Kredit foto: Instagram Fazura
Aktres Fazura mendedahkan supertelefilem Wanita Terindah bakal menjadi gandingan terakhirnya bersama aktor Fattah Amin.
Menurut pelakon berusia 34 tahun itu, dia sedaya upaya mengelak daripada bergandingan dengan Fattah sekurang-kurangnya sehingga pertengahan tahun hadapan
"Saya boleh katakan, ini adalah projek terakhir kami digandingankan bersama untuk tahun ini.
"Saya mahu bergandingan dengan pelakon dan hero lain pula untuk tahun hadapan.
"Jadi tiada gandingan kami bersama lagi dalam masa terdekat," ujarnya memetik laporan portal Astro Gempak.
Kata Fazura, tindakan itu adalah salah satu strategi dalam kerjayanya kerana tidak mahu penonton bosan melihat kekerapan gandingan mereka.
"Saya akan mengelak untuk muncul bersama Fattah dalam mana-mana projek kerana saya rasakan kami perlu beri ruang untuk masing-masing berkarya dengan berlainan hero dan heroin.
"Ini strategi saya dalam lakonan dan saya tidak mahu peminat muak kerana sering melihat kami bersama," beritahunya.
Supertelefilem Wanita Terindah telahpun menemui penonton sejak 2 November lalu di saluran Astro First Eksklusif.
Kredit foto: Instagram Fazura
Dalam pada itu, Fazura menjelaskan, karya itu mempunyai kelainan tersendiri berbanding drama mereka terdahulu kerana ia tidak mengetengahkan kisah cinta semata-mata, sebaliknya lebih memberi fokus kepada unsur kekeluargaan.
"Kami tidak mahu penonton bosan jika asyik lihat kami berlakon sebagai pasangan kekasih sahaja.
"Ini adalah kelainan yang cuba kami tampilkan kepada peminat.
"Peminat boleh melihat kami dalam watak dan situasi berbeza kali ini di mana kami bukannya sekadar menjual kisah cinta semata-mata,” terangnya.
Supertelefilem itu antara lain dibintangi Sarah Hildebrand, Liza Othman, Adam Mika, Ridzuan Hashim dan Samantha Katie James.
Sumber berita: Astro Gempak