Tradisi hari raya dekad ini jika kita bandingkan dengan beberapa dekad terdahulu, jauh berubah tradisinya.
Walaupun kemeriahan berkumpul di antara sanak-saudara itu masih dirasa, ada banyak kenangan manis raya zaman dahulu kini sudah tidak boleh lagi dialami generasi muda. Apa yang dulu bergelar tradisi, kini sudah tidak lagi diamal setiap kali tibanya Aidilfitri.
BESARKAN TEKS A- A+
Sekiranya kita bandingkan raya dua ke tiga dekad dahulu dengan raya sekarang pun banyak bezanya, apa agaknya yang akan terjadi pada tradisi raya di masa akan datang? Berikut adalah lima ramalan kami bagaimana raya di masa akan datang berubah, seiring dengan perubahan masa.
1. Duit raya pakai QR atau matawang kripto
Zaman kita sekarang ni pun, kita dah boleh ke mana-mana tanpa membawa sekeping pun wang ringgit berbentuk kertas. Semua urusan transaksi boleh dilakukan dalam bentuk digital sama ada dalam bentuk kad tradisional, perbankan dalam talian, imbasan QR atau penggunaan dompet wang digital.
Budak-budak yang hadir untuk beraya di masa akan datangpun besar kemungkinan tak lagi akan membawa dompet, sebaliknya hanya akan datang beraya dengan cetakan QR masing-masing.
Tuan rumah nak bagi duit raya? Imbas saja kod dan tekan berapa nak diberikan sama ada dalam bentuk ringgit ataupun matawang kripto. Silap-silap di masa akan datang, sampul duit raya tu pun dah boleh dicetak terus kod QR di atasnya yang akan dibawa setiap kanak-kanak ke sana ke mari.
Senang untuk tuan rumah secara simbolik masuk duit dalam sampul walaupun semuanya berlaku secara digital .
2. Beraya dalam metaverse
Latihan ibadah haji dalam dunia meta!
Metaverse atau dunia meta adalah antara teknologi yang sangat menarik untuk diikuti perkembangannya dan dalam masa yang sama agak menakutkan jika disalah guna. Bolehkah seseorang beraya dalam dunia meta? Besar kemungkinan boleh.
Bukan semua orang berkelapangan untuk ke rumah keluarga yang jauh bukan? Bagi individu yang mungkin perlu bertugas atau bekerja, dunia meta boleh menjadi ganti melepaskan rindu nak beraya.
Apatah sekarang teknologi untuk anda mengimbas dan mereka bentuk kediaman anda ke dalam bentuk maya sudah jadi semakin mudah; hanya memerlukan peranti telefon pintar atau tablet untuk anda membina kediaman maya anda yang realistik.
Anda imbas kediaman anda, jemput sanak-saudara yang tak dapat bertemu muka masuk ke dalam ruangan maya itu dan saling bermaafan secara virtual. Mesti meriah!
3. TV hanya tayang live sanak saudara
Buka TV zaman sekarang memang menyakitkan hati. Iklan saja 24 jam.
TV sendiri kini dah berevolusi beralih fungsinya, menjadi sebuah kotak pintar di mana kita semakin bebas memilih sendiri kandungannya tanpa perlu menghadap apa yang ditentukan pengendali siaran.
Dengan pembangunan TV yang semakin pintar dilengkapi dengan mikrofon dan kamera, kita berkuasa penuh tentukan apa yang akan dipapar. Apa lagi nak ditayangkan ketika hari raya kalau bukan video keluarga kita yang jauh, secara langsung di kaca TV kita?
Selain dapat mengeratkan hubungan, siaran secara live juga membolehkan interaksi berlaku secara banyak hala. Dua atau lebih jamuan raya yang diadakan di beberapa lokasi berbeza, dapat disatukan melalui siaran langsung yang dikongsi bersama.
Menonton rancangan, drama dan filem raya akan jadi sesuatu yang kuno di masa akan datang, sama seperti bagaimana masyarakat kita tidak lagi menonton rancangan sarkas yang satu masa dulu menjadi tontonan tetap setiap pagi hari raya.
4. 'Pulang ke desa' tidak lagi tepat istilahnya
Untuk penulis yang duduk di Semenanjung Malaysia, berjalanlah ke mana-mana negeri pun pasti nampak pembangunan pesat yang dijalankan.
Desa dan kampung yang satu masa dulu sunyi, dah jadi lebih komersial. Pasaraya hiper dah dibuka, restoran makanan segera dah semakin banyak. Kawasan kediaman jenis taman lebih banyak naik berbanding orang kampung membina rumah sendiri atas tanah masing-masing.
Orang-orang kampung yang dah berusia ramai juga lebih senang menjual tanah kepada pemaju, untuk dimajukan sama ada tujuan komersial atau binaan kediaman kerana generasi lebih muda lebih berminat duduk dalam kawasan bandar.
Kita masih boleh kata istilah pulang ke kampung atau pulang ke desa relevan ketika ini, tetapi tanpa kita sedari ramai sebenarnya yang dah ketiadaan kampung masing-masing akibat pemergian atuk nenek yang dikasihi.
Bila anda rasa istilah balik kampung akan jadi sesuatu yang hanya tinggal nostalgia, berdasarkan kepada perubahan hidup anda sendiri? Kami yakin makin ramai yang raya nanti ni sebenarnya 'balik taman', tapi terpaksalah menyedapkan diri nak kata juga balik kampung.
5. Pulang beraya naik kereta terbang
Kami tak tahu apa yang sedang berlaku kepada projek kapal terbang syarikat tempatan, yang pernah kecoh satu masa dahulu.
Tetapi penulis ingin mengajukan kepada anda satu soalan - pernahkah anda membayangkan suasana pulang beraya dengan kereta terbang? Selepas projek tersebut diumumkan, itulah yang bermain difikiran penulis sebenarnya.
Bayangkan kita beramai-ramai terbang pulang ke kampung (atau taman) halaman, bertemu sanak saudara yang jauh - tetapi disebabkan kita terbang, perjalanan pun hanya mengambil masa lebih singkat.
Tak perlu lagi kita mendengar keluhan pengguna jalan dan lebuh raya menghadap jalan sesak. Rancangan perjalanan juga menjadi lebih mudah dan kita hanya perlu mengikut jadual perjalanan udara yang ditetapkan kerajaan.
Masalah kos tol yang tinggi? Dengan kereta terbang, tol sudah pupus melainkan kerajaan berjaya menemui kaedah membina tol udara. Yang penting, pandulah dengan cermat dan jangan terburu-buru semasa memotong.
Dek mudahnya nak ke mana-mana, atuk nenek pun berkemungkinan tak ada di rumah semasa ketibaan anak cucu. Sempat pula mereka pergi melancong ke Bali dan pesan kepada semua, bahawa mereka akan pulang ke Malaysia betul-betul sebelum solat sunat Hari Raya.