Walaupun tak masuk akal, namun ada golongan yang mempercayai bahawa bentuk bumi bukanlah sfera tetapi rata. Rata bagaimana? Bayangkan sekeping roti canai, begitulah yang dipercayai mereka.
Namun, demi untuk berhujah, katakanlah bumi ini benar-benar rata. Apa yang akan berlaku? Adakah kehidupan kita masih akan sama? Iluminasi.com kongsikan keadaan bumi jika ia adalah rata.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Berjalan ke "hujung dunia"
Tak usah fikir untuk berjalan hingga ke hujung dunia, kerana graviti tak akan benarkan anda berbuat demikian. Namun persoalannya, masih wujudkah graviti jika bumi berbentuk rata?
Jawapannya, ya. Daya graviti adalah daya yang mengekalkan segala planet-planet seperti sedia ada. Malah, ia yang membentuk planet-planet. Dan jika bumi ini rata, daya graviti akan menarik kita ke pusat bumi, iaitu di tengah-tengah titik bumi.
Dengan ini, semakin jauh anda bergerak dari titik tengah bumi, semakin kuat daya graviti yang menarik anda membuatkan anda rasa nak terjatuh ke belakang. Anda akan berasakan seperti anda sedang mendaki bukit yang semakin curam.
Dan apabila anda berjaya sampai ke "penghujung dunia", bahagian bawah dan belakang anda menjadi bahagian yang sama. Bunyi macam pelik kan?
Bagaimana pula dengan air laut? Adakah ia akan terkumpul di bahagian tengah bumi? Dan pokok-pokok akan tumbuh menghala ke pusat bumi.
2. Bumi dan angkasa lepas
Menurut teori golongan ini, matahari yang sebenarnya mengelilingi bumi, bukan sebaliknya. Bagaimana pula jika matahari mengorbit bumi, seperti mana bulan? Jika perkara ini berlaku, anda tak akan mengalami jet lag (letih disebabkan perjalanan jauh merentasi zon masa yang berbeza) lagi.
Mengapa? Kerana tiada zon masa yang wujud di bumi ini. Matahari akan menjalankan tugasnya iaitu menyinari kedua-dua bahagian bawah dan atas bumi. Ini bermakna bumi akan sentiasa cerah, tiada kitaran siang dan malam.
Lebih pelik lagi, tak wujudnya musim-musim dan juga gerhana matahari. Dan matahari pula perlu bersaiz lebih kecil, jika tidak ia akan membakar bumi hingga hangus.
3. Bumi akan terbakar kerana tiada medan geomagnetik
Walaupun jika matahari bersaiz lebih kecil sekalipun, bumi masih akan terbakar. Ini disebabkan ketiadaan medan geomagnetik untuk melindungi radiasi cahaya matahari.
Jika bumi rata, maka teras bumi tak akan wujud. Bagi yang tak tahu, medan geomagnetik dijana dari teras bumi dan mengekalkan lapisan atmosfera.
Tanpa teras bumi, maka tiada medan geomagnetik mengekalkan lapisan atmosfera. Jadi, sinar kosmik akan mengenai badan kita yang akan menyebabkan masalah kesihatan yang serius, daripada barah hinggalah kerosakan DNA.
4. Bayang-bayang
Tapi katakanlah bumi mempunyai alternatif kepada medan geomagnetik. Dengan ini, kita masih mampu hidup untuk menyaksikan kesan-kesan yang pelik daripada bumi yang berbentuk rata.
Sebagai contoh, bayang-bayang. Katakan anda mempunyai rakan yang mempunyai ketinggian sama dengan anda, dan tinggal beribu kilometer dari anda. Pada hari yang panas, bayang-bayang anda akan mempunyai panjang yang sama.
Ini kerana cahaya matahari akan mengenai anda dan rakan anda daripada sudut yang sama, menghasilkan bayang-bayang berketinggian sama walaupun tinggal di tempat berlainan.
5. Jarak perjalanan tidak sama
Dan jika anda dan rakan ingin melalui perjalanan yang jauh, ia sangat berbeza dengan apa yang kita lalui sekarang. Jom kita lihat bagaimana pula jika anda ingin ke negara yang terletak jauh dari negara anda. Peta yang dipaparkan adalah peta yang diperkenalkan oleh Flat Earth Society.
Menurut peta ini, Artik berada di tengah-tengah dan Antartika pula berada di sekeliling bucu bumi seperti sebuah benteng ais.
Mengikut kepada peta ini, penerbangan dari Australia ke Argentina memakan masa 32 jam tanpa henti, berbanding 16 jam sahaja yang mana kita alami sekarang.
6. GPS dan sistem navigasi
GPS (Global Positioning System) atau Sistem Kedudukan Global juga tak akan wujud. Ia disebabkan oleh satelit tak dapat mengorbit bumi jika ia berbentuk rata. Dengan ini, kita tak mempunyai sistem navigasi dan sistem waktu seperti sekarang.
Perkara ini juga menyebabkan kemungkinan tiada kewujudan ATM, kad kredit dan tiada transaksi pasaran berkelajuan tinggi.
7. Kebaikan
Namun, mungkin ada juga kebaikannya. Anda tak perlu lagi untuk susah-susah untuk melancong ke Dubai atau Paris untuk melihat Menara Eiffel atau Burj Al-Khalifa. Dengan berbekalkan binokular yang hebat, anda dapat melihat kedua-duanya dari jarak jauh. Terima kasih kepada bumi yang berbentuk rata.
Kesimpulannya, anda tak perlu pun untuk terbang ke angkasa untuk melihat sendiri bahawa bumi tidak berbentuk rata. Segala bukti-buktinya sudah berada di sekeliling kita. Hanya memerlukan akal untuk berfikir.