Berita palsu merupakan satu masalah besar yang semakin kerap berlaku, dalam era teknologi yang mampu memberikan kita maklumat sekelip mata. Berita-berita palsu mampu memberikan impak dan kesan yang sangat besar kepada individu, syarikat atau pertubuhan sehingga menyebabkan tekanan perasaan, kerugian ataupun lebih teruk, penderaan fizikal dan mental bagi mereka yang terlibat.
BESARKAN TEKS A- A+
Apa yang menakutkan, amat sukar untuk kita mengenalpasti berita mana yang benar dan yang palsu ekoran perkongsian orang ramai yang dilakukan dengan kurang cermat. Perkongsian serba pantas serta perasaan ingin jadi penyampai pertama, mendorong penularan berita-berita sehinggakan ramai tidak tahu apa yang sebenarnya disampaikan, hanya tahu menyampaikannya.
Berita-berita palsu juga sukar dijejaki siapa sumbernya, dengan kesannya mampu berjalan dalam satu tempoh jangka masa lama. Diburukkan lagi dengan masyarakat yang dilihat agak kurang berminat untuk mengetahui wujudkah laporan susulan yang cuba menjernihkan berita asal palsu itu. Berikut adalah 5 berita palsu dan viral di negara kita yang membuktikan kesan buruk penyebaran perkongsian kita.
1. Syarikat kasut rugi RM500 ribu kerana sebaran palsu
Seorang individu yang tidak dikenali mula menyebarkan gambar tapak kasut jenama Bata yang dikatakan mempunyai kalimah 'Allah' ditapaknya. Ekoran sebaran itu, syarikat Bata terpaksa menarik balik 70 ribu pasang kasut yang dikatakan ada kalimah tersebut sebelum Kementerian Dalam Negeri memberi pengesahan tidak wujud kalimah Allah pada tapak kasut itu.
Syarikat Bata bukan sekadar mengalami kerugian hampir RM500 ribu ringgit, malahan mereka juga mengalami kejatuhan jualan selain daripada kredibiliti jenama yang menurun. Berita palsu ini juga telah menyebabkan seorang guru besar sekolah di selatan tanah air, mengharamkan pelajar sekolah beliau membeli kasut jenama Bata melalui edara surat pekeliling pada murid-murid. (rujukan)
2. Lelaki malang dituduh pengundi hantu
Bagi Chua Lai Fatt, dia antara warga Malaysia yang tidak bernasib baik. Memiliki nama bangsa Cina walaupun wajahnya iras lelaki India, warga Klang ini dituduh bukti wujudnya pengundi hantu yang kerap digembar-gemburkan sesetengah pihak. Semasa sedang beratur hendak mengundi pada tahun 2013 di Sungai Pinang, Lai Fatt ditegur dan diherdik oleh seseorang individu, menuduh beliau sebagai seorang buruh asing yang berjaya mendapat kad pengenalan palsu.
Walaupun cuba menjelaskan perkara itu dalam bahasa Mandarin, Lai Fatt tetap dituduh pengundi hantu dengan gambar kad pengenalannya diambil serta disebarkan sebagai bukti wujudnya penipuan pilihanraya.
Bagi Lai Fatt yang berdarah campuran India dan Cina, episod duka beliau tidak berakhir di situ. Kad pengenalannya yang disebar individu yang 'menangkapnya', disalahgunakan untuk mendaftar talian internet sehingga mengakibatkan dia erhutang RM3700. (rujukan)
3. Dituduh rasis terhadap bangsa Melayu
Seorang gadis peserta perhimpunan politik tidak menyangka gambarnya bersama salah seorang pemimpin perhimpunan tersebut diedarkan dengan ayat-ayat rasis, mengkritik dan mencerca bangsa Melayu. Suat Ling Lim dijadikan sasaran masyarakat dan netizen berikutan tulisannya itu sehinggakan gambarnya dikongsikan oleh beberapa portal terkenal di Malaysia.
Apa yang menakutkan, ugutan-ugutan terhadap beliau mula kedengaran selepas gambar tersebut disebarkan. Nama Suat Ling Lim mula trending sehingga mampu mencecah 60,000 hasil carian, dengan kebanyakan perkongsian mempunyai beratus komen reaksi yang mampu menggerunkan sesiapa saja yang membacanya.
