Sepanjang hidupnya, Joy Milne mempunyai superpower yang tidak disedarinya. Joy langsung tidak tahu mengapa dia mempunyai satu anugerah biologi yang sangat menakjubkan dan agak menakutkan untuk dikaji oleh para saintis.
Malah, Joy mungkin terus tidak akan menyedari hal ini jika bukan kerana suaminya, Les Milne.
Joy dan Les mengenali antara satu sama lain ketika di sekolah menengah. Selepas tamat kolej, pasangan ini berkahwin dan hidup dengan gembira.
BESARKAN TEKS A- A+
Les menjadi seorang doktor manakala Joy bekerja sebagai jururawat. Pasangan ini dikurniakan 3 orang anak lelaki.
Joy memberitahu bahawa mereka sangat serasi sehinggakan tersangat jarang bergaduh.
"Kami berselisih faham sekali-sekala, tapi kami tidak bergaduh," kata Joy.
Namun pada satu hari, kira-kira 10 tahun selepas mereka berkahwin, Les pulang ke rumah dan apa yang peliknya adalah Joy berkata suaminya itu mempunyai bau yang pelik.
"Bau Les berubah menjadi seakan-akan bau yis yang busuk," kata Joy.
Pada mulanya Joy menyangkakan bahawa ia mungkin datang dari sesuatu di hospital dan menyuruh Les mandi, namun ia tidak berkesan.Dan selepas beberapa minggu dan bulan yang mendatang, bau itu seolah-olah menjadi lebih kuat.
Joy mula membebel dan mengatakan bahawa Les mandi dengan tidak begitu bersih.
Bau tersebut tidak hilang dan Les menjadi marah apabila isterinya menyuruhnya mandi. Ini kerana Les tidak dapat menghidu bau itu, dan begitu juga dengan orang lain.
Malangnya, setelah tahun demi tahun, Joy mula merasakan bahawa bukan bau suaminya sahaja yang berubah, tetapi personaliti dan perwatakan suaminya.
Les dikatakan menjadi kurang bertolak ansur seperti sebelumnya.
Pasangan ini semakin kerap bergaduh dan ciri-ciri yang dihargai oleh Joy terhadap suaminya iaitu kesabaran dan sikap bertimbang rasa, semakin luntur.
Sehinggalah menjelang usia awal usia 40 tahun, Joy mula melihat Les sebagai orang yang berbeza sama sekali.
Dan pada satu malam, Joy terjaga disebabkan oleh Les menyerangnya.
"Les seperti menjerit dan menggoncang badan saya, namun dia langsung tidak menyedarinya," kata Joy.
Jelas sekali bahawa Les mengalami mimpi buruk, namun selepas serangan itu Joy terpaksa melakukan sesuatu. Joy bimbang Les mempunyai tumor otak di mana mereka memerlukan rawatan perubatan.
Joy masin ingat dia duduk di sebelah suaminya ketika doktor memberitahu diagnosisnya, iaitu Les yang berusia 45 tahun menghidap penyakit Parkinson.
Penemuan deria bau yang luar biasa
Joy memberitahu bahawa dia dan Les cuba untuk melakukan yang terbaik untuk 20 tahun yang akan datang, namun ia sangat sukar disebabkan oleh hilang pergerakan dan hilang kerja serta dunia mereka menjadi semakin sempit.
Joy masih tidak berputus asa dan pada tahun 2013, dia memutuskan untuk menghadiri kumpulan sokongan untuk orang yang menghidap Parkinson.
"Kami terlambat dan ramai orang di situ. Dan sebaik sahaja saya masuk ke dalam bilik itu, saya dapat menghidu bau yang sangat busuk!," kata Joy.
Joy menyedari bahawa orang lain di dalam bilik tersebut juga mempunyai bau berminyak dan hapak yang sama seperti Les, bau yang mana Joy sedar ketika Les baru berusia 31 tahun.
Dia juga memberitahu bahawa sesetengah daripada mereka mempunyai bau yang lebih kuat berbanding yang lain.
Ini membuatkan Joy tertanya-tanya, adakah penyakit Parkinson mempunyai bau tersendiri?
Sebaik sahaja mereka sampai di rumah, Joy memberitahu perkara ini kepada Les yang membuatkan doktor itu terkejut. Kedua-dua mereka adalah doktor dan jururawat, dan mereka memahami betapa pentingnya penemuan ini.
