Kredit foto: Instagram Adira & Instagram Akademi Fantasia
Penyanyi Adira tidak menganggap isu peribadi menjadi punca kepada gangguan persembahannya di Konsert AF Megastar Ahad lalu.
Bagaimanapun, Adira akui dia mengalami masalah menghafal lirik Ikut Rentakku (nyanyian asal Jaclyn Victor) hingga mengganggu konsentrasi ketika membuat persembahan.
Meskipun kecewa kerana menjadi antara peserta terawal yang tersingkir, namun hakikatnya dia sudah meramalkan markah rendah yang diperoleh berdasarkan persembahan yang tidak segah peserta-peserta lain.
Kredit foto: Instagram Adira
Sebenarnya banyak faktor juga mengganggu saya pada malam itu tetapi saya menafikan ia melibatkan masalah peribadi. Saya agak struggle untuk menghafal lirik sebenarnya, jadi ia sedikit terganggu. Selebihnya saya akui sudah memberikan yang terbaik tetapi tetap melakukan beberapa kesilapan ketika persembahan. Saya agak kecewa dengan penyingkiran saya malam ini tetapi sudah dapat mengagak kerana bintang lain hebat-hebat belaka.
Sumber: Astro Gempak
Adira membuat kenyataan tersebut selepas penyingkirannya bersama Azhar di Konsert AF Megastar pada Ahad.
Terdahulu, suami Adira, Dato' Red menimbulkan kontroversi kerana dikatakan mempunyai hubungan cinta dengan aktres Nonny Nadirah.
Dalam pada itu, Adira berkata, dia berniat untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian selepas melahirkan anak beberapa bulan lalu.
Bagaimanapun, penerbitan rakaman singlenya tertangguh kerana belum menemui lagu yang menepati citarasa.
Kredit foto: Instagram Adira
Saya memang mahu comeback selepas bersalin anak pertama beberapa bulan lalu. Jadi selepas ini saya akan mengeluarkan sebuah single terbaharu dengan genre pop. Namun pemilihan lagu masih dilakukan dan saya belum berjumpa dengan lagu yang benar-benar sesuai dengan saya.
Sumber: Astro Gempak
Di penghujung konsert Ahad lalu, Adira terpaksa berpuas hati dengan jumlah markah 29.3 peratus yang meletakkannya di kedudukan kedua dari bawah. Manakala Azhar mengumpul markah tercorot sebanyak 17.1 peratus.
Keputusan diadili berdasarkan format 60 peratus markah juri profesional dan 40 peratus undian penonton melalui SMS dan laman web.
Juri profesional terdiri daripada dua juri tetap iaitu pengarah muzik Datuk Ramli MS dan guru vokal Syafinaz Selamat, selain juri undangan minggu ini iaitu Datuk Norman Abdul Halim.
Minggu hadapan bakal menyaksikan persaingan 10 peserta yang tinggal iaitu Marsha, Bob, Ewal, Idayu, Shahir, Syamel, Amir Jahari, Indah Ruhaila, Sufi Rashid dan Amir.
AF Megastar ke udara setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria.