Kredit foto: Beautifulnara

Aktres Fazura berasa terkejut dengan pemberian 500 kuntuman bunga mawar pada hari kelahirannya semalam.

Hadiah mawar berwarna merah jambu dan putih itu awalnya disangkakan pemberian daripada ibunya.

Namun Fazura tidak menyangka akan ada lagi kejutan yang menyusul selepas ucapan hari jadi oleh Fattah menerusi kiriman Instagram terdahulunya.

"Terkejut sangat, saya ingat hadiah bunga itu daripada ibu saya tapi rupa-rupanya pemberian Fattah Amin.

"Dia memang suka buat kejutan begini, sebelum majlis ini berlangsung dia ada bagi ucapan, tak sangka pula ada bunga menyusul.

"Ini bukan kejutan yang pertama, sebelum ini dia pernah memberi bunga kepada saya semasa acara Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW)," katanya memetik laporan Mstar Online.

Fazura membuat kenyataan tersebut di Majlis Pelancaran Produk Kesihatan Dan Kecantikan Jenama Tru Dolly By Fazura yang berlangsung di Hotel Ritz Calton Kuala Lumpur semalam.

Terdahulu, pada ulang tahun kelahiran Fattah yang ke-27 iaitu pada 14 September lalu, Fazura terlebih dahulu mengejutkan Fattah dengan pemberian 50 kuntuman bunga mawar di mana pada waktu tersebut aktres itu menghadiri acara fesyen di New York, Amerika Syarikat.

Susulan itu, Fattah menerusi laman Instagramnya memberikan ucapan selamat hari lahir buat Fazura sempena ulang tahun kelahirannya semalam.

Dan ia diikuti pula dengan pemberian 500 kuntum bunga yang dihantar oleh para peminat dan wakil Fattah kerana aktor tersebut sibuk menjalani penggambaran drama.

Dalam pada itu, pelakon filem Manisnya Cinta Di Cappadoccia ini berkata, Fattah merupakan lelaki yang paling rapat dengannya kini.

Malah dia akui, keserasian mereka bermula sejak menjalani penggambaran drama Hero Seorang Cinderella.

"Buat masa ini, hanya Fattah sahaja yang berani mendekati saya, malah sejujurnya saya selesa berkawan dengannya.

"Mungkin sebab kami pernah berlakon bersama, selalu berjumpa jadi keserasian dan keselesaan itu masih ada," katanya.

Menyentuh mengenai produk Tru Dolly by Fazura, aktres itu menjadikan amalan penjagaan kecantikannya sebagai inspirasi kepada penghasilan tablet kecantikan. 

"Tru Dolly mempunyai dua jenis tablet berbeza iaitu Detox Pro dan Beauty Booster, ia boleh diamalkan oleh lelaki dan wanita.

"Besar harapan saya supaya produk ini mampu memberi manfaat kepada pengguna," katanya.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)