Bulan telah lama dikaitkan dengan pelbagai kepercayaan tahyul dalam banyak budaya. Ramai yang percaya bahawa bulan mempengaruhi kehidupan mereka seperti jodoh, nasib dan kesihatan walaupun kajian menunjukkan bahawa ia tidak benar.
Ramai juga yang tidak tahu bahawa bulan sebenarnya memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Hampir semua kehidupan di Bumi bertindak balas dengan bulan dengan cara yang pelik dan sukar diteringkan. Berikut adalah senarai bagaimana bulan mampu mempengaruhi kehidupan di Bumi.
BESARKAN TEKS A- A+
10. Kitaran haid selari kitaran bulan
Pelbagai kisah mengarut mengenai bulan terdapat di internet dan kebanyakannya tidak berdasarkan bukti-bukti saintifik. Namun, terdapat juga kisah pelik ini yang mula dibuktikan secara berperingkat mengikut kemajuan sians.
Salah satu daripadanya adalah teori bahawa kitaran haid adalah selaras dengan kitaran bulan. Kepercayaan yang wujud sejak Zaman Pertengahan ini dianggap sebagai karut tetapi kini terdapat pelbagai bukti saintifik yang menyokongnya.
Beberapa kajian telah menemui hubungan antara kitaran haid dan kitaran bulan. Menurut salah satu kajian, wanita juga akan mengalami peningkatan kadar hormon ketika bulan purnama. Setakat ini, saintis masih lagi mencari jawapan dan bukti saintifik bagaimana keadaan ini berlaku. (sumber)
9. Proses mengawan Lemur
Anda mungkin pernah mendengar pelbagai kisah mengarut mengenai kesan bulan terhadap haiwan seperti serigala yang akan menyalak ketika bulan penuh.
Sebenarnya, terdapat juga bukti saintifik di mana bulan memberi kesan kepada kehidupan haiwan di Bumi. Salah satu contohnya adalah Lemur. Haiwan mamalia kecil yang hanya terdapat di Madagascar ini dikesan aktif semasa bulan purnama (penuh). Lemur juga dikatakan hanya akan mengawan ketika bulan mengambang sahaja.
Apa yang membingungkan para pengkaji, haiwan ini menjadi hampir tidak aktif pada malam yang lebih gelap atau ketika gerhana bulan. Ada yang mengatakan cahaya bulan yang terang membantu penglihatan lemur untuk aktif tetapi mengapa ia tidak berlaku kepada haiwan diurnal (haiwan aktif waktu siang) yang lain? (sumber)
8. Kitaran tidur manusia
Hampir semua orang pernah mengalami kesukaran untuk tidur. Ia boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti tekanan, cuaca, lokasi dan sebagainya. Walaupun kebanyakannya boleh dikesan dan diperbaiki, ada juga yang punca yang tidak dapat dipastikan.
Ada teori mencadangkan bahawa bulan mungkin mempengaruhi corak tidur manusia. Seorang penyelidik dari University of Basel mendapati bahawa manusia mengambil masa lima minit lebih lama untuk tidur semasa bulan penuh. Selain itu, masa tidur juga berkurangan sebanyak 20 minit secara purata.
Penyelidikan juga mendapati bahawa aktiviti otak menjadi semakin kurang dan tahap melatonin (bahan yang dirembaskan oleh kelenjar pineal) juga lebih rendah semasa bulan penuh. (sumber)
7. Jenayah
Bulan sering dikaitkan dengan tingkah laku agresif manusia dan jenayah. Walaupun tidak pernah ada bukti saintifik untuk menyokong dakwaan itu, beberapa kajian yang dilakukan baru-baru ini mencadangkan bahawa bulan mungkin memberi kesan kepada jiwa atau minda manusia.
Menurut satu kajian yang dilakukan oleh polis Sussex, England, mereka mendapati bahawa terdapat peningkatan kes jenayah semasa bulan penuh. Bahkan, insiden jenayah dan keganasan yang lebih tinggi semasa bulan penuh juga dilaporkan berlaku di seluruh dunia. (sumber)
6. Panggilan kecemasan
Menurut satu kajian yang dilakukan berdasarkan rekod panggilan pusat kecemasan, terdapat kenaikan yang tidak seimbang dalam bilangan panggilan semasa berlakunya anak bulan (new moon).
