Dalam hal memasak, penggunaan lemak masakan seperti minyak, mentega, marjerin dan sebagainya sememangnya membuatkan masakan menjadi lebih lazat.
Bagi yang kurang arif dalam hal ini, mentega dan marjerin biasanya digunakan dalam pembuatan kuih serta kek.
Dan walaupun kedua-dua ini digunakan untuk tujuan yang sama, mentega dan marjerin adalah dua produk yang sangat berbeza.
BESARKAN TEKS A- A+
Faktor utama yang membezakannya adalah bahan-bahannya dan jenis lemak yang terdapat di dalamnya.
Disebabkan cara pembungkusan dan juga bentuk mentega dan marjerin adalah sangat mirip, maka ramai yang keliru dan beranggapan kedua-duanya tidak mempunyai perbezaan.
Jadi kali ini iluminasi.com ingin berkongsi dengan anda tentang perbezaan di antara mentega dan juga marjerin.
Apa itu mentega?
Mentega adalah produk tenusu yang diperbuat daripada susu atau krim. Proses pemecahan memisahkan lemak mentega (pepejal) dari susu (cecair).
Walaupun biasanya mentega dihasilkan daripada susu lembu, namun ia juga boleh dihasilkan menggunakan susu mamalia termasuklah kambing biri-biri, kambing, kerbau dan lain-lain.
Warna mentega yang biasa kita lihat adalah kuning pucat, namun warna ini boleh berkisar dari putih hingga kuning terang bergantung kepada pemakanan haiwan tersebut.
Semua mentega komersial yang dijual di Amerika Syarikat dan kebanyakan tempat di dunia perlu mengandungi sekurang-kurangnya 80% lemak.
Jadi jika anda melihat pada label mentega, anda akan dapat melihat peratusan lemak bagi mentega tersebut yang biasanya berbeza dari satu mentega dengan mentega yang lain.
Kadang-kala, garam ditambahkan untuk menghasilkan salted butter dan pewarna makanan digunakan pada mentega untuk memberikan warna yang pelbagai.
Jika mentega dipanaskan secara perlahan-lahan, protein susu yang terkandung di dalamnya akan terpisah yang akan menghasilkan mentega jernih atau ghee (minyak sapi).
Oleh kerana mentega adalah lemak haiwan, maka ia mengandungi kolesterol serta mempunyai lemak tepu yang jauh lebih tinggi berbanding marjerin.
Disebabkan oleh pada dasarnya mentega diperbuat daripada satu bahan sahaja iaitu susu atau krim, maka ia boleh dibuat di rumah.
Apa itu marjerin?
Margarin adalah produk bukan tenusu yang dihasilkan sebagai pengganti mentega.
Walaupun pada asalnya marjerin diperbuat daripada lemak haiwan pada tahun 1800-an, namun bahan utamanya kini berubah kepada minyak sayuran, air, garam, pengemulsi dan ada yang mengandungi susu.
Adalah penting untuk tahu bahawa bukan semua marjerin dihasilkan sama. Terdapat variasi bagi jenama-jenama yang berbeza, jadi penting untuk anda membaca label.
Tidak seperti mentega, marjerin tidak boleh dihasilkan di rumah.
Seperti mentega, marjerin biasa juga mesti mempunyai kandungan lemak minimum 80% mengikut undang-undang dan jika kurang, ia akan diklasifikasikan sebagai sapuan atau spread.
Margarin dan sapuan yang terdapat di pasaran mempunyai peratusan lemak antara 10% hingga 90%.
Bergantung kepada kandungan lemak, kadar minyak sayuran dan air akan berbeza-beza, di mana kandungan lemak yang lebih rendah mempunyai peratusan air yang lebih tinggi dan sebaliknya.
Oleh kerana komponen utama marjerin adalah minyak sayuran, ia kurang dari segi kolesterol dan lemak tepuberbanding mentega.
Malah, ia mempunyai peratusan lemak tak tepu dan monotaktepu yang lebih tinggi, yang mana baik untuk badan dalam jumlah yang sepatutnya.
Namun ia mungkin mengandungi lemak trans dan banyak jenama telah mengurangkan atau membuangnya dari bahan-bahan, sebaliknya menggunakan minyak sawit dan minyak inti sawit sebagai ganti.
Mana lebih bagus, mentega atau marjerin?
