Kita tinggal di dunia di mana 1 bilion manusia terpaksa hidup dalam kekurangan dan satu perlima daripada mereka iaitu sekitar 110 hingga 190 juta orang mempunyai kecacatan yang ketara, menurut Bank Dunia.
Golongan kurang upaya ini biasanya memerlukan penyesuaian khas untuk berkembang maju di dunia.
Namun apa yang menarik adalah produk atau penyesuaian yang dicipta untuk orang kupaya akhirnya dinikmati oleh semua orang termasuklah orang normal.
BESARKAN TEKS A- A+
iluminasi.com kongsikan 5 produk harian yang pada asalnya dicipta untuk orang kurang upaya.
1. Mesin taip / papan kekunci
Semua orang pada hari ini pastinya memiliki sekurang-kurangnya satu papan kekunci, tidak kiralah sama ada papan kekunci pada komputer riba mahupun telefon pintar. Namun, hal ini tidak berlaku satu ketika dahulu.
Mesin taip sebenarnya adalah hasil idea seorang pencipta Itali bernama Pellegrino Turri. Pellegrino menyedari bahawa rakannya, Countess Carolina Fantoni da Fivizzano, tidak dapat menulis surat dengan tangan disebabkan buta.
Jadi, pada tahun 1608, Pellegrino menghasilkan mesin taip pertama yang menggunakan kunci dan lengan logam dengan aksara timbul.
Pellegrino juga mencipta kertas karbon sebagai cara untuk menyediakan dakwat untuk mesin itu. Pada hari ini, mesin taip telah berubah menjadi papan kekunci komputer canggih.
2. Berus gigi elektrik
Kebersihan mulut adalah sangat penting bagi setiap orang, namun orang yang mempunyai keupayaan pergerakan yang terhad sukar melakukan apa yang kita lakukan setiap pagi.
Namun pada tahun 1954, berus gigi elektrik Broxodent dicipta untuk membantu orang yang mempunyai kekuatan, mobiliti dan kawalan yang terhad untuk memberus gigi dengan lebih baik.
Ciptaan ini disedari lebih hebat berbanding berus gigi biasa jadi kebanyakan doktor gigi mengesyorkannya kepada semua orang.
Malah, satu kajian pada tahun 2019 mendapati bahawa individu yang menggunakan berus gigi elektrik kurang kerosakan gigi, gusi yang lebih sihat dan gigi bertahan lebih lama.
3. Aplikasi "speech to text" dan pengecaman suara
Jika anda menggunakan iPhone, pastinya anda kerap menggunakan bantuan Siri dalam kehidupan seharian. Teknologi ini bukan sahaja dimiliki sebahagian besar telefon pintar, tetapi juga dalam pesawat tentera, sistem navigasi/hiburan kereta dan automasi rumah.
Walau bagaimanapun, sebab ciptaan ini dicipta adalah untuk membolehkan orang yang tidak dapat menulis secara fizikal akses untuk menyampaikan kata-kata mereka.
Perisian yang dicipta pada tahun 1990-an membolehkan pengguna menghasilkan dokumen bertulis dan menyimpan/membukanya hanya dengan suara mereka.
Kemudian, pelbagai versi dicipta khusus untuk orang yang bekerja di mahkamah atau sebagai ahli transkripsi perubatan
4. Fidget Spinner
Mainan ini tersangat popular sekitar tahun 2017 dan semua kanak-kanak ingin memilikinya.
Fidget spinner adalah peranti dengan tiga bilah berbentuk dayung mengelilingi bulatan dengan galas di tengah, yang mana jika diputarkan dapat menenangkan diri anda atau untuk meningkatkan tumpuan.
Jurutera bernama Catherine Hettinger pada asalnya menciptanya sebagai alat untuk menghiburkan anak perempuannya yang berusia 7 tahun pada tahun 1993.
Malangnya, Catherine membiarkan paten itu luput kerana dia tidak mempunyai wang untuk terus memperbaharuinya.
Pada awal tahun 2000-an, pengilang mula mempromosikan alat ini sebagai satu cara untuk membantu menenangkan orang yang mengalami autisme, ADHD dan gangguan kebimbangan.
Walaupun kajian tidak mengesahkan bahawa peranti ini membantu orang yang mengalami masalah ini, namun menjelang 2017 ramai orang sama ada eksekutif perniagaan yang tertekan mahupun pelajar sekolah yang bosan menggunakan mainan ini untuk keseronokan.
5. Straw boleh bengkok
Walaupun straw lurus dilihatkan sebagai satu keajaiban ketika ia dicipta pada tahun 1888, pada tahun 1930-an seorang lelaki bernama Joseph Friedman mengubah reka bentuknya dengan menghasilkan penyedut minuman boleh bengkok.
Dia mendapat idea itu apabila menyedari anak perempuannya yang kecil tidak berupaya untuk minum air menggunakan penyedut minuman lurus.
Dia meletakkan skru di dalam penyedut minuman lurus dan membalutnya menggunakan benang gigi di sekelilingnya untuk menghasilkan kesan beralun.
Walaupun alat ini pada asalnya tidak dicipta untuk orang kurang upaya, hospital adalah antara tempat pertama yang menerima ciptaan ini kerana ia membantu pesakit terbaring di katil yang cuba minum sesuatu.
Rujukan:
2. Smithsonian
3. Science