Sebagai permulaan, ini merupakan penemuan saintifik baharu, tetapi Joy juga telah menghidu penyakit itu pada Les lebih sedekad sebelum gejalanya menjadi lebih teruk untuk mereka mendapatkan bantuan perubatan.
Jika Joy boleh meramalkan Parkinson sebelum gejala yang biasa kita ketahui seperti terketar-ketar dan gangguan tidur muncul, mungkin dia boleh bekerjasama dengan para penyelidik. Dan ini mungkin membawa kepada kejayaan besar dalam bidang perubatan.
Joy dan Les menyedari serta-merta bahawa mereka perlu memberikan maklumat ini kepada saintis yang betul. Jadi mereka berjumpa dengan penyelidik Parkinson di Universiti Edinburgh bernama Tilo Kunath.
Akan tetapi pada mulanya, Tilo memberitahu bahawa dia tidak berminat.
"Saya menolak idea itu, kerana kelihatan seperti mustahil. Mengapa Parkinson harus mempunyai bau? Anda biasanya tidak akan menyangka keadaan neurodegeneratif seperti Parkinson, atau Alzheimer, mempunyai bau," kata Tilo Kunath.
Namun beberapa bulan kemudian, Tilo mendengar tentang kajian yang menunjukkan bahawa anjing boleh menghidu kanser, yang membuatkannya terfikir tentang Joy.
Tilo kembali mencari Joy dan memintanya untuk datang ke makmal bagi melakukan ujian khas rekaannya sendiri.
Kajian bau Parkinson
Dalam kajian itu, Tilo meminta satu kumpulan pesakit Parkinson dan satu lagi kumpulan orang yang tidak menghidap penyakit itu untuk membawa pulang baju-T putih, memakainya semalaman dan mengembalikannya.
Baju-baju tersebut diberikan nombor rawak dan dimasukkan ke dalam kotak, lalu Joy diarahkan untuk menghidunya satu persatu dan memberikan markah mengikut bau tersebut.
Apa yang mereka dapati sangat mengejutkan di mana daripada 12 baju yang dihidu, Joy mengenal pasti kesemua 6 baju yang dipakai pesakit Parkinson dengan tepat.
Malah, daripada semua sampel yang diberikan, Joy hanya membuat satu kesilapan di mana dia mengenal pasti seorang lelaki dari kumpulan tanpa Parkinson sebagai penghidap penyakit itu.
Namun 8 bulan kemudian, lelaki ini akhirnya didiagnos menghidap Parkinson.
Menurut eksperimen ini, memang tidak dapat disangkal lagi bahawa Joy bukan sahaja dapat menghidu Parkinson, tetapi dapat menghidunya walaupun tanpa kehadiran gejala atau tidak disedari pesakit itu sendiri.
Tilo dan beberapa rakan saintis menerbitkan karya mereka dalam ACS Central Science pada Mac 2019, menyenaraikan Joy sebagai pengarang bersama.
Penyelidikan mereka mengenal pasti sebatian khusus tertentu yang mungkin menyumbang kepada bau yang Joy sedari pada suaminya dan pesakit Parkinson yang lain.
Joy dan kebolehannya menghidunya yang sangat menakjubkan telah membuka bidang penyelidikan yang baru, kata Tilo.
Para penyelidik, termasuk Perdita Barran di Universiti Manchester, mengetuai kajian kedua yang lebih besar dan baru-baru ini menemui 10 sebatian yang dikaitkan dengan Parkinson dengan menggunakan spektrometri jisim dan teknik lain untuk menganalisis sampel daripada 274 orang.
Mereka berharap dapat mencari cara untuk mendiagnosis Parkinson daripada penanda bio berasaskan kulit.
"Ujian bau Joy melibatkan Parkinson adalah "menarik tetapi tidak pasti. Lebih banyak kajian akan memberikan lebih kepastian", kata Richard Doty, pengarah Pusat Bau dan Rasa di Sekolah Perubatan Universiti Pennsylvania Perelman.
Namun, kuasa yang dimiliki Joy ini adalah sangat luar biasa sehinggakan para penyelidik di seluruh dunia telah mula bekerjasama dengannya dan mendapati bahawa dia juga boleh mengenal pasti beberapa jenis penyakit termasuklah batuk kering, Alzheimer, kanser dan diabetes.
Rujukan:
1. BBC
2. NPR
3. Dark Daily