Saintis kini sedang mengkaji terowong lava untuk membawa koloni manusia tinggal di bulan sebelum tahun 2030.

Semasa Kongres Sains Planet Eropah yang berlangsung di Riga, Latvia, pasukan penyelidik telah membentangkan pelan kehidupan manusia di bulan. Wakilnya, Bernard Foing berbicara tentang proses keluarga meninggalkan bumi untuk berhijrah ke bulan termasuklah isu melahirkan anak di sana pada masa hadapan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Foing berkata pelan berhijrah itu adalah lebih praktikal daripada beroperasi dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) kerana bahan-bahan yang berasal dari bulan sendiri akan digunakan untuk kelangsungan hidup dan komuniti berbanding membawa bahan binaan dari bumi.

Kumpulan penyelidik itu berpendapat terowong di bawah permukaan bulan mampu membina sistem koloni yang baru seperti yang dirancang. Hal ini demikian kerana terowong ini berasal dari gunung berapi. Terowong lava seperti ini juga wujud di bumi di mana ia terjadi disebabkan lava yang mengalir dan menolak menembusi bumi. Walau bagaimanapun, pasukan penyelidik itu merasakan yang keadaan tekanan graviti rendah di bulan menjadi punca terowong lava menjadi lebih lebar, menyebabkan ia menjadi lebih praktikal untuk pembinaan sebuah masyarakat.

manusia boleh berhijrah tinggal di bulan 2

Daily Mail melaporkan yang terowong di bulan ini mampu melindungi manusia daripada penyinaran kosmos dan bedilan asteroid. Rancangan ini sebenarnya membolehkan Agensi Angkasa Eropah untuk bertapak di bulan sebelum tahun 2030. Sebelum 2050 pula saintis berharap tapak ini akan berkembang menjadi koloni bagi ribuan manusia.

Kini, para saintis itu perlu fokus dalam pembangunan kapal angkasa yang boleh mengesan rangkaian terowong di bulan dan juga planet Marikh. Satu pasukan khas telah ditubuhkan di University of Trento untuk membangunkan sistem radar untuk tujuan itu.

Pada masa yang sama, Stesen Angkasa Antarabangsa mempunyai masa sehingga 2024 sahaja sebelum ia dibubarkan. Para saintis sedar bahawa mereka perlu mencari alternatif sekiranya masih mahu meneruskan projek-projek penyelidikan graviti rendah yang berlaku di angkasa lepas. Bulan telah menjadi salah satu pilihan hangat bagi pihak agensi walaupun angkasawan tidak pernah menjejakkan kaki ke sana sejak tahun 1972.

manusia boleh berhijrah tinggal di bulan 3

Kajian juga sedang dijalankan untuk melihat bagaimana bulan boleh menjadi tapak pelancaran untuk misi-misi angkasa pada masa hadapan. Selain itu, kajian ke atas elemen yang terdapat di bulan juga sedang giat dilakukan seperti bahan bakar api untuk kegunaan roket, proses menghasilkan air daripada ais di bulan dan juga pelbagai kemungkinan lain.

Menurut Foing, kos yang terlibat adalah 40 kali lebih rendah untuk memasuki orbit dari bulan berbanding dari bumi. Ini disebabkan bumi bergraviti tinggi dan angkasawan perlu bergerak menentangnya.

manusia boleh berhijrah tinggal di bulan 4

Walau bagaimanapun, bajet merupakan salah satu halangan terbesar dalam penyelidikan ini. Agensi tidak mempunyai dana yang mencukupi dan agak sukar bagi para saintis ini mendapatkan pelaburan daripada pihak luar kerana skala projek yang sangat besar.

Di samping itu, mereka juga perlu mengkaji aspek praktikalnya manusia menjalani kehidupan di bulan itu sendiri. Menurut ahli fizik, Christiane Heinicke, hidup dengan memakai sut angkasa bermakna anda tidak boleh menyentuh dan merasa seperti biasa. Manusia tidak dapat merasai tiupan angin (jika ada, seperti di Marikh), tidak akan dapat merasai pancaran matahari di kulit dan apa yang disentuh hanyalah melalui sarung tangan.

Rujukan : 

1. Daily Mail UK

2. NTD.tv




Hakcipta iluminasi.com (2017)