Pada 29 April 1945, Hitler yang bersembunyi di Berlin menyaksikan empayarnya runtuh apabila menerima berita bahawa Benito Mussolini telah mati.
Hitler bukanlah terkejut kerana kehilangan sekutu tetapi bagaimana cara Mussolini menemui ajalnya. Diktator Itali yang ditangkap ketika cuba melarikan diri ke Switzerland itu telah ditembak dan diseret ke sebuah lapangan luas di bandar Milan.
BESARKAN TEKS A- A+
Orang ramai yang marah telah menendang dan meludah tubuh Mussonili sebelum mayatnya digantung terbalik menggunakan cakuk daging.
Keesokan harinya, Tentera Merah Soviet berjaya mara ke bandar Berlin. Bimbang dia akan mengalami nasib yang sama, Hitler telah menggigit salah satu pil sianida dan menembak kepalanya sendiri. Mayat diktator itu ditemui pihak Soviet dua hari kemudian.
Ramai menyimpulkan bahawa Hitler terlepas daripada kejahatannya dengan mudah. Dia tidak perlu diadili setelah menyebabkan puluhan juta nyawa terkorban, cedera dan merana.
Andainya Hitler ditangkap hidup-hidup dan dipenjara ratusan tahun sekalipun, sudah tentu dia menemui ajal sebelum menerima hukuman yang setimpal.
Hukuman lama dalam tempoh singkat
Begitu juga dengan penjenayah berat pada hari ini. Sebagai contoh, penjenayah yang disabitkan dengan pelbagai kesalahan serius sehingga menerima hukuman penjara seumur hidup mungkin dilihat tidak setimpal. Ini kerana kebanyakan negara menghadkan hukuman penjara maksimum sehingga 25 hingga 30 tahun sahaja.
Bagi pesalah yang dijatuhkan hukuman mati pula, ramai yang membuat rayuan supaya hukuman mereka ditukarkan kepada penjara seumur hidup. Malah, ada negara yang telah menghapuskan hukuman mati ke atas banduan.
Namun, sekumpulan saintis berpendapat bahawa bioteknologi pada masa hadapan dapat membuatkan banduan menerima hukuman penjara yang sangat lama tanpa meninggal dunia.
Adalah mustahil untuk menjadikan seseorang itu hidup abadi dan menjalani hukuman penjara yang sangat lama tetapi teknologi futuristik mungkin mampu mengubah bentuk hukuman.
Ahli falsafah, Dr. Rebecca Roache, yang mengetuai sekumpulan cendiakawan di University of Oxford berpendapat bahawa bioteknologi masa hadapan boleh digunakan untuk menipu fikiran seorang banduan bahawa mereka telah menjalani hukuman penjara yang sangat lama.
Dr. Rebecca Roache
Menurutnya lagi, terdapat sejumlah ubat atau dadah psikoaktif yang boleh mengganggu deria masa seseorang dan membuatkan mereka berasa masa sedang berlalu dengan begitu perlahan.
Memandangkan syarikat bioteknologi membelanjakan berbilion-bilion untuk pembangunan teknologi pada hari ini, tidak mustahil untuk mereka membangunkan pil atau cecair yang boleh membuatkan seseorang banduan merasai hukuman penjara yang lama dalam tempoh yang singkat.
Teknologi masa hadapan ini mungkin tidak begitu jauh di hadapan kita. Pada tahun 2014, ahli sains saraf mengenalpasti neurotransmitter yang dipanggil GABA yang menyumbang kepada persepsi kita mengenai masa.
1,000 tahun dalam masa 8 jam setengah
Dr. Roache juga menerangkan senario lain bagaimana teknologi boleh membantu banduan merasai pengalaman dipenjara 1,000 tahun dalam masa yang singkat.
Di blognya, Dr. Roache berpendapat bahawa teknologi masa hadapan mungkin membolehkan kita memuat naik ingatan seseorang ke dalam komputer dan memanipulasi bahagian otak yang berfungsi merasai masa.
Menurut penilaian pasukannya, kaedah kedua ini boleh membuatkan seorang banduan itu merasai hukuman yang lebih lama dalam masa yang sangat singkat berbanding kaedah pertama.
Memuat naik minda penjenayah dan mempercepatkannya sejuta kali lebih laju daripada biasa boleh membuatkan mereka merasai pengalaman dipenjara selama 1,000 tahun hanya dalam masa lapan jam setengah sahaja.
Kaedah ini mungkin jauh lebih murah berbanding menghasilkan ubat-ubatan yang mampu memanjangkan hayat manusia. Ia juga menjimatkan masa berbanding ubat-ubatan yang perlu diaplikasikan mengikut tempoh tertentu.
Selain menjimatkan wang pembayar cukai, penjenayah juga mempunyai banyak masa untuk memulakan kehidupan baru yang lebih baik.
Masalah yang mungkin timbul
Sekiranya idea ini berjaya dilakukan suatu hari ini, ia mungkin akan mempunyai masalah yang rumit berkaitan identiti peribadi seseorang itu. Ramai pengkaji yang menulis mengenai identiti peribadi tertanya-tanya adakah identiti penjenayah kekal sama jika kedua-dua kaedah ini digunakan.
Walaupun tubuhnya kekal sama, pemikirannya mereka tetap berjalan. Jika seorang banduan itu dijatuhkan hukuman ketika berusia 30 tahun, mindanya yang merasai pengalaman selama ratusan tahun akan menjadikannya individu yang berbesa sama sekali.
Banduan itu mungkin melalui hukuman atas kesalahan yang tidak dapat diingatinya sama sekali. Ia seperti menghukum seseorang itu atas kesalahan orang lain.
Menurut Dr. Roache, persoalan mengenai teknologi ini sangat menarik kerana ia memaksa kita untuk memikirkan semula pandangan kita mengenai hukuman.
"Teknologi ini mungkin dilihat sesetengah pihak sebagai tidak berperikemanusiaan tetapi adakah ia bagus jika kita memenjarakan seseorang itu secara nyata sebahagian besar kehidupannya di dunia?" soal Dr. Roache.
Dr. Roache berpendapat bahawa adalah lebih baik untuk memanipulasi otak banduan dan membebaskan mereka berbanding mengurung mereka buat masa yang lama.
Tujuan pasukannya memikirkan tentang teknologi ini bukanlah semata-mata untuk mewujudkan suatu bentuk hukuman pada masa hadapan. Mereka lebih mementingkan bagaimana hukuman yang digunakan pada hari ini memberi kesan di masa hadapan.