Parkinson adalah penyakit sistem saraf yang menyebabkan berlakunya gejala seperti gegaran, ketegangan otot, pergerakan tidak tepat dan Perlahan. Ia biasanya dihidapi oleh warga emas dan mereka yang sudah berusia. Parkinson biasanya dikaitkan dengan kemerosotan ganglia basal (rangkaian asas otak yang bertanggungjawab untuk pergerakan) dan kekurangan dopamin neurotransmitter.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sehingga hari ini, tiada ujian khusus untuk mengdiagnosis penyakit ini. Biasanya, doktor hanya mampu untuk mendiagnosis Parkinson berdasarkan sejarah perubatan seseorang itu sahaja.

Namun, segalanya mungkin berubah kerana seorang wanita dari Scotland bernama Joy Milne. Joy mampu mengetahui jika seseorang itu menghidap penyakit otak ini hanya dengan menghidu sahaja. Lebih mengagumkan, dia mampu menghidu sebelum seseorang itu terkena Parkinson.   

Superpower menghidu penyakit

joy milne

Joy Milne

Kali pertama Joy sedar tentang kebolehannya adalah ketika terbau sesuatu yang 'kuat' seperti bau kesturi pada suaminya, Les Milne. Les yang telah meninggal dunia pada tahun 2015 didiagnos dengan Parkinson pada umur 45 tahun tetapi Joy mendakwa bahawa dia menyedari bau kuat itu 10 tahun lebih awal. Dia kemudian perasan bahawa bau yang sama juga ada pada penghidap Parkinson lain.

Joy pernah diuji untuk menghidu beberapa sampel kapas yang diambil daripada sekumpulan orang di mana ada di antara mereka menghidap Parkinson. Pengkaji terkejut dengan kebolehan Joy mengenal pasti setiap kapas milik pesakit Parkinson.

parkinson

Malah, Joy juga berjaya mengenal pasti seorang individu yang mempunyai Parkinson tetapi belum didiagnosis doktor pakar kerana dia tidak menunjukkan sebarang gejala berkaitan penyakit itu.

Bau molekul pesakit

Sejak itu, saintis mula bekerjasama dengan Joy untuk mengenal pasti apa sebenarnya yang dihidunya. Bau itu dipercayai ada kaitan dengan sebum iaitu rembesan berminyak yang dikeluarkan kelenjar untuk menjaga kulit dan rambut secara semula jadi. Penghidap Parkinson biasanya menghasilkan sebum lebih banyak berbanding orang biasa.

Walau bagaimanapun, penyelidik ingin mengetahui dengan lebih tepat apakah molekul yang dihidu oleh Joy sehingga mereka mengambil sampel kimia pada ramai pesakit Parkinson untuk dianalisis.

joy milne dan dr perdita barren

Joy Milne dan Dr. Perdita Barren

Menurut salah seorang pengkaji dari University of Manchester, Dr. Perdita Barran, mereka merangka beberapa eksperimen untuk meniru kebolehan Joy dalam menghidu penyakit itu. Mereka mengambil sampel kimia daripada 64 orang sukarelawan di mana sebahagian menghidapi Parkinson manakala sebahagian lagi tidak.

Mereka mendapati bahawa pesakit Parkinson mempunyai lebih banyak asid hippuric, eiconsane, oktadecanal dan beberapa lagi bahan kimia dalam sebum mereka. "Superpower" yang dimiliki Joy telah membantu saintis menemui 10 molekul yang dikaitkan dengan pesakit Parkinson. 

joy melakukan ujian bau

Kehadiran sebatian molekul ini dikaitkan dengan tahap perubahan neurotransmitter pada pesakit iaitu signal kimia yang membantu neuron bersambung dan mengawal pemikiran serta pergerakan manusia.

Impak besar dunia perubatan

Menurut Dr. Barran lagi, mereka berharap agar dapat mendiagnos pesakit sebelum gejala-gejala Parkison mula kelihatan  supaya mereka dapat mencegah penyebaran penyakit itu. Itu adalah tumpuan utama mereka.

Ini boleh memberikan impak besar dalam dunia perubatan, bukan sahaja untuk diagnosis awal tetapi juga membantu pesakit memantau kesan terapi yang dilakukan ke atas mereka.

simptom parkinson

Walaupun jumlah 64 orang sukarelawan itu agak kecil dan belum begitu jelas bagaimana sebum membolehkan Parkinson dikesan tetapi terdapat banyak potensi yang boleh dikembangkan dan dianalisis.

Buat masa sekarang, tiada rawatan untuk menyembuhkan Parkinson tetapi sekiranya kita dapat mengetahuinya dengan lebih cepat kita mungkin boleh mengusahakan cara untuk menanganinya sebelum ia sampai ke peringkat terakhir.

Kebanyakan daripada kita tidak perasan perubahan dalam bentuk bau yang dihasilkan pesakit Parkinson. Para saintis berfikir Joy mempunyai kelebihan untuk membeza-bezakan bau dalam bentuk yang begitu halus.

Mampu juga menghidu penyakit lain

joy milne 2

Selain Parkinson, Joy juga mendakwa bahawa dia boleh menghidu bau penyakit lain seperti Alzheimer dan kanser. Bekas jururawat itu masih banyak diperlukan dalam kemajuan sains dan perubatan. Buat masa ini, sedang bekerjasama dalam ujian untuk mengenal pasti penyakit tuberkulosis (batuk kering).

Lebih daripada 10 juta orang di seluruh dunia hidup dengan Parkinson dan jumlah itu dijangka akan meningkat secara mendadak pada masa hadapan. Dengan kebolehan yang dimiliki Joy, kita mungkin mampu melakukan sesuatu terhadap masalah ini.

Rujukan:

1. Wanita yang boleh menghidu penyakit

2. Wanita bantu pakar perubatan menggunakan deria bau

3. Wanita dengan Superpower boleh hidu Parkinson




Hakcipta iluminasi.com (2017)