Kredit foto: Instagram Sufi Rashid & Instagram Haqiem Rusli
Haqiem Rusli yang sedang 'hangat' dengan kisah gimik depresi, sekali lagi terpalit kontroversi apabila lagu terbaharunya, Selamat Tinggal Sayang dikatakan Sufi Rashid sebagai diceduk daripada karya beliau tanpa meminta kebenaran.
Walaupun menyatakan rasa besar hati, Sufi atau nama penuhnya Mohammad Sufie Rashid, 27, menegaskan beliau juga terkesan kerana penyanyi muda itu tidak memberikan kredit kepadanya selaku penggubah lagu.
"Pertamanya tahniah buat adik @haqiemrusli98_ atas pelancaran lagu baru. Saya berbesar hati lagu itu menggunakan 'intro' yang saya cipta.
"Saya tidak marah tetapi lebih kepada sedih yang saya tidak diberi kredit, sekurang-kurangnya," tulisnya di Instagram.
Dalam masa sama, Sufi memberitahu kerja-kerja penggubahan lagu bukanlah sesuatu yang mudah, malah dia juga tidak sewenang-wenangnya menyerahkan karya kepada pihak lain.
Begitupun dia juga tidak sekalipun berhasrat menuntut bayaran daripada penyanyi Tergantung Sepi itu.
Kredit foto: Instagram Sufi Rashid
"Menggubah keseluruhan 4:02 demo itu sehingga mendapat 3.2 juta. Ia adalah usaha yang saya tidak diberi sewenang-wenangnya kepada sesiapa.
"Idea bukan percuma, adik! Anda tahu saya tidak akan minta sesen pun dari anda.
"Anda atau penyusun lagu anda hanya boleh meminta kebenaran saya dan saya tiada masalah dengannya," katanya lagi.
Di akhirnya, bekas peserta Akademi Fantasia 2015 ini berharap penyanyi remaja itu tidak mempermainkan isu kemurungan kerana ia bukanlah masalah yang dipinta untuk dialami oleh sesiapa.
"Akhir sekali saya harap anda bukan benar-benar mengalami kemurungan kerana tiada siapa mahukannya kerana ia boleh membunuh anda. Selamat maju jaya," katanya.
Dalam pada itu, Haqiem menerusi ruangan komen mempertahankan dirinya dengan mengatakan Sufi cuba membuka ruang kepada pihak lain untuk terus mengecam beliau.
"Cukup-cukuplah membuka ruang lagi untuk mereka mengecam aku Sufi, abangku. Tolonglah," luah Haqiem.