Kredit foto: Instagram Ariff Bahran & Instagram Astro Gempak
Semakin melonjak naik menerusi lagu Kata Akhirmu, penyanyi Ariff Bahran, ditanya adakah dia mempunyai masalah hubungan dengan teman seangkatan, Haqiem Rusli sebagaimana didakwa sesetengah pihak baru-baru ini.
Mengulas isu itu, Ariff, 20, berkata, kenyataan berunsurkan provokasi yang ditimbulkan sewaktu rancangan realiti Big Stage minggu pertama, Ahad lalu, hanyalah sekadar jenaka.
Kredit foto: Instagram Ariff Bahran
"Tidak ada istilah bergaduh atau saya mengugut produksi sampai tidak mahu masuk program Big Stage kalau ada Haqiem Rusli.
"Itu semua sekadar gurauan ketika rakaman video awal ujibakat bersama produksi Big Stage.
"Saya cakap dalam nada bergurau yang saya kurang yakin dengan diri sendiri kalau ada Haqiem sebab saya tahu keupayaan dan kehebatan dia dalam sesebuah pertandingan.
"Kami berkawan rapat dan masih baik," katanya kepada Astro Gempak.
Realitinya juga, kata Ariff, mereka kekal berhubung sehingga kini.
Terdahulu, Faizal Tahir selaku juri tetap mempersoalkan kenyataannya dalam sebuah trivia berkenaan keengganan bertanding sekiranya Haqiem turut serta.
Ia lantas dianggap isu serius hingga Ariff diminta Faizal agar mengubah mentaliti untuk lebih berdaya saing.
Dalam pada itu, Ariff menjadi peserta dengan mata terendah hingga nyaris tersingkir daripada persaingan, bagaimanapun tiada penyingkiran dilakukan dalam konsert suiung itu.
Minggu hadapan Ariff bakal mempertaruhkan lagu Sejarah Mungkin Berulang (nyanyian asal New Boyz) bersempena tema Lit Throwback disaingi sembilan lagi peserta lain iaitu Tajul, Afieq Shazwan, Andi Bernadee, Syafiq Farhain, Baby Shima, Fara Hezel, Sarah Suhairi, Sissy Iman dan Wani Kayrie.
Big Stage ke udara setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria, dibawakan secara langsung daripada Auditorium MBSA Shah Alam.