Setiap pasangan yang membina rumahtannga pastinya mempunyai impian untuk menimang cahaya mata dan bergelar ibubapa. Segala persediaan akan mereka siapkan seperti hadir ke kelas untuk menjadi ibu bapa, membeli barang-barang untuk menyambut bayi dan banyak lagi.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, mereka tidak menyedari bahawa walaupun perasaan yang bakal mereka rasai apabila menimang cahaya mata amatlah gembira, ada kisah sebaliknya. Kepada yang sudah bergelar ibu bapa, anda pastinya setuju bahawa antara salah satu cabaran yang paling besar dalam hidup anda adalah apabila anda mempunyai anak kecil. Ramai di kalangan ibu bapa muda yang merungut akan masalah yang dihadapi disebabkan oleh anak kecil mereka. Malah ada yang serik untuk mendapat cahaya mata lagi.
Namun, walaupun tugas menjaga anak kecil itu sukar dan mencabar, ia akan menjadi lebih mudah dengan ciptaan genius oleh pereka-pereka dari seluruh dunia, yang kami kongsikan dalam artikel ini. Pastinya anda inginkan produk-produk dalam artikel ini. Semoga bermanfaat.
1. Katil bayi portable
Antara cabaran terbesar menjadi ibu bapa adalah kurangnya mendapat tidur yang cukup. Bayi yang kerap menangis amat memerlukan ibu bapa mereka sentiasa memantau mereka. Katil yang biasa digunakan oleh ibu bapa untuk bayi mereka adalah katil asing, yang menyukarkan ibu bapa untuk lebih peka terhadap bayi mereka. Juga, ada yang mahu bersama bayi mereka setiap masa mereka di atas katil dengan meletakkan bayi di tengah-tengah antara ibu dan bapa. Dengan ciptaan ini, ia lebih memudahkan anda untuk memantau bayi anda tanpa perlu bangun dari katil anda.
2. Katil bayi berkerusi hayun
Kadang-kadang, para ibu tidak mempunyai masa untuk sendiri kerana menjaga bayi mereka. Bayi yang sentiasa merengek dan menangis membuatkan si ibu perlu memberi perhatian yang lebih. Untuk menidurkan bayi, mereka hampir tidak boleh melakukan apa-apa perkara lain. Dengan ciptaan kerusi ini, para ibu boleh melakukan aktiviti lain seperti membaca, menjahit atau menggunakan telefon pintar, sambil memantau dan menidurkan bayi.
3. Stroller berskuter / basikal
Masa yang berkualiti di luar bersama anak anda amatlah penting untuk perkembangan otak mereka serta merapatkan hubungan kekeluargaan. Bagi mereka yang suka membawa anak mereka berjalan di taman menggunakan stroller, kini menjadi lebih mudah. Dengan stroller berskuter atau basikal ini lebih memudahkan anda untuk melakukan aktiviti tersebut. Ia juga bagus bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti sakit lutut atau tidak boleh berjalan lama.
4. Stiker bertermometer pintar (TEMPTRAQ)
Bayi atau anak kecil amat terdedah dengan kuman dan bakteria, menyebabkan mereka mudah jatuh sakit seperti demam. Walaupun anak berada di sisi, amatlah tidak praktikal untuk ibu bapa untuk membuat pemeriksaan suhu badan anak setiap minit hanya kerana risau akan kesihatan anak. Namun, perkara ini menjadi mudah dengan ciptaan stiker bertermometer ini. Anda hanya perlu melekatkan stiker ini pada bawah ketiak anak, lalu connect pada telefon pintar anda melalui fungsi bluetooth. Stiker ini akan sentiasa mengemaskini dan memberikan bacaan suhu badan anak anda selama 24 jam. Jadi, anda tidak perlu risau lagi. Hebat bukan?
5. Mangkuk pintar GyroBowl
Apabila anda menyediakan sarapan atau hidangan bagi anak kecil anda, kerap kali pasti akan berlaku perkara tidak diingini. Salah satunya ialah makanan tertumpah. Anak kecil yang baru hendak belajar untuk makan sendiri biasanya akan mengalami masalah ini, dan lebih cuai atau kadang-kadang mereka sengaja bermain dengan makanan. Sebagai ibu bapa anda pastinya tertekan jika setiap kali makanan tertumpah atau ditumpahkan. Mangkuk pintar ini boleh menyelesaikan masalah anda kerana ia dicipta dengan teknologi yang membuatkan mangkuk tersebut bergerak mengikut pergerakan luar yang dilakukan oleh anak anda. Tiada lagi makanan tumpah.
6. Topi mandian bayi
Selain menidurkan bayi, salah satu antara cabaran menjaga anak kecil adalah ketika memandikan mereka. Sukar untuk memandikan mereka tanpa mereka menangis kerana air yang jatuh dari bahagian kepala membuatkan mereka seakan-akan lemas dan tidak boleh bernafas. Kebanyakan ibu bapa terpaksa memandikan anak mereka dengan perlahan malah mengelap sahaja badan anak mereka menggunakan tuala basah. Topi ini dapat menyelesaikan masalah tersebut dengan menghalang air daripada melalui muka anak anda.
7. Botol susu 'self-heating' iiamo
Jika anak kecil anda masih minum susu botol, mereka memerlukan susu yang suam untuk diminum. Cara biasa untuk membancuh susu botol adalah dengan menggunakan air panas dan dicampurkan dengan air bersuhu biasa supaya susunya tersebut menjadi suam. Jika anda berada di luar, sudah tentunya menyukarkan anda untuk membancuh susu. Botol susu ini boleh memanaskan susu tersebut dengan sendirinya dan mengekalkan suhu susu pada kadar tertentu. Ia juga boleh digunakan sebagai botol susu biasa apabila anda di rumah.
8. Sudu berbotol pintar
Bagi anak anda yang masih tidak boleh makan makanan pejal, dan bergantung kepada makanan cecair seperti biskut lembut, sudu pintar ini boleh memudahkan kerja anda. Anda tidak perlu lagi menyuap anak anda menggunakan sudu dan mangkuk. Hanya memasukkan makanan tersebut ke dalam bekas sudu ini, dan picit botol tersebut untuk menyuap anak anda. Mudah dan menjimatkan masa.
9. Penyedut hingus
Ini antara yang perkara yang paling ekstrem penulis pernah lihat ibu-ibu lakukan. Apabila bayi mereka mengalami selsema, kerana sayang, ibu-ibu sanggup untuk menyedut hingus bayi mereka bagi mengelakkan bayi sesak nafas, dengan hanya menggunakan mulut. Malah ada yang menelan terus hingus tersebut. Hebat kasih sayang seorang ibu, bapa-bapa pula hanya melihat sambil membuat muka yang kerut. Para ibu kini tidak perlu lagi melakukan begitu dengan ciptaan ini, teknik yang sama namun cara yang berbeza. Kini para bapa pula boleh mengambil tugas ini!
10. Puting bayi berpenutup
Untuk mendiamkan bayi yang menangis dan memberikan ketenangan pada bayi, biasanya ibu bapa akan memberi puting getah. Semua ibu bapa melakukan perkara ini. Namun, ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada bayi jika puting tersebut tidak bersih dan terdedah kepada kuman dan bakteria. Puting ini berbeza daripada puting biasa kerana ia berpenutup dan memastikan puting sentiasa bersih. Ia tidak terdedah kepada kotoran apabila tidak digunakan, dan memudahkan penyimpanan.