Kredit foto: Instagram Fazura
Enggan lagi diheret spekulasi sekaligus mengukuhkan kenyataan di sidang media tergempar yang diadakan, pasangan sensasi, Fattah Amin dan Nur Fazura Sharifuddin, tampil memuat naik video majlis pertunangan mereka di laman Instagram, pada Jumaat.
Video yang mempunyai tiga bahagian itu memaparkan serba sedikit perjalanan majlis yang meriah dalam keadaan sederhana.
Majlis diadakan pada pada 13 November lalu di kediaman keluarga Fazura.
Menerusi kapsyen, pasangan ini merakamkan ucapan penghargaan buat para peminat yang mendoakan kesejahteraan mereka:
"Teristimewa buat kesayangan kami 'Love Warriors'. Majlis pertunangan kami yang sederhana. Terima kasih di atas doa anda semua. Salam sayang dari kami, Fattah dan Fazura."
Sebelum ini, dalam sebuah sidang media, pasangan filem televisyen Wanita Terindah ini membuat pengakuan mereka telah bertunang dan dalam masa sama menafikan dakwaan pernikahan yang disebarkan pihak tertentu.
Dalam pada itu, mereka bakal melangsungkan majlis nikah secara tertutup dalam tempoh terdekat, diikuti majlis resepsi pada tahun hadapan.
Kredit video: Instagram Fazura
Sumber berita: BH Online