Artikel kali ini berkisar tentang petanda seseorang yang mempunyai IQ tinggi, yakni ada ciri-ciri pandai, memiliki kepintaran luar biasa, cepat pick-up dan macam-macam gelaran lain yang diberi kepada golongan ini. Sekiranya anda mempunyai tanda-tanda seperti di bawah, berkemungkinan besar anda mempunyai masa depan yang cerah.
1. Anda Suka Berjaga Malam
BESARKAN TEKS A- A+
Sebuah kajian oleh The Hypothesis menunjukkan bahawa manusia pintar lebih suka tidur lewat. Menurut kajian tersebut, mereka yang tidur lebih awal mempunyai IQ yang lebih rendah berbanding mereka yang ber-IQ tinggi.
2. Anda Serabut & Tidak Kemas
Sebuah kajian yang diterbitkan di dalam Psychological Science oleh University of Minnesota mendedahkan bahawa bekerja di dalam bilik yang bersepah sebenarnya meningkatkan kreativiti seseorang.
Dalam kajian tersebut, seramai 48 orang peserta telah disuruh menceritakan penggunaan bola ping pong selain sebagai untuk tujuan permainan. Setengah daripada peserta dalam bilik yang kemas memberi jawapan yang kurang kreatif berbanding mereka yang berada dalam bilik yang bersepah.
3. Anda Seorang Yang Kelakar & Disenangi
Sebuah kajian yang melibatkan 400 orang pelajar jurusan psikologi telah dilakukan bagi mengukur kebolehan berfikir secara kritis dan tahap kecerdasan lisan. Mereka diarah untuk tampil dengan sebuah kapsyen kelakar untuk lakaran kartun New Yorker, dan kapsyen ini dinilai oleh beberapa badan bebas. Seperti disangka, pelajar yang mempunyai IQ lebih tinggi adalah lebih kelakar.
4. Anda Boleh Membaca Di Awal Usia
Pada tahun 2012, sebuah penyelidikan telah dilakukan ke atas 2,000 pasangan kembar seiras di United Kingdom dan hasil kajian berkenaan menunjukkan adik beradik yang mula belajar di awal usia mempunyai kecenderungan untuk skor lebih tinggi dalam ujian kebolehan kognitif.
Penyelidik-penyelidik tersebut bersetuju bahawa membaca di awal usia meningkatkan kebolehan lisan dan kebolehan berfikir, berbanding sebaliknya.
5. Anda Seorang Yang Kidal
Kekidalan sebelum ini pernah dikaitkan dengan jenayah. Namun, kajian terkini mengaitkan mereka yang kidal dengan pemikiran 'divergent', yakni suatu bentuk kreativiti yang membolehkan seseorang untuk tampil dengan idea-idea baru dengan serta-merta, sekurang-kurangnya dari kalangan golongan lelaki.
6. Anda Seorang Yang Suka Berlengah & Bermalasan
Adam Grant seorang ahli psikologi dari Wharton School of the University of Pennsylvania berkata bahawa berlengah adalah kunci kepada inovasi, dan mengambil Steve Jobs sebagai contoh seorang yang berlengah. Menurut beliau lagi, masa yang digunakan oleh Steve Jobs dalam berlengah dan bermalasan sebenarnya mendatangkan idea-idea baru yang lebih kreatif.
7. Anda Suka Menyendiri
Kajian menunjukkan bahawa mereka yang mempunyai IQ yang tinggi lebih suka bersendirian berbanding sebaliknya. Malah, kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa interaksi sosial memberi kesan negatif kepada perasaan kegembiraan (secara keseluruhan) kepada manusia bijak.
Secara normal, interaksi sosial dilihat sebagai pengukur kegembiraan dalam kalangan manusia, akan tetapi manusia ber-IQ tinggi lebih gembira bersendirian.
8. Anda Berfikiran Terbuka
Manusia pintar lebih mudah untuk menerima dan mempertimbangkan pandangan orang lain dengan nilai dan keterbukaan, dan mereka juga boleh menerima penyelesaian alternatif. Menurut para ahli psikologi di Amerika Syarikat, mereka yang berminda terbuka mempunyai skor yang lebih tinggi dalam peperiksaan SAT dan ujian kecerdasan yang lain.
9. Anda Tidak Mudah Terganggu
Menurut penulis sebuah jurnal Current Biology, iaitu Frank Zhu, mereka yang boleh menumpukan perhatian untuk tempoh yang lama dan tidak mudah terganggu adalah golongan yang sangat pintar. Hasil kajian beliau menunjukkan mereka yang mempunyai IQ yang tinggi lebih lambat menyedari pergerakan latar belakang imej bergambar. Hal ini adalah disebabkan mereka lebih fokus kepada maklumat yang lebih penting dan menyaring selebihnya.
10. Anda Mempunyai Perasaan Ingin Tahu Yang Tinggi
Menurut sebuah kajian yang diterbitkan pada tahun 2016 di dalam Journal of Individual Differences, terdapat hubung kait di antara kecerdasan kanak-kanak dengan keterbukaan kepada pengalaman, yang merangkumi perasaan ingin tahu ketika mereka dewasa.
Saintis melakukan sebuah kajian jangka masa panjang dengan mengikuti perkembangan mereka yang lahir di UK selama 50 tahun dan menyedari bahawa mereka ini yang mempunyai skor IQ yang tinggi ketika berusia 11 tahun adalah lebih terbuka kepada pengalaman ketika mereka menjangkau usia 50 tahun.
Kesimpulan
Senarai di dalam artikel ini hanyalah sebahagian daripada tanda-tanda yang menunjukkan tahap kecerdasan IQ yang tinggi. Terdapat banyak lagi kajian lain yang dilakukan tentang tanda seseorang itu ber-IQ tinggi. Mempunyai IQ yang tinggi mungkin berguna di dunia yang sementara ini, namun mempunyai keimanan dan amalan ibadah yang banyak lebih berguna di akhirat kelak. Jadi, yang mana menjadi pilihan anda?
Sumber: