Negara kita dikejutkan berita penangkapan seorang penyanyi nasyid berpengaruh, yang didapati memiliki dan menjalankan aktiviti penanaman pokok ganja; jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.
Apa yang lebih mengejutkan adalah tindakan penyanyi tersebut secara terbuka merayu seorang tokoh politik muda negara, agar meneruskan usaha memperjuangkan hak menanam ganja di kalangan warga kita.
BESARKAN TEKS A- A+
Dadah memang telah lama menjadi satu aspek masalah sosial yang besar, namun saban tahun laporan berkenaan statistik penagih tidak menampakkan perubahan ketara.
Berbeza majoriti negara lain, Portugal mengambil jalan berbeza dalam memerangi dadah. Mereka tidak mengharamkan, malah membenarkan warga mereka menikmati apa saja jenis dadah yang ada.
Apa kesannya perubahan ini kepada rakyat mereka?
Penagih bukan penjenayah
Sekitar dekad 90-an, masalah dadah Portugal berada dalam situasi yang sangat meruncing.
Lebih 1% populasi mereka mengalami ketagihan heroin yang menyumbang kepada jumlah penghidap virus HIV tertinggi, jika semua negara Kesatuan Eropah diambil kira. Kempen memerangi dadah yang dilaksanakan dua dekad, bukan saja menelan belanja tinggi bahkan tidak membantu masalah ketagihan yang ada.
Walaupun realitinya kadar penagihan di Portugal tidaklah seteruk negara-negara lain, namun jenis dadah yang mereka ambil dianggap dadah berat; daripada kategori candu, amphetamine atau kokain membawa kepada banyak isu berbeza.
Menyedari berdepan pertarungan yang tak mungkin dimenangi dengan kekerasan, kerajaan Portugal pada tahun 1998 melantik sebuah jawatankuasa yang dibarisi 11 orang individu pelbagai bidang iaitu bidang perubatan, psikologi, aktivis kemanusiaan dan undang-undang bagi merangka strategi baru menangani masalah ketagihan Portugal.
Diketuai pakar perubatan bernama Joao Goulao yang bertindak sebagai koordinator, panel ini mencadangkan satu perubahan drastik; 'bagaimana sekiranya Portugal berhenti melihat penagih dadah sebagai seorang penjenayah, sebaliknya melihat mereka sebagai seorang pesakit?'
Langkah berani kerajaan Portugal mengubah persepsi
Atas visi tersebut, panel itu mengambil masa lebih 8 bulan untuk mengkaji dan membentangkan hasil dapatan mereka.
Apa yang unik, hasil kajian itu secara jelas mencadangkan agar kerajaan Portugal membenarkan pemilikan dan penggunaan semua jenis dadah (ya, semua) sebagai langkah terbaik.
Selain itu, cadangan agar kerajaan Portugal agar mengubah taktik agar tidak lagi menghabiskan dana menjejaki dan menghukum penagih dadah, sebaliknya memfokuskan usaha kepada melumpuhkan gerakan pengedaran dan penjualan dadah diberikan.
Kempen kesedaran, pembukaan pasukan khas dan pusat khidmat masyarakat yang membantu golongan penagih serta penganjuran aktiviti yang melibatkan penagih dijadikan keutamaan.
Bagi barisan panel terlibat, pengambilan dadah harus dilihat bukan sebagai satu jenayah berat; kerana masyarakat Portugal perlu dididik untuk memahami hujah utama - kenapa seseorang itu mengambil dadah?
Hukuman berbentuk kurungan seperti penjara disimpulkan tidak berkesan dalam merawat masalah ketagihan, sebaliknya hanya menyebabkan tahap kesihatan seseorang penagih lebih teruk dan dia akan 'membalas' dengan cara negatif apa yang telah dilaluinya, selepas dihukum.
Lebih penting - panel itu juga membangkitkan lagi satu soalan kepada kerajaan Portugal; 'sekiranya menghisap dadah itu satu jenayah berat, bagaimana penagih mampu mendapatkan bantuan sekiranya mereka boleh didakwa jika mengaku mereka menagih dadah?'
Berdasarkan kepada prinsip-prinsip ini kerajaan Portugal meminda undang-undang mereka, tidak lagi akan mendakwa dan menghukum mana-mana penagih dadah, bermula dalam tahun 2000. Memiliki dadah dan menggunakannya dihalalkan kerajaan Portugal.
Boleh menagih tetapi tidak boleh mengedar
Sebagai perincian dasar baru ini, satu garis panduan diperkenalkan untuk membezakan 'seorang penagih' dan 'seorang pengedar', kerana mengedar dadah masih dikategorikan sebagai satu perbuatan jenayah.
Bagi membantu masyarakat mereka satu garis panduan diperkenalkan mengikut kategori dan jenis dadah yang dimiliki.
Untuk bergelar 'penagih', seseorang individu hanya boleh memiliki ganja tidak melebihi 25 gram. Kokain 2 gram. Heroin 1 gram. LSD atau ekstasi dalam bentuk pil? Tidak melebihi 10 biji. Ada beberapa lagi kategori dadah dengan had minima berbeza diperkenalkan untuk seorang penagih 'selamat' menyimpannya.
