Kredit foto: Instagram Ziana Zain

Sambutan ulang tahun kelahiran ke-80 ayahnya, Zain Abdullah atau lebih mesra disapa 'Pak Zain' memberi kesan emosi kepada penyanyi Ziana Zain.

Susulan majlis hari lahir yang diadakan semalam dengan turut sama dihadiri oleh anak-anaknya, Ziana memanjatkan kesyukuran kerana masih berpeluang bersama lelaki itu di usia emasnya.

"Tiada apa yang saya harap melainkan Allah pinjamkan Pak Zain lebih lama buat kami.

"Kalau boleh, 10 tahun lagi atau lebih lama lagi... Moga dilimpahkan dengan kesihatan berpanjangan dan dirahmati Allah," katanya kepada portal BH Online.

Ziana atau nama penuhnya, Siti Roziana Zain, dalam masa sama, memanjatkan kesyukuran kerana dikurniakan lelaki hebat bergelar 'abah' yang masih mengambil berat akan kehidupan anak-anaknya biarpun mereka sudah berkeluarga.

ziana zain doa tuhan pinjamkan bapanya lebih lama 2

Kredit foto: Instagram Ziana Zain

"Abah sangat tegas dan penyayang... Dia tidak peduli kalau kami salah, dia akan tegur, tidak kiralah walaupun sudah berkahwin.

"Saya beruntung masih ada lelaki bergelar abah pada usia saya... Ada yang kehilangan bapa sejak muda lagi," katanya sebak.

Menyifatkan Pak Zain sebagai pengawal pengiring atau 'bodyguard' yang sentiasa menemaninya ketika menjayakan aktiviti seni di awal usia kerjaya dahulu, Ziana akui peranan besar yang dimainkan oleh orang tua itu sebelum dia di kemuncak populariti.

Berkongsi rasa, apa yang boleh diperkatakan pelantun Putus Terpaksa ini, pengorbanan bapanya itu begitu besar sehingga tidak mampu dibalas.

"Saya seronok kerana Tuhan bagi peluang kami potong kek bersama abah. Paling bermakna abah dapat potong kek bersama 12 cucunya.

"Saya berdoa abah sihat supaya dia dapat lihat cucu-cucunya membesar dan berjaya melanjutkan pengajian," katanya.

Tatkala bercerita tentang ayahnya, Ziana turut mencuri ruang dengan memohon agar para peminat di luar sana menghargai kedua ibu bapa sementara hayat mereka masih ada.

"Kita tidak tahu bila masa kita akan kehilangan ibu bapa, jadi bila ada peluang gunakanlah sebaiknya," katanya.

Momen majlis hari lahir Pak Zain turut dikongsi Ziana di laman Instagram menerusi sebuah video yang memaparkan lelaki itu memotong kek sambil ditemani anak-anak serta cucu-cucunya di sisi.

Sehingga kini meraih lebih 100,000 tontonan dan mengumpul tanda 'suka' daripada peminat termasuk rakan artis, antaranya penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Dalam perkembangan lain, Ziana baru menamatkan penggambaran siri Mak Cun 4 yang sedang rancak ditayangkan di TV3. Selain itu, beliau bakal muncul dalam program Gen F terbitan Astro.




Hakcipta iluminasi.com (2017)