Setiap manusia dilahirkan mempunyai deria rasa. Kita mempunyai sistem saraf yang mempunyai sistem deria atau organ yang dikhususkan untuk setiap deria. Namun, kali ini kami ingin mengupaskan secara khusus mengenai deria rasa kesakitan sahaja.
Setiap daripada kita mungkin mempunyai deria rasa kesakitan yang berbeza dari skala 1 hingga 10. Namun, tahukah anda, terdapat kes yang sangat jarang ditemui iaitu ada manusia yang tidak mempunyai rasa sakit langsung?
BESARKAN TEKS A- A+
Anda mungkin menganggap perkara ini adalah baik atau sebagai sejenis superpower, akan tetapi bagi mereka yang mengalami masalah ini ia tidaklah seperti yang anda sangka. Berikut adalah kisah menarik mengenai mereka.
Tidak perasan apabila mengalami kecederaan
Seorang wanita bernama Letizia Marsili, 52 tahun, tidak merasai sebarang kesakitan. Pernah sekali bahunya retak semasa bermain ski, namun dia tidak perasan dan hanya pergi ke hospital untuk pemeriksaan pada keesokan harinya kerana jarinya menggeletar.
Begitu juga dengan anak lelakinya, Ludovico. Dia seorang pemain bola sepak dan telah mengalami banyak keretakan kecil pada kaki dan tidak pernah perasan hal itu, sehinggalah baru-baru ini apabila dia jatuh terbaring di atas padang akibat dibentes pihak lawan.
Apabila dibawa untuk pemeriksaan X-ray, doktor mendapati kedua-dua belah kaki Ludovico mengalami banyak retakan kecil. Ini sebabnya mengapa kakinya selama ini kelihatan sedikit herot-benyot.
Seorang lagi anak lelaki Letizia yang lebih muda iaitu Bernardo, 21, pernah patah tulang siku kerana jatuh dari basikal. Namun, dia tidak menyedarinya dan terus mengayuh basikalnya sejauh 14 km lagi. Dia hanya menyedari perkara itu setelah tiba di rumah ketika melihat sesuatu yang pelik pada bentuk fizikal sikunya.
Sindrom Marsili
Ahli keluarga Marsili iaitu Letizia, ibunya, kakaknya, dua anak lelakinya dan seorang anak saudara perempuan semua mengalami masalah yang sama. Kondisi yang sangat jarang ditemui membuatkan mereka imun kepada rasa sakit.
Sehingga kini, saintis hanya menemui kondisi ini pada keluarga Marsili sahaja dan ia diberi nama “Sindrom Marsili” yang diambil bersempena nama keluarga itu. Menurut BBC, saintis yang mengkaji keluarga Marsili ini percaya kondisi ini adalah disebabkan oleh sistem saraf tunjang mereka tidak bertindak balas dengan betul terhadap bahagian tindak balas stimuli.
Kesakitan adalah tindak balas asas bagi tubuh manusia apabila ia menghantar isyarat kepada otak mengenai sebarang kemungkinan untuk cedera. Apabila seseorang berasa sakit akibat menyentuh benda panas atau objek tajam, sistem saraf memberitahu otak untuk menafsirkan dan mengarahkan badan agar berhenti meneruskan perbuatan itu bagi mengelakkan sebarang kecederaan yang lebih teruk.
Namun, keluarga Marsili kelihatan seperti tidak mempunyai sistem tindak balas ini yang mengakibatkan mereka cenderung untuk cedera. Ibu kepada Letizia iaitu Maria, mempunyai beberapa keretakan tulang pada badannya. Oleh kerana tidak mendapatkan rawatan yang betul, menyebabkan tisu ototnya jadi menegang dan keras.
Tambahan pula, ibunya sering mengalami lecur pada tangan semasa memasak akibat tidak berasa sakit apabila memegang objek yang panas. Hal yang sama juga dialami oleh kakak Letizia iaitu Maria Elena. Dia telah mengalami kerosakan saraf pada mulutnya akibat tidak dapat merasakan kesakitan daripada minum atau makan benda yang panas.
Namun begitu, Letizia mengatakan mereka sebenarnya mempunyai hidup yang normal. Mungkin juga hidup mereka lebih baik daripada orang lain kerana mereka sangat jarang jatuh sakit dan tidak merasai sebarang kesakitan langsung.
Di sebalik masalah mereka, ia mungkin menjadi penyelesaian kepada orang lain
Walaupun simptom ini telah menjejaskan kesihatan keluarga Marsili tetapi masalah mereka yang unik ini boleh menjadi penyelesaian untuk orang lain. Para pengkaji yang membuat kajian mengenai kesakitan dan kawalan kesakitan telah menganggarkan 1 daripada 10 orang menderita akibat kekurangan merasai kesakitan.
Perkara ini sering terjadi pada golongan dewasa. Ia boleh mengakibatkan pelbagai kesan buruk kepada individu itu apabila tidak merasai kesakitan kecil yang mungkin menjadi petanda tentang sesuatu masalah kesihatan yang lebih serius.
Hal ini akan menyebabkan kurang rasa peduli kepada petanda awal iaitu rasa sakit kecil yang akan menjurus kepada penyakit yang lebih serius serta menjadikan pembiayaan perubatan akan meningkat lebih mahal lagi.
Setakat ini, para pengkaji telah mengenal pasti mutasi yang terjadi kepada perubahan genetik ZFHX2 yang terjadi penyebab mengapa keluarga Marsili ini tidak merasai kesakitan. Mutasi sebegini adalah sesuatu yang baru di dalam dunia sains dan perubatan.
Walaupun kajian hanya dilakukan ke atas tikus makmal, mereka percaya hasilnya kelihatan positif. Kajian mendapati tikus yang disuntik itu tidak memberi reaksi terhadap suhu panas.
Professor Anna Maria Aloisi dari Universiti Siena di Itali berkata, "Kami telah menemui suatu jalan baru bagi menghasilkan ubat yang boleh mengurangkan rasa sakit. Dengan lebih banyak lagi kajian dilakukan untuk memahami bagaimana sebenarnya mutasi ini memberi impak kepada sensitivi rasa sakit, kami dapat memastikan adakah ia melibatkan genetik atau tidak. Dengan ini, kami boleh mengenal pasti ubat bagaimanakah yang perlu dihasilkan."