Penyanyi Zaiton Sameon berharap ingatannya yang terganggu selepas kemalangan ngeri 28 tahun lalu akan kembali pulih.

Zaiton berkata, beliau bakal berdoa di hadapan Kaabah sewaktu mengerjakan Umrah bermula 26 Januari hingga 6 Februari ini.

"Tidak sabar rasanya hendak menjejakkan kaki ke Tanah Suci kerana saya ingin berdoa di hadapan Kaabah untuk memohon kepada Allah agar ingatan saya pulih sepenuhnya.

"Harap-harap hasrat saya itu termakbul selain ingin berdoa agar diberikan kesihatan dan dimurahkan rezeki.

"Doa saya juga untuk semua rakyat Malaysia dan negara kita agar sentiasa aman dan damai," katanya kepada Mstar Online.

Zaiton, 61, membuat kenyataan tersebut di majlis pelepasan peserta umrah penggiat seni di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat.

22 artis veteren yang turut terpilih mengerjakan umrah termasuk Ibnor Riza, Hamid Gurkha, Sulaiman Yassin (Mat Over), Harun Hashim, Mat London, Sahara Yaacob, Shima, Aida Agil, Zaleha Hamid, Ayati Tasrip dan Halil Chik.

Program itu merupakan anjuran bersama Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Yayasan Mustika Kasih dan Yayasan Perdana Ummah.

Sementara itu, Zaiton berkata, dia tetap teruja untuk ke tanah suci itu walaupun bukan pertama kali menjejakkan kaki ke sana.

Malah peluang yang diterima ini dianggap rezeki kerana telah sekian lama dia menyimpan hasrat untuk kembali ke Makkah. 

"Saya pertama kali ke Makkah sekitar tahun 1995 dan sejak itu perasaan rindu terhadap Makkah sentiasa ada cuma tiada peluang untuk ke sana.

"Alhamdulillah selepas 23 tahun akhirnya doa saya untuk kembali melawat rumah Allah akhirnya tercapai," katanya.

Pada 21 Februari 1990, Zaiton terlibat dalam kemalangan ngeri di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dekat Batang Kali yang meragut nyawa anak tunggalnya yang berusia 13 tahun.

Seorang lagi, pemuzik pengiring Zaiton, Ismail Shaari turut meninggal dunia. 

Manakala Zaiton cedera teruk pada leher dan kaki serta terlantar koma selama enam bulan.

Beliau mengalami gangguan emosi selama 11 tahun, dari Feb 1990 hingga Julai 2001. 

Sumber berita & Kredit foto: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)