Walaupun tiada bukti saintifik mengapa kenaikan itu berlaku, ia membuatkan kita percaya bahawa bulan mempunyai kesan terhadap manusia. Lebih menghairankan, peningkatan bilangan panggilan kecemasan itu hanya berlaku bagi kaum wanita sahaja, manakala lelaki masih pada kadar biasa.
5. Corak pemburuan singa
Sekiranya anda berhadapan dengan haiwan buas seperti singa, peluang untuk anda selamat sepenuhnya mungkin tidak begitu meyakinkan. Peluang itu mungkin lebih tipis sekiranya situasi malang itu berlaku pada hari selepas berlakunya bulan penuh.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam PLOS One, singa Afrika lebih agresif pada hari-hari selepas berlakunya bulan purnama (penuh) dan lebih cenderung untuk menyerang manusia. Raja rimba ini juga dilihat membunuh lebih banyak mangsa sehari selepas bulan purnama.
Terdapat teori mengatakan, cahaya terang ketika bulan penuh mungkin membantu mangsa buruan singa mudah meloloskan diri. Ini menyebabkan singa lebih lapar dan agresif pada hari-hari berikutnya. (sumber)
4. Gigitan haiwan
Manusia boleh dikatakan pernah digigit oleh hampir semua jenis haiwan yang ada di atas muka Bumi ini. Walaupun sesetengah kes boleh membawa kepada keadaan yang serius, tiada apa yang dapat dilakukan untuk menghentikannya.
Apa yang peliknya, kejadian digigit haiwan tidaklah berlaku secara rawak seperti yang kita fikirkan. Satu kajian mendapati bahawa kes-kes gigitan haiwan jauh lebih tinggi pada hari-hari yang berlakunya bulan purnama.
Ia bukanlah disebabkan oleh spesies-spesies tertentu sahaja kerana kajian telah dilakukan ke atas 1,621 kes gigitan pelbagai jenis haiwan. Namun, saintis masih belum dapat memahaminya dengan lebih jelas.
3. Kesan ke atas tumbuh-tumbuhan
Seperti yang diterangkan di atas, bulan mungkin mempunyai beberapa kesan aneh terhadap manusia dan haiwan. Apabila penyelidikan semakin mendalam, kita juga mengetahui bahawa bulan memberikan kesan ketara terhadap tumbuh-tumbuhan walaupun tidak dapat dijelaskan secara tepat.
Satu kajian mendapati bahawa pertumbuhan akar tanaman tertentu seperti A. Thaliana aka Selada Thale yang terdapat di Afrika dikawal oleh pasang surut bulan. Pertumbuhan pokok ini juga akan lebih cepat dan lebat ketika fasa tertinggi pasang surut.
Kajian yang dilakukan sebelum ini juga mendapati pergerakan daun sesetengah tumbuhan mungkin berkaitan dengan pasang surut bulan juga. (sumber)
2. Anjing dan kucing mudah cedera
Seperti yang diterangkan di atas, kelakuan sesetengah haiwan mungkin boleh dipengaruhi bulan. Bagi haiwan yang rapat dengan manusia seperti kucing dan anjing pula, kesan bulan dilihat agak ketara. Kucing dan anjing dikatakan lebih mudah cedera ketika bulan penuh.
Satu kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Persatuan Perubatan Veterinar Amerika mendapati bahawa bilangan kucing dan anjing yang dihantar ke klinik haiwan akibat kecederaan ketika bulan penuh adalah lebih tinggi berbanding biasa. (sumber)
1. Hubungan bulan dengan gangguan bipolar
Bulan sering dianggap mempunyai kesan ke atas mood dan keadaan mental kita. Walaupun tidak pernah dibuktikan secara saintifik, ramai mendakwa bahawa berasa lebih tertekan dan bimbang ketika bulan penuh.
Satu kajian telah dilakukan di University of Washington School of Medicine di Seattle untuk memastikan sama ada kitaran bulan mempunyai kaitan dengan kepelbagaian mood di kalangan pesakit bipolar.
Mengejutkan, penyelidik mendapati bahawa terdapat hubung kait antara kitaran bulan dengan tidur dan mood subjek. Ia juga berhubung kait dengan sebarang bentuk gangguan mental yang dicirikan dengan kelakuan ganas tidak terkawal. (sumber)