Jika anda pernah rasa kedua-dua lemak masakan ini, maka anda tahu betapa jauhnya beza rasa mentega dan marjerin.
Dari segi rasa, memang tak dapat dinafikan bahawa mentega jauh lebih enak berbanding marjerin. Bagi penulis, marjerin tidak dapat menandingi kelazatan mentega.
Jenis lemak yang terdapat dalam mentega dan marjerin adalah faktor penentu dalam apa yang membezakan kedua-dua produk ini.
Mentega dihasilkan dari lemak haiwan manakala marjerin pula diperbuat daripada minyak sayuran. Perbezaan utama ini memberikan kesan kepada rasa, tekstur dan juga nutrisi.
Dari segi harga pula, mentega adalah jauh lebih mahal dan boleh mencecah 2 hingga 4 kali ganda harga marjerin mengikut jenama.
Di pasaran, harga mentega termurah yang anda boleh dapati adalah RM8.00 bagi 200 gram, manakala harga marjerin adalah sekitar RM5 sekilogram. Jauh bezanya, kan?
Ini sekaligus menunjukkan bahawa mentega jauh lebih berkualiti berbanding marjerin.
Untuk membakar seperti membuat biskut, mentega yang mahal biasanya digantikan dengan marjerin untuk mengurangkan kos. Namun, marjerin yang mempunyai kandungan lemak yang lebih rendah mengandungi lebih banyak air, yang boleh menyebabkan hasil yang lebih keras.
Jadi, mana satu yang lebih bagus terletak kepada anda sendiri untuk memilihnya.
Adakah Buttercup itu mentega?
Memang tak dapat dinafikan bahawa jenama Buttercup sangat lazim dalam budaya masakan di Malaysia.
Anda boleh melihat produk ini di mana-mana pasar raya mahupun kedai runcit di seluruh negara.
Namun, majoriti daripada kita menganggap bahawa Buttercup adalah mentega. Jika anda tak percaya, cuba tanya kepada rakan atau ahli keluarga anda, apa itu Buttercup dan rata-rata akan menjawab ianya adalah mentega atau butter.
Ini disebabkan oleh nama jenama itu sendiri yang mempunyai perkataan butter (mentega), serta cara pembungkusan yang serupa dengan mentega sebenar.
Ia mungkin satu teknik pemasaran yang sangat pintar namun Buttercup tidak pernah mendakwa bahawa ia adalah mentega.
Malah, jika anda lihat pada pek pembungkusan Buttercup, tidak terdapat perkataan mentega atau butter.
Jadi, jika Buttercup bukan mentega, adakah ia marjerin?
Dalam hal ini, Buttercup diklasifikasikan sebagai "butterblend" atau campuran mentega.
Istilah butterblend digunakan bagi mengklasifikasikan produk seperti Buttercup dan yang lain-lain, di mana ramuannya terdiri daripada bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan mentega dan juga marjerin, iaitu SUSU dan MINYAK SAYURAN.
Jika anda lihat pada label Buttercup, bahan-bahannya adalah: Minyak kelapa sawit, minyak isirong sawit, lemak susu, susu tepung, garam, lesitin soya dan lain-lain.
Jadi secara asasnya, Buttercup tidak boleh dikategorikan sebagai mentega ramuannya bukanlah ramuan mentega.
Dari segi ramuan, Buttercup merupakan sebahagian mentega dan sebahagian marjerin.
Tetapi adakah ia 50% mentega dan 50% marjerin?
Jawapannya adalah tidak.
Ini kerana jika anda lihat pada label, ramuan disenaraikan mengikut urutan keutamaan, dengan ramuan yang paling banyak digunakan disenaraikan terlebih dahulu.
Ini bermakna minyak kelapa sawit lebih banyak digunakan berbanding lemak susu dalam pembuatan Buttercup, yang mana bermakna ia tidak boleh dianggap sebagai 50% mentega dan 50% marjerin.
Sekali lagi, Buttercup tidak pernah mendakwa ia adalah 50% mentega dan 50% marjerin.
Jadi jika anda menghasilkan biskut menggunakan Buttercup, anda sebenarnya tidak menggunakan mentega tetapi butterblend.
Wallahua'lam.
Rujukan
1. Perbezaan Antara Mentega dan Marjerin
2. Mentega