Ada sesetengah negara yang begitu maju dalam bidang perlancongannya dan ingin menarik lebih ramai pengunjung. Tambahan pula, bidang penerbangan yang semakin maju memudahkan para pelancong atau pengunjung melawat negara-negara terpencil.

Namun, terdapat juga negara yang tidak begitu mengalu-alukan kedatangan pelancong. Walaupun tidak mustahil untuk melawat negara-negara seperti ini tetapi mereka cuba menyukarkan kemasukan para pelancong luar seperti membuat saringan yang ketat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Negara-negara ini berbuat demikian atas beberapa sebab tersendiri. Berikut adalah senarai negara-negara yang tidak begitu mengalu-alukan kedatangan pelancong.

10. Somalia

somalia 533

Kebanyakan negara memberi amaran kepada rakyatnya agak tidak ke Somalia atas sebab-sebab keselamatan. Namun, jika anda tetap mahu meneruskan hasrat itu, ia bukanlah sesuatu yang mudah.

Walaupun pasport negara anda membolehkan untuk melawat mana-mana negara yang anda suka, anda tidak boleh sesuka hati pergi ke Somalia. Anda perlulah mendapat kelulusan visa yang dikeluarkan Kedutaan Republik Somalia di Kenya. 

Ketiadaan kemudahan mesin ATM dan kad kredit yang tidak diterima pakai di sana, ini bermakna anda perlu membawa matawang tempatan yang mencukupi. Perjalanan anda ke Somalia mungkin dipenuhi dengan cabaran-cabaran yang sukar.

9. Algeria

algeria

Walaupun tidak mustahil untuk mendapatkan visa bagi perjalanan ke Algeria tetapi anda perlulah memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan. Anda mestilah mempunyai pasport dengan tarikh sah melebihi enam bulan (sesetengah negara berbeza syarat), dua foto, salinan pengesahan penginapan dan jemputan untuk ke negara itu.

Sekiranya anda ingin melawat rakan atau saudara-mara, mereka mestilah membuat jemputan (bertulis) kepada anda disertakan dengan bukti kewarganegaraan mereka terlebih dahulu.

Jika anda pergi ke sana atas tujuan lain dan tinggal di hotel, pihak kedutaan akan mengeluarkan surat jemputan itu. Anda perlu menempah hotel terlebih dahulu sebelum memohon untuk pelepasan visa ke Algeria.

8. Bhutan

bhutan 298

Jika anda ingin mendapatkan visa ke Bhutan, anda perlu menempah pakej perlancongan selama tempoh penginapan anda di sana kerana hanya pelancong atau pengunjung dari India sahaja yang dibenarkan melancong mengikut bajet sendiri. Ini bermakna anda perlu membuat tempahan hotel dan tiket penerbangan terlebih dahulu.

Caj yang dikenakan agak tinggi iaitu sekitar RM 800-1,000 sehari (meliputi semua kos makanan, penginapan, pengangkutan dan cukai). Terdapat juga caj tambahan sekiranya anda ingin melawat tempat-tempat tertentu.

Peralatan elektronik seperti komputer riba dan kamera perlu didaftarkan di Jabatan Perolehan dan Kastam Bhutan ketika ketibaan anda di sana dan mereka akan mengesahkan semula apabila anda meninggalkan negara ini. Mereka mengenakan peraturan ketat ini untuk menjaga keaslian budaya dan alam semula jadi Bhutan.

7. Kiribati

kiribati 703

Pelancong tidak memerlukan visa ke Kiribati jika penginapan mereka kurang daripada 28 hari tetapi bayaran sebanyak RM 56 akan dikenakan di lapangan terbang ketika pulang.

Negara di kepulauan Ocenia ini mempunyai peraturan ketat jika anda ingin membawa pulang barangan tertentu. Selain itu, pelancong dan pengunjung juga dilarang keras memakai pakaian mandi yang menjolok mata.

Kiribati menawarkan pelbagai suasana kehidupan akuatik, tempat tinggal selesa dan penduduk yang peramah. Disebabkan mereka tidak mengalu-alukan ramai pelancong, anda akan mempunyai lebih banyak peluang menikmati tempat-tempat menarik di sana.

6. Turkmenistan

turkmenistan

Banyak proses yang perlu dilalui untuk memasuki Turkmenistan terutamanya pelancong dari Amerika Utara. Anda perlu memohon visa dan mempunyai surat jemputan dari orang yang ingin anda lawati. Sekiranya melancong bersendirian, anda perlu membuat tempahan dengan agensi pelancongan yang berdaftar di sana dan diberi kuasa untuk mengeluarkan surat jemputan.

