Sekumpulan jururawat di Hopistal Universiti Aarhus, Denmark telah melanggar peraturan hospital untuk menunaikan hasrat terakhir seorang lelaki berusia 75 tahun di penghujung usianya.
Carsten Flemming Hansen telah diberitahu oleh doktor bahawa dia terlalu uzur untuk menjalani sebarang pembedahan dan mungkin akan meninggal dunia dalam beberapa hari sahaja akibat pendarahan dalaman kesan daripada aneurisme aorta yang dialaminya.
BESARKAN TEKS A- A+
Lantaran itu, Carsten menyampaikan hasrat terakhirnya kepada seorang jururawat bernama Rikke Kvist untuk menghisap sebatang rokok dan menghabiskan segelas wain putih di beranda, sambil memerhatikan matahari terbenam.
Menurut satu status Facebook hospital berkenaan, para jururawat menolak Carsten yang terbaring di atas katil ke balkoni hospital dan membenarkannya menghisap rokok di situ. Ini sama sekali bertentangan dengan peraturan hospital yang melarang keras perbuatan menghisap rokok di mana-mana kawasan dalam bangunan hospital.
Carsten kemudian telah menikmati pemandangan matahari jatuh yang menakjubkan sambil menghirup minumannya. Ketika ini, Carsten dikelilingi semua ahli keluarga dan teman rapatnya.
Walaupun mereka berasa sedih dan masing-masing kelihatan menahan air mata, namun ia merupakan satu suasana yang amat aman dan menenangkan.
Ini merupakan satu hadiah istimewa daripada kakitangan hospital dan ahli keluarga sebelum Carsten menghembuskan nafas terakhirnya tiga hari kemudian.
Kami doakan agar semua jururawat dalam dunia mempunyai kesabaran tinggi dan berhati mulia seperti mereka ini.
Sumber:
1. Telegraph UK