Kredit foto: catsfm.my & The Star
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza meminta Siti Nordiana mengabaikan komen negatif netizen berhubung persembahannya pada malam penutup Sukan SEA 2017 (SEA2017).
Menerusi persembahan malam Rabu lalu, Siti Nordiana atau Nana menyanyikan dua buah lagu popular milik Siti Nurhaliza iaitu Cindai dan Lebih Indah.
Menurut Siti, Juara Gegar Vaganza Musim Kedua itu telahpun memberikan persembahan yang terbaik, malah dia merakamkan ucapan terima kasih atas kesudian Nana menyanyikan lagunya.
Saya memuji usaha Nana menyampaikan dua buah lagu saya sewaktu acara penutup Sukan SEA pada malam Rabu lalu. Saya berharap agar Nana tidak mempedulikan apa yang dikatakan netizen kerana saya yakin, Nana sudah melakukan yang terbaik. Jika kita mahu mendengar kecaman dan kata-kata netizen, kita akan lemah dan terus lemah dan saya memahami tanggungjawab yang digalas oleh Nana dan saya berterima kasih kepada beliau.
Sumber: Mstar
Dalam kritikan yang dikeluarkan netizen di laman sosial, mereka menganggap vokal Nana tidak sesuai membawakan lagu-lagu Siti, malah nyanyiannya dikatakan tidak mencapai aras yang sudah diletakkan oleh penyanyi tersohor negara itu.
Sementara itu, Siti memberitahu, dia terlebih dahulu telah mengingatkan kelab peminatnya agar turut sama menyokong usaha Nana dalam membawakan lagu-lagunya di malam penutup itu.
Siti juga sempat menghantar ucapan semangat kepada Nana menerusi laman Instagram sebelum persembahannya berlangsung.
Saya sendiri di dalam laman Sitizone juga mengajak para peminat saya memberikan sokongan dan semangat kepada Nana. Mereka juga berterima kasih kepada Nana kerana sudi menyanyikan lagu Cindai dan Lebih Indah. Saya tidak ada masalah mengenainya kerana saya yakin pasti ada kelebihan pada Nana dan penganjur atau pengarah muzik memilih beliau untuk menyampaikan lagu-lagu saya. Apabila beliau bersetuju dan bersedia menyanyikan lagu saya, beliau sudah menunaikan yang terbaik dari diri Nana.