Krisis pelarian adalah krisis kemanusiaan. Golongan pelarian ini adalah kaum lelaki dan wanita yang kehilangan tempat tinggal dan pekerjaan serta kanak-kanak yang tidak dapat menikmati masa kecil mereka seperti kanak-kanak seusia mereka dan tidak pasti tentang masa hadapan mereka.
Anak-anak pelarian Syria di Lebanon
Ketika artikel ini ditulis, dianggarkan terdapat kira-kira 68 juta orang pelarian di kem-kem pelarian di seluruh dunia. Jumlah pelarian ini bersamaan separuh populasi di Jepun atau keseluruhan penduduk di UK melarikan diri dari negara sendiri.
BESARKAN TEKS A- A+
Kebanyakan pelarian ini terpaksa melarikan diri atau dihalau keluar daripada negara masing atas pelbagai masalah antaranya peperangan, kemiskinan dan sebagainya. Statistik juga menunjukkan bahawa sebahagian besar daripada jumlah pelarian ini datangnya daripada 5 buah negara iaitu Syria, Afghanistan, Selatan Sudan, Myanmar dan Somalia.
1. Syria - 6.3 juta pelarian
Krisis di Syria adalah krisis kemanusiaan yang sangat dahsyat. Dua tahun selepas perang meletus pada pada awal tahun 2011, dianggarkan 1 juta penduduk telah kehilangan tempat tinggal. 6 bulan kemudiannya, 1 juta lagi penduduk telah kehilangan tempat tinggal.
Kini setelah hampir 7 tahun perang meletus di Syria, kira-kira separuh daripada populasi penduduk pra-peperangan telah kehilangan tempat tinggal atau terpaksa melarikan diri ke negara jiran berdekatan untuk mencari tempat perlindungan daripada kekejaman rejim pemerintah. Secara anggaran, di Syria 11 juta orang sudah kehilangan tempat termasuk 6.3 juta orang yang menjadi pelarian di pelbagai negara berdekatan.
2. Afghanistan - 2.6 juta pelarian
Ketiadaan pekerjaan, peperangan dan ketidakstabilan politik menyaksikan begitu ramai penduduk melarikan diri ke luar negara. Di Afghanistan, dianggarkan 1 juta tidak mempunyai tempat tinggal tetap sementara 2.6 juta orang telah melarikan diri ke luar negara antaranya ke Iran, Pakistan dan beberapa negara Eropah yang lain.
Pihak Kesatuan Eropah mengganggarkan jumlah ini akan semakin bertambah. Pada tahun 2017, secara purata setiap hari 1100 orang yang majoritinya wanita dan kanak-kanak telah melarikan diri demi keselamatan mereka.
3. Selatan Sudan - 2.4 juta pelarian
Selatan Sudan mempunyai krisis pelarian terbesar di Afrika dan keadaan penduduk disini sangat menyedihkan. Sejak tercetusnya perang saudara pada 2013, kira-kira 4 juta orang telah kehilangan tempat tinggal. Jumlah ini termasuklah 2.4 juta orang yang telah melarikan diri ke luar negara dimana kebanyakan pelarian ini terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak.
Perang yang masih berterusan, banjir dan musim kemarau panjang menjadikan keadaan ini semakin buruk. Penduduk di kawasan ini sangat memerlukan sumber air bersih, penjagaan kesihatan dan perubatan, makanan, tempat tinggal dan perlindungan keselamatan.
4. Myanmar - 1.3 juta pelarian
Isu pelarian Rohingya dari Myanmar ini sememangnya popular di Malaysia. Sejak berlakunya keganasan oleh rejim pemerintah Myanmar di kawasan Rakhine pada 2017, kira-kira 700,000 orang Myanmar telah melarikan diri ke Bangladesh. Keadaan ini menyukarkan lagi keadaan kerana Bangladesh sendiri menghadapi masalah kemanusiaan yang serius dan sudah menyediakan petempatan bagi kira-kira 212,000 orang pelarian Rohingya yang tiba lebih awal.
Kini, terdapat kira-kira 1.3 orang pelarian Rohingya di seluruh dunia dimana separuh daripadanya adalah kanak-kanak. Keadaan kawasan kem pelarian di Bangladesh yang terlalu ramai menyukarkan lagi keadaan terutamanya bagi menghadapi musim hujan dan sejuk.
5. Somalia - 986,400 pelarian
Perang saudara yang berlarutan hampir 2 dekad dan bencana alam seperti banjir dan musim kemarau yang panjang menyebabkan hampir 1 juta orang Somalia terpaksa melarikan diri dan tinggal di kem-kem pelarian di negara-negara Afrika dan Yamen. Sementara itu, kira-kira 2.1 juta lagi penduduk Somalia tidak mempunyai tempat tinggal tetap.
Krisis di Somalia sangat menyedihkan dimana separuh daripada penduduk memerlukan bantuan untuk terus hidup, 2.5 juta tidak dapat memenuhi keperluan makanan harian dan 300,000 kanak-kanak menderita akibat malnutrisi.
Kredit: