Bayangkan pada suatu masa akan datang, berlakunya peperangan tenaga nuklear, di mana bulan turut dibom. Adakah manusia akan terus hidup seperti biasa tanpa bulan? Apakah kesannya kepada bumi?
Pasang Surut Air Di Lautan Akan Berkurangan
BESARKAN TEKS A- A+
Ombak serta pasang surut air adalah irama semulajadi lautan. Pergerakan air di laut sebenarnya berlaku kerana terdapat daya tarikan objek angkasa terhadap bumi. Antara objek angkasa ini termasuklah bulan, dan juga matahari. Kekuatan daya tarikan graviti ini bergantung kepada 2 faktor utama, iaitu saiz objek angkasa berkenaan dan jaraknya dari bumi.
Pergerakan air seperti pasang surut berlaku kerana tarikan graviti bulan terhadap bumi. Tanpa daya tarikan ini, pergerakan air di laut akan menjadi sangat minima, dan mengakibatkan kehilangan fenomena pasang surut air. Walaupun daya yang sama oleh matahari terhadap bumi tetap wujud, namun ia tidak sekuat daya oleh bulan. Ini kerana walaupun saiz matahari adalah lebih besar berbanding bulan, namun jaraknya dengan bumi adalah lebih jauh, menyebabkan daya tarikan graviti terhadap planet kita menjadi semakin lemah.
Kebanyakan Hidupan Laut Akan Mati
Selain pasang surut air dan ombak, hidupan di laut juga akan terkesan dengan kehilangan bulan. Tenaga untuk ekosistem laut dijana oleh plankton, di permukaan paling atas laut yang dikenali sebagai zon fotik, yakni kawasan yang ditembusi cahaya matahari. Plankton menggunakan cahaya matahari dan nutrien untuk menghasilkan tenaga makanan yang kemudiannya akan digunakan oleh organisma yang lebih besar dalam rantai makanan.
Nutrien ini kemudiannya akan hilang ke dasar laut dalam bentuk organik. Sebahagian daripada nutrien ini akan hilang terus daripada laut, sebahagian yang lain akan dikitar semula melalui arus air lautan dalam yang bergerak ke permukaan lautan atas. Tanpa bulan, pergerakan arus air adalam sangat minima. Kesannya, nutrien tidak dapat dikitar semula, plankton akan mati, maka hilanglah sumber tenaga makanan hidupan laut. Kesan jangka masa panjang, kesemua hidupan laut akan mati, manusia akan kehilangan salah satu sumber makanan.
Malam Akan Menjadi Lebih Gelap Berbanding Sebelumnya
Tiada bulan bermaksud tiada lagi pantulan cahaya matahari pada waktu malam, menjadikan langit pada waktu malam lebih gelap berbanding sebelumnya. Bintang-bintang akan kelihatan lebih jelas kali ini. Planet Zuhrah adalah objek kedua angkasa lepas yang paling cerah selepas bulan bagi pandangan daripada bumi. Namun, cahayanya hanyalah 1/14,000 daripada cahaya bulan penuh. Pastinya tiada apa yang dapat menggantikan bulan kita.
Tempoh Masa Satu Hari Akan Menjadi Lebih Pendek
Tempoh masa 24 jam sehari boleh berlaku kerana putaran bumi mengelilingi matahari yang perlahan. Hal ini adalah disebabkan suatu kesan oleh bulan terhadap bumi yang dikenali sebagai 'geseran pasang surut'. Tanpa bulan, tiadalah kesan ini, menyebabkan putaran bumi akan menjadi lebih pantas. Maka, hari-hari kita di bumi akan menjadi lebih cepat, antara 6 hingga 8 jam sehari. Antara kesan lain termasuklah angin dan ribut yang sangat kuat.
Bumi Akan Menjadi Tidak Stabil dan Goyah
Kehilangan bulan akan menyebabkan kestabilan bumi menjadi goyah, walaupun ianya akan mengambil masa jutaan tahun untuk berlaku. Antara fungsi lain bulan adalah sebagai penyerap kejutan, dengan mengawal ketidakstabilan bumi yang disebabkan tarikan graviti matahari. Tanpa bulan, putaran bumi akan menjadi sedikit goyah, berupaya menyebabkan perubahan paksi bumi dan akhirnya perubahan kitaran perubahan iklim terganggu.
Paksi Bumi Akan Berubah Kedudukan
Anda pasti pernah belajar dalam subjek sains di sekolah bahawa bumi berputar pada paksinya, pada kecondongan 23.5 darjah relatif kepada orbit mengelilingi matahari. Namun, pernahkah anda tertanya mengapa wujud kecondongan ini, dan apakah impaknya kepada bumi?
Sebenarnya kecondongan ini perlu bagi menstabilkan bumi, dan ianya wujud kerana terdapat daya tarikan graviti bulan terhadap bumi. Bulan berfungsi untuk memastikan kecondongan kekal antara 23 dan 26 darjah. Tanpa bulan, kecondongan paksi bumi akan berubah dengan ketara, boleh menyebabkan perubahan kedudukan kutub utara dan kutub selatan. Wujudnya 4 musim di beberapa bahagian di bumi juga adalah impak daripada kecondongan ini.
Tiada Lagi Gerhana Bulan Mahupun Gerhana Matahari
Hal ini adalah sangat jelas, tanpa bulan bagaimana gerhana bulan boleh berlaku. Gerhana matahari juga tidak akan berlaku tanpa bulan. Fenomena kejadian gerhana berlaku kerana wujudnya matahari, bulan dan bumi dalam satu garisan.
Sesungguhnya bulan adalah antara ciptaan Tuhan yang bermakna buat manusia. Adakah kita boleh hidup tanpa bulan?
Rujukan & Bacaan Tambahan: