Oleh pada 21 Nov 2017 kategori

Kredit foto: jiwangmedia.com & Instagram Siti Nordiana

Juri tetap Gegar Vaganza 4, Datuk Ramli MS, 59, mengkritik gaya nyanyian Siti Nordiana kerana merasakan ia tidak setara dengan gelaran Juara Gegar Vaganza yang dipegangnya.

Pengarah muzik berkaliber itu berkata, seorang bekas juara haruslah menunjukkan kualiti persembahan dengan sepenuh keupayaan yang ada.

"Kalau dia peserta atau bintang tersingkir awal, saya tidak akan komen begitu tapi dia bekas juara. Keunggulan dan mutu perlu ada.

"Cuba lihat bagaimana Azharina mempersembahkan lagu duetnya bersama Hazami. Dia lakukan sehabis baik.

“Sebagai juara, Nana harus memikul tanggungjawab itu dengan baik," katanya memetik portal Harian Metro.

Dalam konsert yang berlangsung Ahad lalu, Siti Nordiana atau Nana menjadi rakan duet peserta Gegar Vaganza 4, Lan Kristal ketika mendendangkan lagu Naluri Cinta, nyanyian asal Rohana Jalil dan To' Ki.

Namun Ramli dalam kritikannya selaku juri mendakwa Nana bersifat acuh tak acuh sewaktu menjayakan persembahan berkenaan.

Sementara itu, Ramli berkata, dia tidak marah kepada penyanyi muda itu sebaliknya hanya mengetengahkan fakta tentang cara lontaran vokalnya yang seakan tiada kesungguhan.

“Selepas menilai cara nyanyiannya, ada nada tidak betul. Jika Nana bimbang persembahannya tenggelamkan Lan, dia perlu lakukan persembahan dengan baik sesuai gelarannya," katanya.

Konsert GV4 bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, setiap hari Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)