Industri Hollywood cukup gemar mencipta watak-watak stereotaip dalam filem, untuk dijadikan pemegang watak jahat.

Watak-watak ini digarap dengan sehabis boleh akan memaparkan kewarganegaraannya dengan terang, mempunyai slanga percakapan yang sangat mudah untuk kita tahu dari mana serta akan dipaparkan mudah ditewaskan oleh hero - seorang warga Amerika Syarikat yang perkasa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Negara manakah yang sering dijadikan mangsa-mangsa stereotaip Hollywood ini? Berikut adalah lima negara yang kami rasakan kerap dipapar penjahat dalam filem. Anda ada cadangan berbeza?

1. Russia

watak jahat dari negara stereotaip

Konfrontasi antara Amerika Syarikat dengan Russia yang dikenali sebagai 'Perang Dingin' dikatakan bermula pada tahun 1947 dan hanya berakhir selepas kejatuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1991.

Filem Hollywood dalam era tersebut sehingga kini pun, banyak dipengaruhi konflik tersebut, mengakibatkan lambakan penerbitan filem yang memaparkan penjahat dari Russia/USSR.

Antara watak penjahat yang paling kerap disebut adalah petinju Ivan Drago yang dimainkan Dolph Lundgren dalam filem 'Rocky 4', Ivan Korshunov lakonan Gary Oldman dalam filem Air Force One serta Ivan Vanko dalam filem Iron Man 2, dilakonkan Mickey Rourke. 

Penjahat Russia sering digambarkan sebagai seorang yang garang, bengis dan mempunyai suara yang garau, mampu menakutkan sesiapa saja ketika bercakap bahasa Inggeris yang sangat pekat slanga Russia-nya.

2. Jerman

penjahat dalam filem

Populariti penjahat Russia dalam filem Hollywood, besar kemungkinan hanya boleh ditandingi oleh watak penjahat dari Jerman. Sama seperti Russia, watak Jerman juga sehingga kini masih dibayangi stereotaip tentera Nazi Jerman yang satu ketika dulu menggoncang dunia. 

Untuk mengambil jalan mudah, produser di Hollywood cukup gemar menterjemahkan stereotaip yang ada pada seorang Nazi lalu dinukilkan kepada watak penjahat Jerman dalam filem; sentiasa dingin, garang, serius, sukar untuk ketawa dan sangat berdisiplin dalam mematuhi arahan. 

Watak penjahat Jerman nombor 1 dalam filem, sehingga kini masih layak dipegang 'Hans Gruber', penjahat dalam filem Die Hard yang dilakonkan oleh mendiang Alan Rickman. Apa yang sedikit melucukan, Rickman adalah seorang pelakon yang berasal dari England.

Selain Gruber, watak penjahat Mejar Arnold Toht yang dipaparkan dalam filem Indiana Jones - Raiders of the Lost Ark juga sering diungkapkan sebagai antara penjahat Jerman (dan Nazi) yang popular.

Dalam filem itu, watak yang dilakonkan aktor Ronald Lacey (seorang Inggeris!) memang cukup dibenci peranannya dan pasti ramai yang gembira melihat adegan kematiannya yang cukup sadis dan mengerikan.

3. Albania

penjahat albania taken

Albania merupakan negara baru yang kini mula menjadi mangsa Hollywood, dalam mencipta stereotaip bagi membolehkan jalan cerita filem mereka diperkuatkan.

Filem-filem seperti siri 'Taken' lakonan aktor Liam Neeson dan filem klasik 'Wag the Dog' lakonan Dustin Hoffman dan Robert de Niro, menggunakan watak penjahat Albania sebagai elemen utama filem.

Berbeza dengan paparan penjahat negara lain, penjahat Albania biasanya dipaparkan cukup gemar melakukan aktiviti haram berkaitan pemerdagangan manusia dan seksualiti, yang akhirnya diakui berjaya memburukkan imej negara itu di mata orang luar.

Masalah ini cukup rumit, sehingga memerlukan Perdana Menteri Albania, Edi Rama menegur perwakilan dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2013. 

Menurut beliau, walaupun beliau tahu memang Albania mempunyai banyak masalah dalaman sendiri - paparan-paparan dalam filem Hollywood berkenaan negara mereka telah berjaya mencipta persepsi yang lebih teruk berlipat kali ganda, sehingga menakutkan orang ramai khasnya pelancong untuk datang ke situ.

4. Arab/Asia Barat

stereotaip orang arab jahat

Kerajaan Amerika Syarikat harus diakui mempunyai agenda yang besar, melibatkan kawasan Asia Barat serta beberapa negara sekitar benua tersebut. Kebanyakan filem yang memaparkan kejaguhan tentera Amerika Syarikat, pasti akan menggunakan tema 'USA lawan Arab' dan akhirnya berakhir dengan kemenangan kepada kebenaran, tak lain tak bukan USA sendiri. 

Filem seperti American Sniper, Zero Dark Thirty dan Lone Survivor secara terang-terangan hanya memaparkan jalan cerita berat sebelah, lebih gemar memaparkan keperwiraan tentera Amerika Syarikat. 

Sebaliknya gerila/tentera/pejuang Arab/Asia Barat dipaparkan sebagai penjahat yang tidak tersusun gerakan mereka, tiada simpati. kurang pendidikan serta kurang terlatih berbanding seteru mereka. Kecuali wakil Arab yang membantu mereka. 

Lebih malang, jarang penjahat itu dikenali dengan nama asal negaranya. Selalunya mereka akan dirujuk sebagai 'Arabs' semata-mata, seolah-olah semuanya sama. Satu soalan - cuba anda sebutkan satu saja watak penjahat Arab/Asia Barat yang anda ingati namanya? 

5. Britain

watak jahat british tipikal stereotaip

Pasti tidak ramai menyangka watak seorang penjahat dari Britain merupakan antara pilihan paling popular penerbit Hollywood, untuk dipaparkan dalam filem. Kebanyakan penjahat paling popular dalam industri filem Hollywood - rata-ratanya dipaparkan seorang warga Britain. 

Banyak pendapat popular menyebut slanga serta perwatakan seorang individu dari Britain, cukup sesuai untuk digarap untuk menjadi seorang penjahat yang mudah diingati.

Suara mereka yang bertutur kedengaran lebih formal, pergerakan mereka tampak lebih kemas dan riak wajah orang Britain yang ekspresif, membuatkan identiti watak yang terhasil juga nyata jitu kejahatannya.

Watak seperti komander perang British William Tavington dalam filem The Patriots lakonan Jason Isaacs serta Valdemort dalam siri filem Harry Potter, merupakan antara watak penjahat British yang senang diingati ekoran perwatakan mereka yang unik; elegan tetapi mengerikan.

Aktor British juga sangat bernasib baik kerana kerap kali terpilih untuk memainkan watak-watak penjahat, dengan nama seperti Anthony Hopkins, Gary Oldman, Ian McDiarmid dan Christopher Lee kerap dipanggil aktor penjahat terbaik. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)