Kredit foto: Instagram Fazura
Akhirnya aktres Fazura mendedahkan gosip pertunangan antara dirinya dan Fattah Amin yang dicanang bakal berlangsung pada 13 November ini hanyalah gimik semata-mata.
Ia susulan penerbitan supertelefilem Wanita Terindah yang menggandingkan mereka sebagai teraju utama.
“Apabila drama ini ditayangkan, banyak pula cerita keluar termasuklah fasal bertunang. Apa boleh saya katakan ini sekadar gimik pihak pengurusan saya dan Fattah. Mungkin ini cara publisiti mereka,” katanya yang dipetik daripada portal Harian Metro.
Malah aktres berusia 34 tahun ini enggan mengulas soal jodoh buat masa ini, kerana lebih selesa menyerahkan perkara tersebut kepada ketentuan Ilahi.
Dalam perkembangan lain, pelakon yang juga penyanyi rakaman ini melakar sejarah selepas album pertamanya yang baru dilancarkan, laris sebanyak 5,000 unit sejak tempahan awal dibuka 23 Oktober lepas.
Ia sekaligus melayakkan album yang memegang jenama 'Fazura' sebagai judul merangkul anugerah emas daripada syarikat rakaman Universal Music Malaysia.
“Alhamdulillah, ini adalah rezeki dan rahmat Allah. Saya tidak menjangka album sulung ini mendapat sambutan luar biasa walaupun baru dilancarkan.
“Ini satu lagi pencapaian tertinggi dalam kerjaya nyanyian saya. Walaupun sebelum ini ramai mengkritik dan menghina keputusan saya untuk jadi penyanyi, kejayaan ini membuktikan saya bukan syok sendiri.
“Saya percaya apa saja yang diperkatakan orang baik atau buruk, ia tetap satu doa. Terima kasih atas semua sokongan peminat yang diberikan selama ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fazura dilihat sebak ketika majlis pelancaran berlangsung sehingga pada satu ketika, menitiskan air mata.
“Saya menangis mengenangkan pembabitan dalam bidang nyanyian. Memang pada mulanya keputusan menyanyi sekadar suka-suka, tetapi apabila pihak Universal Music menawarkan untuk menerbitkan album, saya sangat terharu.
“Kepercayaan diberikan mereka membuatkan saya lebih bersemangat. Saya bekerja keras untuk album ini ditambah pula kekangan kerja dan masa yang tidak menentu. Walaupun penat, saya tetap teruskan. Alahamdulillah, hasilnya sangat berbaloi,” katanya.
Sumber berita: Harian Metro