mereka.
Salah satu lagi sebab adalah masalah rasuah. Terdapat tuduhan bahawa pegawai Rusia memudahkan kemasukan pendatang ke negara ini untuk dieksploitasi. Bahkan, ada pegawai yang menerima rasuah untuk tidak menyiasat jenayah pemerdagangan manusia.
Pihak kerajaan Rusia juga terlibat secara langsung apabila menjadi salah satu negara yang "memajak" hamba dari Korea Utara sebagai buruh. Dalam persetujuan oleh kedua-dua negara itu, sebanyak 20,000 pekerja Korea Utara dihantar ke Rusia untuk bekerja dalam industri yang berbeza, terutamanya pembalakan.
4. Syria
Suatu perkara yang menyumbang kepada penyeludupan manusia adalah ketidakstabilan sesebuah negara itu sendiri. Syria adalah salah satu daripadanya kerana terlibat dengan perang paling dahsyat abad ke-21 setakat ini.
Perang saudara yang bermula pada bulan Mac 2011 telah mengakibatkan lebih 5 juta orang telah melarikan diri dari negara ini dan ia mewujudkan keadaan yang ideal untuk sindiket penyeludupan manusia. Berjuta-juta lagi rakyat yang tinggal menjadi mangsa mudah mereka.
Ramai mangsa sindikit ini terutamanya wanita telah dihantar ke negara jiran seperti Jordan, Lebanon dan Turki. Mereka dipaksa bekerja di pelbagai sektor pekerjaan termasuklah pelacuran.
Apa yang menjadikan pemerdagangan manusia lebih teruk di Syria adalah kumpulan pengganas. Kumpulan pengganas ISIS berjaya menawan beberapa kawasan di Iraq dan Syria. Wanita dan kanak-kanak sering diseludup masuk ke kawasan ini di mana wanita berhadapan dengan perkahwinan paksa manakalah kanak-kanak pula dikerahkan menyertai kumpulan pengganas itu.
Selain ISIS, terdapat beberapa lagi kumpulan bersenjata seperti Ahrar Al-Sham, Jabhat Al-Nusra dan pasukan Kurdi yang mengawal kawasan berbeza di negara ini dan juga terlibat dalam pemerdagangan manusia. Sehingga keamanan dikecapi, masalah ini mungkin tidak akan berhenti dengan sendirinya.
3. Yaman
Seperti yang diterangkan pada awal tadi, negara yang mempunyai masalah teruk mengenai penyeledupan manusia dikelaskan sebagai negara Tier 3. Namun, ada negara yang diletakkan dalam kategori "Kes Khas". Ini kerana negara itu tidak stabil sehingga sukar untuk mengetahui skop sebenar masalah penyeludupan manusia yang berlaku di negara mereka.
Negara pertama pertama kategori kes khas ini adalah Yaman. Sejak 5 dekad yang lalu, negara ini terlibat dengan beberapa perang saudara. Perang ini diburukkan lagi dengan campur tangan ISIS dan Al-Qaeda yang berada di beberapa bahagian negara ini.
Sama seperti Syria, rakyat Yaman adalah mangsa mudah bagi sindikit penyeludupan manusia. Yaman juga tidak mempunyai data rasmi mengenai masalah ini kerana ketidakstabilan negara itu sendiri. Setakat ini lebih 3 atau 4 juta rakyatnya yang telah diseludup keluar ke negara berdekatan.
Kanak-kanak adalah mangsa yang paling terkesan. Mereka dipaksa bekerja sebagai sebagai buruh kasar dan sebagainya. Sebahagian daripada mereka juga dihantar ke Arab Saudi dan Libya untuk dijadikan pelacur. Bagi kanak-kanak lelaki pula, mereka dipaksa menjadi tentera oleh kerajaan seawal usia 10 tahun.
2. Libya
Negara dengan Kes Khas yang kedua pula ialah Libya yang terletak di antara Algeria dan Mesir. Libya adalah negara yang kaya minyak dan dikuasai oleh diktator Muammar Gaddafi sebelum beliau digulingkan dan dibunuh pada tahun 2011. Jauh sebelum kejatuhannya lagi, Libya adalah magnet sindiket pengedaran manusia kerana kedudukannya yang strategik antara Eropah dan Sub-Sahara Afrika.
Setelah kejatuhan Gaddafi, tiada kerajaan yang sebenar mengambil alih negara ini dan beberapa kawasan berbeza di negara ini telah dikawal kumpulan bersenjata termasuk ISIS dan Al-Qaeda. Ini menjadikan industri pemerdagangan manusia adalah ke-2 terbesar selepas industri minyak.
Ramai orang ditahan di Libya ketika dalam perjalanan ke Eropah dari Afrika. Mereka ditempatkan di beberapa pusat tahanan di mana mereka diseksa, dibunuh atau diserang secara seksual. Bahkan, kaum wanita akan memakan pil mencegah kehamilan sebelum memasuki Libya, takut sekiranya dirogol sehingga mengandung. Beberapa pusat tahanan ini ditaja oleh negara, selebihnya dikawal oleh militia.
Selain ditahan, mereka dipaksa untuk bekerja sebagai hamba sama seperti beberapa negara yang telah disenaraikan di atas. Malangnya, Libya dilihat tiada masa hadapan untuk menangani masalah pemerdagangan manusia ini dalam masa terdekat.
1. Somalia
Sekiranya beberapa negara yang disenaraikan sebagai kes khas ini diharap bersifat sementara kerana terlibat dengan pelbagai masalah seperti bencana alam, perperangan atau panghapusan etnik tetapi keadaan di Somalia adalah berbeza sama sekali. Pada tahun 2018, Somalia dilabelkan sebagai kes khas untuk tahun ke-16 berturut-turut.
Somalia merupakan salah satu negara termiskin di dunia dan terkenal kerana masalah kebuluran penduduknya. Banyak masalah di negara ini bermula sejak 1991 apabila Presiden Mohamed Siad Barre digulingkan. Banyak kawasan di Somalia kini dikuasai oleh panglima perang yang memerintah suku kaum sendiri. Kerajaan baru akhirnya dipilih pada 2012 setelah sekian lama tidak mempunyai kerajaan pusat.
Namun begitu, kerajaan baru tidak mempunyai banyak kawalan ke atas enam negeri yang membentuk negara ini. Tambahan pula, organisasi pengganas seperti Al-Shabaab mengawal sesetengah kawasan pendalaman di negara ini. Oleh kerana keadaan buruk ini, masalah penyeludupan manusia berleluasa di sini.
Ramai rakyatnya yang digunakan sebagai buruh paksa, penghambaan domestik dan perdagangan seks. Tentera kanak-kanak adalah perkara biasa di negara ini kerana pihak kerajaan dan beberapa negeri di sini mengamalkannya. Kerajaan Somalia yang sekian lama tidak mengeluarkan sijil kelahiran juga menjadikan ianya sukar untuk mengetahui umur sebenar kanak-kanak yang direkrut ini.
Seperti kebanyakan negara bermasalah lain, penduduk di sini juga akan cuba untuk lari keluar negara sekiranya mempunyai peluang dan pastinya sindiket penyeludupan manusia akan berada di tempat-tempat sebegini.