Akaun Instagram beliau juga digodam dan tidak diketahui siapa yang menggodam akaun Instagram beliau. Nasib baik akaun tersebut berjaya dikembalikan sebelum dilakukan apa-apa perubahan. Sehingga kini, gambar beliau bersama cercaan ekstrim terhadap orang Melayu masih lagi disebarkan dan kebenaran hanya boleh diketahui oleh mereka yang mencarinya. (rujukan)
4. Penumpang Air Asia tulis surat tentang pakaian pramugari
Viral sebuah kisah tentang surat yang ditulis oleh seorang wanita warganegara New Zealand bernama Dr. June Robertson, yang mengkritik pakaian rasmi pramugari Air Asia. Dikatakan pakaian pramugari Air Asia terlalu singkat dan seksi sehingga menampakkan seluar dalam petugas..
Kisah ini menjadi popular ekoran pendedahan tersebut dibuat oleh seorang ahli politik namun disahkan palsu, selepas wartawan dari New Zealand melakukan penyiasatan dan mendapati tidak wujud Dr. June Robertson dalam senarai pendaftaran professional perubatan di sana.
Walaupun begitu, ini adalah antara berita palsu tersebar yang kami nampak ada faedahnya, kerana kami sendiri merasakan pakaian peramugari Air Asia kurang sesuai untuk dipakai dalam profesion yang memerlukan seorang wanita jadi fokus orang ramai.
5. Pelajar sekolah menengah dikatakan dibunuh
Perasaan iri hati ekoran kejayaan beliau mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PT3, membuatkan seseorang individu tidak dikenali menyebarkan berita yang S. Sumita, seorang pelajar 10A Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau, Negeri Sembilan, telah mati dibunuh dalam insiden pembunuhan kejam.
Gambarnya memegang sijil peperiksaan yang dimuat naik ke akaun Facebook diletakkan sekali dengan gambar sebuah insiden pembunuhan lain tidak berkait. Ini menyebabkan dia dan keluarganya terpaksa berhadapan dengan pertanyaan serta ucapan takziah saudara mara, kenalan dan jiran yang mendapat berita tersebut.
Apa motif penyebaran itu dilakukan? Sehingga kini Sumita dan keluarganya tertanya-tanya siapa dalang di sebalik sebaran itu. (rujukan)
6. Isu sijil halal Cadbury UK
Berita ini berlaku di Britain tetapi kami ingin kongsikan kerana ia melibatkan negara kita juga.
Tidak tahu siapa sumbernya, pelanggan setia coklat Cadbury di sana mengamuk selepas mendapati Cadbury telahpun diisytiharkan halal. Dengan menggunakan gambar wakil Cadbury Malaysia memegang sijil halal JAKIM pada tahun 2014 yang tiada kaitan dengan UK, pelanggan Cadbury di UK diajak untuk memboikot jenama tersebut kerana mengambil langkah 'pro-Muslim dan pro-Islam.'
Gerakan boikot tersebut mendapat sokongan meluas gerakan kanan English Defence League, sehingga menyebabkan pihak Cadbury terpaksa melakukan penjelasan bahawa status halal tersebut hanya dikuatkuasakan di Malaysia dan status halal sebenarnya tidak mengubah apa-apa kandungan coklat.
Selain itu Cadbury juga terpaksa menjelaskan syarikat tersebut tidak akan menggugurkan perkataan 'Easter' daripada senarai produk coklat mereka, yang kebiasaannya akan digunakan semasa perayaan Easter, selepas Cadbury dituduh semakin 'mesra Muslim' ekoran semakin ramai komuniti Muslim di UK.
Bagi kami, itu adalah bukti semaju mana pun sesebuah negara, masyarakat yang mudah tertipu akan tetap tertipu dengan berita palsu. Jadi, tak perlulah kecam masyarakat Malaysia sangat sekiranya ramai antara kita mudah tertipu. Sekurang-kurangnya ramai di antara rakyat Malaysia tahu kelebihan produk halal manakala segelintir rakyat UK pula, bermati-matian tidak mahu produk mereka diisytiharkan halal. (rujukan)