Hasil pimpinannya, Joao Goulao dilantik mengepalai Institut Dadah dan Ketagihan Dadah Portugal (IDT) yang bertanggungjawab melaksanakan semua dasar baru berkenaan dadah di Portugal dalam aspek penyeliaan penagih.
Bermula tahun 2005, IDT cergas menjalankan program diagnosis mengenalpasti lokasi ketagihan paling kritikal di Portugal, di mana program-program berkenaan kesedaran bahaya dadah akan mula digerakkan. Berbeza dengan kempen bersifat kebangsaan yang biasa dianjurkan negara lain, program anjuran IDT lebih bersifat peribadi.
Unit-unit kecil petugas akan dihantar ke kawasan-kawasan sasaran termasuklah ke kelab malam dan disko, untuk mengenalpasti individu penagih, mengumpulkan data berkenaan mereka seterusnya mencadangkan program pemulihan yang sesuai.
Kaedah ini dipilih kerana berdasarkan maklumbalas yang diterima dari negara-negara lain, kempen kesedaran dadah berskala besar hanya akan menyebabkan rasa ingin tahu di kalangan ahli masyarakat timbul, seterusnya membawa kepada peningkatan kelahiran penagih baru.
Dengan berhubung secara terus, IDT dapat meminimakan masalah ini dan mewujudkan hubungan dengan individu bermasalah secara terus, tanpa mereka rasa curiga atau takut untuk berbicara berkenaan masalah mereka secara terbuka.
Perang yang dimenangi dengan berhenti menghukum
Adalah menjadi sesuatu pemandangan biasa bagi petugas IDT berlegar di kawasan yang diketahui sarang dadah.
Dengan membawa bersama mereka bekalan kit khas yang mengandungi picagari, air suling, tisu sanitasi, asid sitrik dan juga kondom untuk memastikan penagih dapat mengambil dadah dengan selamat, kit-kit yang disediakan itu akan dihadiahkan kepada penagih-penagih yang berjaya ditemui.
Sekiranya sarang penagih ditemui kosong tidak berpenghuni, petugas IDT akan meninggalkan kit-kit itu di kawasan sarang beserta risalah berkenaan keburukan pengambilan dadah, sebagai langkah kecil mencipta kesedaran dalam diri penagih.
Pasti anda bertanya adakah semua perubahan ini membawa kesan positif?
Kadar kematian penagih akibat lebihan dos di Portugal menampakkan penurunan ketara selepas pengenalan dasar ini. Dalam tempoh 10 tahun, jumlah penagih yang direkodkan mati akibat lebihan dos di kalangan individu berusia 15 ke 24 tahun secara puratanya lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Masih ingat berkenaan kadar penghidap HIV di Portugal? Pada tahun 2001, Portugal menyumbang 1,287 penghidap HIV akibat penggunaan dadah. Pada tahun 2019 angka ini jatuh kepada hanya 16 orang. Kadar penagih yang menghidap penyakit AIDS juga turun mendadak daripada 518 pada tahun 2000 kepada 13 dalam tahun 2019.
Yang paling membanggakan, jumlah penagih yang berusaha untuk mendapatkan rawatan ketagihan mereka naik 60% daripada tahun 1998 hingga tahun 2011, kerana mereka tidak lagi takut untuk mengaku mereka ada masalah ketagihan.
Walaupun ada pengkritik menyifatkan 'kejayaan' dasar baru Portugal ini sebenarnya dibantu tradisi masyarakat mereka yang memang agak toleran dengan penggunaan dadah, model yang dibangunkan Portugal ini sudah mula menjadi acuan beberapa buah kerajaan berbeza.
Kerajaan tempatan Oregon di Amerika Syarikat ketika ini sudah berjaya memperkenalkan dasar baru membenarkan pemilikan dan penggunaan dadah untuk tujuan peribadi, dengan hanya denda kecil dan sesi kaunseling akan menjadi hukuman mereka yang ditahan.
Kerajaan Norway sejak tahun 2017 sedang berusaha memperkenalkan pindaan undang-undang serupa seperti yang telah diperkenalkan Portugal, namun berdepan masalah ketiadaan jumlah sokongan mencukupi bagi membolehkan pelaksanaannya.
Pembentangan dasar baru ini baru saja ditolak di Parlimen Norway tetapi pihak kerajaan Norway dikatakan akan mencuba lagi membawa usul tersebut.
Bagaimana dengan kita? Adakah anda merasakan program pemulihan yang dijalankan di negara kita cukup efektif dalam mengembalikan kembali diri penagih?
Atau mungkin anda merasakan kerajaan Malaysia perlu membenarkan sahaja penggunaan dadah, tanpa perlu penagih menanggung stigma yang biasa dipegang masyarakat kita?
Pada pendapat anda, adakah perubahan drastik yang agak berjaya dilakukan di Portugal, mampu dilakukan di Malaysia?
Rujukan