Pengeringan sungai adalah fenomena alam yang berlaku secara semulajadi. Sebagai sumber penting dalam kehidupan seharian, perkara ini tentulah membimbangkan. Bagaimana kalau semua tasik dan lautan di dunia ini kering selama-lamanya?
Perkara ini ada kami kupas dalam artikel Apakah Akan Terjadi Sekiranya Lautan Menjadi Kering? dengan memberikan beberapa kemungkinan yang akan berlaku sekiranya perkara ini benar-benar terjadi.
BESARKAN TEKS A- A+
Sebelum ini, kami juga ada memberikan senarai 7 sungai yang semakin mengering di seluruh dunia. Salah satu sungai yang kami muatkan dalam senarai ini adalah Tasik Mead yang terletak di Nevada, Amerika Syarikat. Menariknya, pengeringan air di sungai ini telah membawa kepada penemuan bandar lama, St. Thomas yang dahulunya tenggelam.
Sejarah penempatajn St. Thomas
Penempatan St. Thomas diasaskan sekitar tahun 1865 yang akhirnya menjadi sebahagian daripada kawasan Tasik Mead di Nevada. Ketika zaman kemuncaknya, kawasan ini pernah mencapai 500 orang penduduk dengan aktiviti ekonomi utama adalah pertanian.
Sewaktu penempatan ini diasaskan, penduduk menyangka penempatan mereka berada dalam kawasan daerah Utah. Walau bagaimanapun, setelah kajian dan proses persempadanan semula, kawasan mereka diisytiharkan berada dalam kawasan Nevada dan bukannya Utah seperti disangka.
Akibatnya, pihak pemerintah telah mengarahkan penduduk St. Thomas untuk membayar cukai kepada mereka. Bukan itu sahaja, pihak pemerintah turut menuntut bayaran cukai bagi 5 tahun sebelumnya iaitu semenjak penempatan itu diwujudkan disitu.
Selain itu, pihak pemerintah juga meminta bayaran ini dilakukan dengan emas sahaja. Hal ini menyebabkan kemarahan penduduk sehingga memaksa mereka meninggalkan kawasan tersebut tanpa membayar satu sen pun kepada pihak pemerintah.
Kesemua penduduk telah bertindak memusnahkan rumah dan membakar tanaman mereka sebelum meninggalkan kawasan tersebut pada tahun 1871. Mereka dikatakan telah membina semula beberapa buah penempatan sepanjang lembah yang dikenali sebagai Long Valley. Kini, bandar-bandar itu dikenali sebagai Glendale, Orderville dan Mount Carmel.
Setelah penduduk asal St. Thomas berpindah keluar, beberapa orang telah datang ke kawasan ini dan mengambil alih kawasan ini. Namun, terdapat juga beberapa penduduk asal yang terus menetap di sini seperti Daniel Bonelli yang bercucuk tanam, melombong dan menguruskan bisnes pengangutan feri di Sungai Colorado.
Pembinaan Empangan Hoover
Pada tahun 1928, Presiden Amerika Syarikat pada ketika itu Calvin Coolidge telah menandatangani sebuah perjanjian yang membenarkan pembinaan sebuah empangan yang dikenali sebagai Empangan Boulder (kini dikenali sebaga Empangan Hoover).
Setelah siapnya empangan ini, Tasik Mead mula penuh dengan takungan air sehingga memaksa bandar kecil ini terpaksa dikosongkan buat selama-lamanya. Semenjak itu, kawasan ini terus ditenggelami air dan tenggelam dalam lipatan sejarah.
Kini, Tasik Mead semakin mengering dan dikatakan berada di paras terendah dalam masa 40 tahun. Ini membawa kepada penemuan semula "bandar hantu" St. Thomas. Berikutan fenomena ini, bandar kecil ini dijangka akan terus wujud untuk beberapa tahun lagi sebelum tenggelam semula apabila tasik ini mula mendapat bekalan air daripada salji gunung Rocky Mountain yang semakin mencair.
Kawasan ini kini diletakkan di bawah seliaan National Park Service dan diisytiharkan sebagai kawasan sejarah yang mesti dipelihara. Pelancong boleh datang melawat kawasan ini dimana mereka boleh melihat kesan-kesan binaan bangunan yang dahulunya terdapat disini antaranya sekolah, pejabat pos, gereja, kedai dan sebagainya.
Kredit: