Kredit foto: Harian Metro

Meskipun terpaksa bertongkat, Zaiton Sameon enggan menjadikannya sebagai alasan untuk berehat daripada kerjaya nyanyian.

Menurut penyanyi lagenda berusia 60 tahun ini, kecederaan kaki yang berpunca daripada insiden kira-kira lima bulan lalu itu tidak akan menjejaskan semangatnya untuk meneruskan karier yang menjadi periuk nasinya.

"Saya jatuh selepas tergelincir dalam lif ketika menghadiri sebuah majlis pada Hari Raya Aidilfitri lalu. Akibatnya, kaki terseliuh sehingga saya tidak boleh berjalan.

"Sebelum ini, saya terpaksa berkerusi roda selama dua bulan sebelum menggunakan tongkat, tetapi aktiviti nyanyian tetap diteruskan," katanya menurut portal BH Online.

Sementara itu, Zaiton berkata, dia begitu teruja untuk sebuah persembahan pentas yang bakal diadakan bersempena tahun baharu ini.

Beliau akan mengubati kerinduan peminat menerusi persembahan 'Nostalgia Bersama Zaiton Sameon' yang berlangsung di Restoran Rebung, Kuala Lumpur, pada 1 Januari hadapan.

"Selain kira-kira 10 lagu yang pernah mempopularkan nama saya, persembahan itu juga akan diserikan dengan dendangan duet bersama orang kuat pertunjukan ini, Syed Wafa, menerusi lagu Rindu Pelukan Bonda.

"Saya berharap semua peminat dapat hadir pada persembahan itu nanti dan sama-sama kita menggamit memori," katanya yang pernah mencipta fenomena menerusi lagu Menaruh Harapan dan Kabut Serangkai Mawar.

Dianjurkan bersama Wafa Gallery dan De Media & Event Entertainment, ia menjadi antara kemunculan solo Zaiton selepas menghilang sekian lama. Tiket persembahan boleh didapati dengan harga serendah RM150 termasuk hidangan.

Kata Zaiton juga, jika boleh, dia ingin menyaksikan rakan-rakan artis yang lama tidak bersua dengannya untuk sama-sama hadir memberikan sokongan.

"Saya akan tetap menyanyi walaupun terpaksa bertongkat sebab nyanyian adalah jiwa dan dunia saya.

"Tetapi, sewaktu menyanyi nanti saya sorok tongkat saya," katanya secara bergurau.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)