Kisah manusia terperangkap dalam gua bukanlah sesuatu yang baru. Kes terbaru adalah pada tahun 2018 yang lalu dimana sekumpulan kanak-kanak bersama jurulatih mereka daripada sebuah pasukan bola sepak telah terperangkap dalam Gua Tham Luang di daerah Chiang Rai, Thailand.
Pada mulanya, mereka hanya berseronok mahu meneroka gua tersebut sebelum hujan lebat memaksa mereka menyelamatkan diri dengan melarkan diri ke kawasan yang lebih tinggi di dalam gua itu. Malangnya, mereka terperangkap apabila hujan mula memenuhi lantai gua itu.
BESARKAN TEKS A- A+
Nasib mereka baik apabila kesemua berjaya dibawa keluar dengan selamat melalui satu operasi menyelamat yang sangat kritikal. Walaupun kesemua mangsa berjaya dibawa keluar, seorang penyelam terkorban dalam usaha menyelamat ini. Kes ini mendapat perhatian antarabangsa dan ianya dianggap sebagai sebuah tradegi yang tidak disangka.
Meneroka gua sebagai satu hobi
Seperti pengembara hutan (hiker) yang gemar mendaki gunung dan menjelajah hutan sebagai hobi, terdapat juga manusia yang menjadikan aktiviti meneroka atau menjelajah gua sebagai satu hobi atau aktiviti rekreasi. Dalam bahasa Inggeris, mereka ini digelar spelunker.
Bagi mereka, setiap gua menjanjikan keunikan dan cabaran yang tersendiri untuk diterokai. Malah, mereka juga terpaksa menghadapi pelbagai risiko seperti kecederaan dan paling menakutkan sekali adalah terperangkap dalam gua.
Dalam sejarah juga, telah beberapa kali terjadi kes dimana peneroka gua ini terperangkap dalam gua akibat terjatuh atau hujan lebat yang menutup laluan keluar. Antaranya adalah peristiwa awal tahun 2018 lalu dimana sekumpulan peneroka gua terperangkap dalam Gua Hoelloch yang terletak di kawasan pergunungan Switzerland sehingga mereka terpaksa menunggu sehingga 1 minggu untuk diselamatkan.
Namun, dalam banyak-banyak kes atau tragedi terperangkap dalam gua, satu peristiwa yang paling diingati tentulah tragedi kematian seorang lelaki bernama John Edward Jones yang terperangkap di Gua Nutty Cave, Utah, Amerika Syarikat pada tahun 2009.
Tersilap masuk lubang gua
Sejak kecil lagi, John Edward Jones dan adiknya sering mengikut bapa mereka meneroka gua dan minat ini terus berkembang sehinggalah mereka dewasa. Salah satu impiannya adalah meneroka Gua Nutty Putty yang terkenal dengan cabaran laluannya yang sempit.
Oleh itu, pada malam 24 November 2009, John yang ketika itu berumur 29 bersama adiknya Josh, 23 bersama 9 lagi rakan dan ahli keluarga mereka telah meneruskan niat mereka meneroka gua ini sempena waktu cuti.
Segalanya kelihatan sempurna tanpa sebarang masalah untuk sejam pertama perjalanan mereka di dalam gua tersebut. Gua Nutty Putty ini terkenal dengan satu laluan masuk yang kecil dan sempit yang dikenali sebagai Birth Canal. Ianya hanya boleh dimasuki oleh peneroka gua yang benar-benar berani kerana laluannya begitu sukar dan sempit.
Tidak lama kemudian, John menemui satu ruangan kecil yang disangkanya adalah laluan Birth Canal yang sering diperkatakan. Perlahan-lahan, beliau cuba masuk ke dalam laluan tersebut dengan mendahulukan bahagian kepalanya diikuti kakinya. Tidak lama kemudian, beliau sedar bahawa lubang tersebut bukanlah laluan Birth Canal yang disangkanya.
Laluan tersebut terlalu sempit sehingga beliau tidak mampu untuk memusingkan badannya dan keluar daripada laluan tersebut. Paling menyukarkan, lubang tersebut menghala ke bawah bermakna kepalanya berada lebih bawah daripada kakinya. Ruang-ruang kecil yang ada disekeliling tubuhnya hanya cukup untuk membolehkan beliau bernafas.
Adiknya, Josh merupakan individu pertama yang menyedari abangnya sudah terperangkap dalam laluan sempit itu. Dalam usahanya mengeluarkan dirio, John tergelincir masuk ke bahagian yang lebih dalam dan tangannya juga sudah terhimpap dengan dadanya menyebabkan beliau tidak dapat bergerak.
Usaha menyelamat yang sangat sukar
Tanpa berlengah masa, Josh bergegas keluar daripada gua untuk mendapatkan bantuan. Individu pertama yang tiba adalah seorang wanita bernama Susie Motola yang tiba kira-kira 3 jam kemudian. Dalam tempoh 24 jam, kira-kira 100 orang penyelamat sudah berada disitu dalam usaha mengeluarkan John.
Pelbagai usaha dan strategi digunakan, termasuklah penggunaan sistem takal dan tali bagi menarik John keluar. Namun keadaan yang terlalu sempit dan permukaan laluan tersebut yang tidak sekata menggagalkan usaha mereka.
Pasukan penyelamat sedar mereka harus bertindak pantas. John diberikan air dan makanan melalui "injection drip" dan beliau turut disuntik ubat penenang bagi menenangkan dirinya. Keadaan dirinya yang terbalik amat bahaya memandangkan jantungnya perlu bekerja keras untuk mengepam darah ke seluruh badan.
Kira-kira 27 jam selepas beliau tersekat dalam laluan sempit tersebut, pasukan penyelamat akhirnya mengisytiharkan beliau mati akibat serangan jantung (cardiac arrest). Satu pengakhiran yang mendukacitakan bagi John dan pasukan penyelamat.
Penutupan Gua Nutty Putty buat selama-lamanya
Pintu masuk Gua Nutty Putty yang ditutup dengan konkrit
Hasil perbincangan antara keluarganya dan pihak pentadbiran gua, mereka akhirnya mencapai kata sepakat untuk membiarkan jasad John dibiarkan dalam lubang maut tersebut. Mereka juga setuju untuk menutup Gua Nutty Puttu buat selama-lamanya bagi mengelakkan akan ada invidividu yang akan menjadi korban di gua itu.
Satu minggu selepas kejadian korban ini, gua ini akhirnya telah ditutup buat selama-lamanya. Gua ini akhirnya menjadi kubur kekal bagi John. Pada tahun 2016, seorang produser filem Isaac Halasima telah menerbitkan sebuah filem bertajuk "The Last Descent" yang mendapat inspirasi daripada kisah tragedi John Jones ini.
Kredit: