Salah satu proses mencari kerja ialah mengemas kini dokumen yang menyenaraikan dengan lengkap segala pengalaman dan kemahiran individu. Ada yang kata, "Nak update CV" manakala ada yang kata "Nak buat resume".
Orang yang dah bekerja puluhan tahun pun sebenarnya masih ada yang tidak tahu perbezaan antara résumé dan CV, apatah lagi adik-adik lepasan sekolah, kolej atau universiti yang baru mahu mengenal erti dunia sebenar kan.
BESARKAN TEKS A- A+
Istilah résumé/resume berasal daripada perkataan Perancis résumer yang membawa makna "sebagai rumusan/kesimpulan" manakala CV pula merupakan singkatan bagi frasa Latin iaitu curriculum vitae yang bermaksud "jalan hidup seseorang."
Daripada definisi itu sahaja kita sudah boleh mendapat sedikit bayangan tentang perbezaan kedua-dua dokumen ini. Beza yang paling ketara adalah panjang setiap dokumen.
Resume vs CV
Resume memberikan ringkasan kehidupan individu berkaitan latar belakang pendidikan, pengalaman kerja, kelayakan, kemahiran dan sebagainya yang sering kali dimuatkan ke dalam satu (atau dua) muka surat sahaja.
CV pula kebiasaannya merangkumi beberapa helaian muka surat yang menyenaraikan secara terperinci latar belakang akademik, ijazah, pengalaman kerja, penyelidikan, penerbitan, pembentangan, penghormatan yang diterima dan semua pencapaian kejayaan lain.
Kenapa penting untuk tahu perbezaan dua dokumen ini?
Resume berbeza daripada CV kerana ia hanya menampilkan pengalaman dan kemahiran yang berkaitan secara langsung dengan jawatan kerja yang ingin dipohon. Ia memerlukan pengemaskinian dari semasa ke semasa.
CV pula tidak memerlukan pengeditan yang banyak setiap kali memohon kerja namun masih boleh menonjolkan kemahiran yang relevan secara khusus. CV akan sentiasa berkembang dan boleh ditambah bilangan muka surat apabila terdapat kemahiran, pencapaian atau penerbitan baru yang perlu ditambah dalam senarai.
Bagaimana nak tahu mana satu perlu dihantar?
Secara umumnya, CV lebih menjadi pilihan apabila seseorang memohon kerja dalam bidang akademik seperti penyelidikan, pendidikan atau memohon biasiswa pengajian.
Tapi anda janganlah risau sangat. Selalunya bakal majikan sudahpun menyatakan dengan jelas senarai dokumen yang perlu dihantar sekiranya anda ingin memohon jawatan tersebut.
Oh, ya. Jika bakal majikan meminta anda menghantar surat iringan (cover letter) berserta resume, janganlah diabaikan permintaan mereka itu ya. Cover e-mail dengan cover letter tak sama tau.