Oleh pada 02 Mar 2018 kategori

Sumber foto: MH Online

Dutch Lady Malaysia mengakui bahawa keseluruhan produknya adalah selamat untuk digunakan dan memenuhi piawai keselamatan makanan Malaysia dan antarabangsa.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan perkara itu dengan mengeluarkan keputusan ujian rasmi, Selasa lalu.

Dutch Lady Malaysia menerusi sebuah kenyataan memberitahu, keputusan makmal KKM adalah 100% selaras dengan ujian bebas Dutch Lady Malaysia yang dibuat oleh makmal-makmal yang diakreditasi di Malaysia dan Singapura.

“Kami merasa sukacita dengan keputusan yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan yang menyokong penemuan kami sebelum ini bahawa tiada sebarang kekurangan dari segi kualiti produk dan susu kami adalah selamat untuk diminum. Kami juga gembira bahawa penyiasatan kami turut mengesahkan bahawa semua produk Dutch Lady yang dijual di Malaysia adalah produk yang sahih,” ujar Pengarah Urusan Dutch Lady Malaysia, Tarang Gupta.

Menurut penyiasatan yang dibuat oleh Dutch Lady, ia sekaligus mengesahkan bahawa hanya produk Dutch Lady yang sahih sahaja dijual di pasaran.

“Dutch Lady telah beroperasi di Malaysia sejak 55 tahun dan kesihatan serta kesejahteraan para pengguna sentiasa menjadi keutamaan kami. Kami mengucapkan terima kasih kepada para pengguna atas sokongan dan kepercayaan mereka yang berterusan terhadap jenama kami,” tambahnya. 

Jika anda mempunyai sebarang persoalan berkaitan produk Dutch Lady, anda boleh menghubungi talian Dutch Lady Careline di 1800-88-1191, melalui e-mel di dutchladycareline@frieslandcampina.com atau layari www.dutchlady.com.my/milkbatchinvestigation untuk maklumat terperinci.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah produk Dutch Lady mengakibatkan alahan terhadap bayi yang meminumnya.

Berikutan itu, Dutch Lady bertindak mengambil sampel susu itu dan membuat ujian persendirian dan juga menghantar ke makmal KKM bagi tujuan pengesahan kualiti produk.

Sumber berita: Kosmo Online & Astro Awani




Hakcipta iluminasi.com (2017)