Anda juga perlu mengisi kad pelancong ketika tiba di sana dan perlu membawanya sepanjang masa. Kad itu akan dipulangkan kepada pihak berkuasa sebelum anda meninggalkan negara itu.

Lawatan melebihi daripada tiga hari mestilah didaftarkan dengan pihak berkuasa. Jika gagal membuat demikian anda boleh disaman, lambat pulang atau ditahan pihak berkuasa.

5. Angola

angola 477

Angola memang terkenal kerana peraturan ketat terhadap pelancong yang ingin memasukinya. Anda memerlukan visa dan beberapa pendaftaran lain untuk memasuki Angola.

Visa hanya akan diberikan oleh negara masing-masing dan bukan dari kerajaan Angola sebaik sahaja anda mendarat di sana. Ini bermakna anda boleh ditangkap atau dihantar pulang tanpanya.

Selain itu, anda perlu menunjukkan tiket pulang atau keluar dari negara itu ketika ketibaan. Anda juga perlu menunjukkan bukti bahawa telah mengambil suntikan Vaksinasi Demam Kuning.

4. Azerbaijan

azerbaijan

Sama seperti Turkmenistan, anda juga memerlukan surat tawaran jika anda ingin memohon untuk visa ke Azerbaijan. Adalah perlu bagi pelancong untuk tahu bahawa perjalanan atau lawatan ke Nagorno-Karabakh boleh menyebabkan anda dibatalkan visa.

Nagorko-Karabakh adalah daerah yang menjadi rebutan Azerbaijan dan Armenia. Walaupun secara rasminya ia milik Azerbaijan tetapi dipenuhi populasi etnik Armenia dan mempunyai kerajaan sendiri.

Malah, cop Armenia pada pasport anda juga boleh menimbulkan persoalan dari pihak berkuasa. Pastikan pengenalan diri dibawa sepanjang masa dan anda memerlukan lesen memandu antarabangsa jika ingin memandu kenderaan di sana (sesetengah negara tidak mewajibkan dalam tempoh tertentu).

3. Syria

syria

Sangat sukar untuk mendapatkan pernerbangan ke Syria pada ketika ini dan biasanya anda tidak dianjurkan untuk ke negara ini. Anda perlu mendaftar dengan Pejabat Imigresen dan Pasport Syria jika tinggal melebihi 14 hari walaupun mempunyai visa.

Jika pasport anda mempunyai cop dari negara seperti Israel (Palestin), Jordan atau Mesir (yang bersempadan dengan Israel) boleh menyebabkan kemasukan anda dinafikan. Pelancong juga dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dengan keadaan yang tidak dapat diduga di Syria.

2. Eritrea

eritrea

Anda tidak pernah mendengar nama negara ini? Ia adalah perkara biasa kerana negara ini lebih sukakan privasi daripada dikunjungi pelancong. Tambahan pula, negara ini mempunyai sekatan ke atas media seperti Korea Utara.

Walaupun selepas anda diberikan visa untuk melancong ke Eritrea, anda hanya dibenarkan untuk melawat ibu negerinya sahaja iaitu Asmara. Perjalanan di luar Asmara memerlukan permohonan tambahan.

Walaupun terdapat pelbagai sekatan untuk pergi ke daerah-daerah lain di Eritrea tetapi ibu negerinya Asmara dianggap sebagai destinasi yang stabil untuk pelancong.

1. Korea Utara

korea utara 369

Anda perlu menempah agensi pelancongan terlebih dahulu untuk mendapatkan visa bagi melawat Korea Utara. Biasanya, agensi pelancongan anda yang akan menguruskan proses permohonan dan akan memakan masa berbulan-bulan lamanya.

Lawatan bebas atau persendirian tidak dibenarkan sama sekali di sana. Jika tarikh anda tiba berbeza dengan tarikh yang ditunjukkan dalam visa, anda mungkin boleh dihalang daripada memasuki negara ini.

Selain itu, anda juga perlu mengikuti peraturan yang ketat seperti tidak boleh membawa masuk bahan bacaan yang mengecam pemimpin Korea Utara, bersifat keagamaan dan banyak lagi. Gajet seperti kamera dan telefon pintar dibolehkan tetapi di sana tiada Wi-Fi atau talian telefon.

Wartawan profesional atau mana-mana media luar adalah tidak dibenarkan sama sekali. Pelancong dari Amerika Syarikat dan Korea Selatan juga sangat sukar untuk mendapat kebenaran memasuki Korea Utara.

Rujukan:

1. Negara yang tidak mahu dilawat pelancong luar

2. Negara yang tidak begitu sukakan pelancong

3. Negara yang tidak mengalu-alukan pelancong asing




Hakcipta iluminasi.com (2017)