Dalam kepala penulis, satu soalan yang sangat kerap berlegar adalah berkenaan kewujudan planet-planet lain. Penulis bukanlah nak menidakkan wujud atau tidak planet di luar sana, tetapi sebaliknya penulis kerap berfikir satu soalan;
'Kenapa ada banyak planet dalam sistem suria kita yang kita tahu setakat ini kosong serta tidak berpenghuni? Apa tujuan Allah swt. menciptakan planet-planet itu untuk diletakkan bersama-sama kita?'
BESARKAN TEKS A- A+
Persoalan itu besar kemungkinan tidak dapat kita jawab dalam kehidupan kita sekarang, tetapi berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan - ada pembayang-pembayang yang cuba memberikan kita idea kenapa perlu ada planet-planet lain mengelilingi kita. Kami cuba jelaskan secara ringkas keperluannya, setakat apa yang sudah kita ketahui setakat ini.
Kepentingan bulan pada paksi bumi
Tahukah anda apa fungsi lain bulan, selain daripada menyongsangkan cahaya matahari agar malam kita tidak jadi terlalu gelita? Bulan sebenarnya memainkan peranan yang sangat besar dalam mengekalkan kestabilan putaran bumi serta tahap kecondongan bumi, berbanding matahari.
Sekiranya bumi tidak ada bulan sebagai satelitnya, dianggarkan tahap kecondongan bumi akan berubah sebanyak 85 darjah. Sekiranya perubahan itu berlaku, diramalkan paksi bumi akan berubah meletakkan kedudukan kedua-dua kutub utara dan selamat menghadap matahari, sementara garisan ekuator bumi tidak lagi berhadapan dengan matahari.
Perubahan itu akan menyebabkan cuaca yang ada pada bumi berubah sama sekali, disebabkan oleh perubahan suhu yang berlaku pada kutub utara, kutub selatan serta kawasan-kawasan yang mendapat cahaya matahari secara langsung - tidak lagi terlindung oleh kecondongan bumi yang wujud sekarang.
Pengaruh planet Musytari pada suhu bumi
Planet Musytari (Jupiter) merupakan antara planet yang berjaya diterokai secara agak mendalam oleh manusia. Agak banyak yang kita faham tentang planet ini serta pengaruhnya pada bumi. Musytari mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam pembentukan cuaca bumi berikutan saiznya yang besar.
Apa yang kita ketahui setakat ini, pengaruh Musytari pada bumi mampu meningkatkan atau menurunkan suhu bumi secara purata sebanyak 2.5 darjah celcius, bergantung kepada kedudukan planet tersebut dengan kita. Kajian yang dijalankan menunjukkan data bacaan suhu bumi disebabkan kedudukan Musytari berlaku sangat konsisten, dengan pusingan lengkap kitaran naik turun suhu setiap 12 tahun sekali - tempoh untuk Musytari melengkap kitaran orbitnya mengelilingi matahari.
Beerdasarkan kedudukan Musytari, akan berlaku kenaikan suhu bumi di bahagian hemisfera utara yang akan berlawan dengan penurunan suhu di hemisfera selatan. Jika berlaku penurunan suhu di hemisfera utara, hemisfera selatan pula akan mengalami kenaikan suhu.
Musytari sebagai pelindung bumi
Dalam satu insiden yang dikaji dari tahun 1993 sehinggalah bulan Julai tahun 1994, pelanggaran sebuah komet dengan planet Musytari menjadi peristiwa pertama manusia dapat mengkaji pelanggaran objek-objek di angkasa dan kesan yang terhasil.
Komet yang dinamakan sebagai D/1993 F2 atau Shoemaker-Levy 9 bertembung dengan Musytari kali pertama pada 16 Julai 1994, sebelum pecahannya kembali melanggar permukaan Musytari - menghasilkan 'parut' yang dapat dilihat dari bumi menggunakan teleskop.
Hasil daripada peristiwa itu yang jarang sekali dapat disaksikan, penyelidik mengeluarkan teori bahawa planet Musytari yang mempunyai tarikan graviti yang kuat disebabkan saiznya - mampu memerangkap komet-komet yang terbang di sistem suria daripada merempuh planet-planet lain yang ada. Berapakah saiz Shoemaker-Levy 9? Dianggarkan sekitar 1.8 km diameternya.
Berapakah saiz kesan hentaman komet itu dengan Musytari? Kesannya yang mengambil masa lebih setahun untuk hilang mempunyai saiz anggaran sama besar dengan bumi! Terima kasih Musytari! Harus diberitahu, ada juga ketikanya medan graviti yang dihasilkan Musytari mampu menolak komet-komet terbang lebih hampir dengan bumi, seperti insiden yang dilaporkan berlaku pada tahun 1779.
Bagaimana Zuhal memastikan air di bumi terpelihara
Dalam kajian angkasa, wujud satu zon selamat yang dinamakan 'zon Goldilocks' atau 'Goldilocks Zone', di mana penyelidik merasakan wujudnya ruangan atau zon yang selamat untuk habitat terbentuk, suhu tidak terlalu sejuk atau terlalu panas dan pembentukan air boleh berlaku tanpa gangguan bintang yang mempengaruhinya - bagi kita, matahari.
Seorang penyelidik bernama Elke Pilat-Lohinger dari University of Vienna, Austria dengan bantuan simulasi komputer berjaya membuktikan bagaimana kesan dua planet gergasi (berbanding bumi) iaitu Musytari dan Zuhal mengekalkan bumi dalam orbitnya - meneruskan aturan perjalanan orbit yang cukup cantik diatur susunannya.
Sekiranya kedudukan Zuhal dialihkan hanya 10 peratus lebih rapat ke bumi, diramalkan akan berlaku situasi yang dilabelkan sebagai 'tarikan jangka waktu' (periodic tug) disebabkan oleh perubahan medan graviti Zuhal kepada bumi - menyebabkan akan berlakunya tempoh di mana bumi keluar daripada zon Goldilocks, menyebabkan suhu di bumi berubah menjadi terlalu panas atau terlalu sejuk.
Dalam kiraan beliau, setiap planet yang ada dalam sistem suria mempunyai pertalian antara satu sama lain yang sangat ketara. Seandainya Zuhrah dan Marikh berubah kedudukannya, bentuk orbit Zuhal akan berubah seterusnya mengubah orbit bumi.
Apabila orbit Zuhal berubah, kawasan di bumi akan terjejas menghalang pembentukan cuaca dan keadaan yang membolehkan sesuatu habitat untuk manusia, haiwan, mikroorganisma dan apa saja makhluk yang hidup di muka bumi ini mampu meneruskan hidup.
Masih banyak misteri tentang alam yang belum dapat kita ketahui, seperti hubungan dan fungsi planet-planet lain dalam sistem suria kepada bumi kita; sama ada wujud atau tidak pengaruh, kesan atau faktornya - jelas sekali aturan alam ini sangat cantik, rumit dan menakjubkan untuk kita fahami kesemuanya.