Kredit foto: ohbulan.com
Mengakui ada mengeluarkan kenyataan bahawa Siti Nordiana memiliki ciri-ciri wanita idamannya, aktor dan hos Zoey Rahman, bagaimanapun menjelaskan apa yang diperkatakannya itu adalah bersifat umum.
Pemilik nama penuh Mohd Hairey Azhar Abd Rahman berusia 31 tahun itu berkata, Siti Nordiana atau Nana mempunyai kriteria wanita dambaan setiap lelaki.
"Sebagai lelaki, memang akan mencari wanita yang memiliki sikap lemah lembut, penyayang, sopan santun dan bertanggungjawab pada keluarga untuk dipilih sebagai teman hidup.
"Kalau dilihat pada peribadi Nana, memang dia memiliki semua kriteria itu. Cuma, kenyataan saya tidaklah dituju pada Nana seorang tetapi secara umum buat wanita lain juga," katanya yang dipetik daripada portal Harian Metro.
Bakat yang memulakan kerjaya pengacaraan menerusi rancangan Gerak Geri Gasing yang bersiaran di Astro Ceria ini menjelaskan, dia sekadar mengutarakan pendapat apabila ditanya tentang ciri-ciri jodoh idaman.
Tambahan pula, Zoey dan Nana menjadi bualan hangat di media sosial apabila mereka mengerjakan ibadah umrah bersama di Makkah pada 6 Disember lalu.
Kata Zoey, dia hanya menjawab pertanyaaan dan bersikap terbuka apabila disoal isu jodoh. Bagaimanapun, tidak sekali terlintas untuk mencanangkan kisah mereka.
"Saya tahu setiap peminat ada pendapat dan pandangan mereka terhadap seseorang selebriti diminati. Begitu juga, pendapat mereka pada saya dan Nana.
"Apapun macam yang pernah Nana beritahu sebelum ini, kami adalah kawan baik. Jika sudah sampai seru jodoh, kami juga tidak akan berahsia.
"Saya harap peminat faham dan terima kasih juga pada mereka (peminat) yang mendoakan baik-baik buat kami berdua," katanya.
Zoey yang juga seorang model memberitahu dia banyak berkongsi pengalaman dengan Nana sewaktu mengerjakan umrah kerana ia adalah pengalaman pertama penyanyi itu berada di sana.
"Tiada yang istimewa dalam hubungan kami selain sebagai sahabat. Malah, saya dan Nana ketawa apabila tahu cerita kami mengerjakan umrah bersama menjadi tular di media sosial," katanya.
Sumber berita: Harian Metro