Kepercayaan perubatan yang menggunakan unsur-unsur najis haiwan, sangat dekat dengan kepercayaan orang Hindu yang menjadikan najis lembu sebagai salah satu elemen perubatan mereka.
Selain itu, masyarakat Arab juga percaya dengan khasiat dan faedah meminum air kencing unta yang dikatakan mampu memperkuatkan mereka yang meminumnya. Untuk artikel kali ini pula, kami ingin menerangkan serba sedikit berkenaan kepercayaan masyarakat China pula, khasnya mereka yang masih berpegang kepada amalan perubatan tradisional masyarakat mereka atau 'traditional Chinese medicine' (TCM).
BESARKAN TEKS A- A+
Rawatan tradisional masyarakat China merupakan antara sistem rawatan paling tua di dunia serta lebih popular dengan penggunaan herba dan tumbuhan; tetapi tahukah anda, najis turut sama menjadi elemen penting dalam perubatan tradisional mereka?
Sejarah ringkas perubatan tradisional China
Bahan seperti ginseng menjadi salah satu ramuan penting yang bukan saja popular di kalangan masyarakat Cina di negara kita, malahan turut sama diterima baik penggunaannya di serata dunia. Walau demikian, penggunaan bahan berunsurkan najis tak kiralah dari sumber manusia atau haiwan - mempunyai sejarah panjang dalam TCM sejak 2500 tahun yang lalu dan telah direkodkan penggunaannya.
Berikutan keberkesanan TCM berasaskan kepada najis, tidak menghairankan bahawa amalan turun temurun yang diwarisi itu tetap masih diamalkan sehingga kini, walaupun manusia zaman sekarang mengalami perkembangan yang jauh ketara daripada aspek sains dan teknologi.
Majoriti buku atau catatan yang membincangkan tentang amalan TCM pasti berjaya merekodkan penggunaan najis sebagai salah satu kandungan ubat, sama ada dalam bentuk najis cair atau najis yang telah dikeringkan.
Buku seperti 'Zhou Hou Bei Ji Fang' yang ditulis pada tahun 300-400, 'The Four Medical Tantras' dan 'Compendium of Materia Medica' yang ditulis oleh Li Shizhen, seorang pakar perubatan ketika zaman pemerintahan Dinasti Ming - semuanya membuktikan keberkesanan pelbagai jenis najis yang diadunkan dengan bahan-bahan herba untuk digunakan sebagai ubat sapu atau diambil secara oral.
Penggunaan bahan najis dalam era moden
Antara ubat-ubatan China yang mempunyai najis dan masih lagi digunakan sehingga kini adalah wu-ling-zhi, jiu-fen dan hei-bing-pian.
Yang paling popular sudah pastilah ubat yang dinamakan wu-ling-zhi - merupakan sejenis ubat yang dibuat dengan menggunakan najis daripada tupai terbang, dipercayai mampu melancarkan peredaran darah.
Ubat tersebut juga dikatakan sesuai untuk menjadi 'suplemen' tambahan kepada perkembangan kanak-kanak yang mengalami masalah tumbesaran. Ramai wanita China mengamalkan pengambilan wu-ling-zhi bagi membantu mengurangkan rasa sakit semasa datang bulan.
Rekod kajian berkenaan sistem ubat-ubatan tradisional masyarakat China yang direkodkan dalam buku 'Chinese Pharmacopoeia' menunjukkan sehingga kini, 18 jenis ubat-ubatan masih lagi menggunakan najis daripada pelbagai jenis haiwan dan binatang secara meluas.
Antara haiwan lain yang najisnya digunakan berikutan khasiat yang ada adalah ayam belanda, ayam, burung murai, kuda, keldai, kerbau, musang, babi hutan, tikus, arnab dan manusia.
Manusia? Betul ke?
Penggunaan najis manusia dalam perubatan China
Dalam rekod sejarah TCM, khasnya dalam buku 'Zhou Hou Bei Ji Fang' ada disebutkan tentang satu kes bagaimana berlakunya masalah cirit-birit dalam skala besar menyerang masyarakat China, ketika era pemerintahan Dinasti Jin Timur.
Bagi menyelesaikan wabak penyakit yang melanda, pakar perubatan menghasilkan ubat yang dinamakan sebagai 'Huang-Long Tang' atau 'campuran Huang-Long', dalam bahasa Inggeris digelarkan sebagai 'Yellow Dragon Decoction.'
Campuran Huang-Long dibuat berdasarkan kepada bahan utamanya iaitu najis manusia sihat yang diambil sebelum diadunkan dengan bahan-bahan lain bagi menghasilkan penawar. Ini kerana pengamal perubatan China zaman dahulu percaya sakit cirit-birit berpunca daripada jangkitan yang berlaku bahagian dalam usus seseorang.
Jadi cara terbaik untuk menghapuskan jangkitan, adalah dengan mengadunkan najis seseorang yang sihat untuk diminum agar berlakunya proses pertukaran atau 'transplantation' di antara kandungan usus tercemar dengan kandungan usus bersih.
Kandungan air dalam najis manusia yang diambil dikatakan sangat mujarab dalam meredakan masalah cirit birit, seterusnya mengurangkan kesan demam panas dan merendahkan kadar toksin dalam badan.
Berbeza dengan kandungan ubat-ubatan lain yang telah melalui proses pengeringan, Huang Long Tang pada zaman tersebut perlu diambil secara 'semulajadi', jadi pakar perubatan mereka akan memastikan kandungan najis yang diadunkan masih lagi baru dan segar.
Apa yang mengagumkan, idea untuk menghasilkan 'Huang-Long Tang' yang diasaskan oleh seorang pakar perubatan China bernama Ge Hong 1700 tahun dahulu, kini telah dimodenkan dan menjadi salah satu teknik perubatan moden; diistilahkan sebagai 'fecal microbiota transplantation.'
Apa yang membezakannya adalah cara pengambilannya. Dalam ilmu perubatan moden, proses transplant dilakukan dengan menggunakan tiub melalui mulut atau kolonoskopi melalui saluran dubur.
Teknik Ge Hong pula memerlukan pesakitnya mengambilnya seperti dia sedang minum sup.
Rujukan