1 September 2018 adalah hari di mana negara kita kembali semula kepada sistem cukai jualan dan perkhidmatan (CJP) atau lebih dikenali dengan nama bahasa Inggerisnya, SST atau sales and service tax.
Bagi penulis, apa yang berlaku berkenaan perubahan sistem cukai ini sebenarnya adalah sesuatu yang membimbangkan serta sedikit sebanyak mengecewakan hati penulis. Ini kerana kita semua sudah sedia maklum, apabila dibandingkan di antara kedua-dua jenis sistem cukai di antara kekuatan dan kelemahannya - sangat jelas GST adalah sistem yang lebih baik untuk jangka masa panjang.
BESARKAN TEKS A- A+
Tetapi pendapat ini tidak diterima pakai kerajaan ketika ini, sedangkan kementerian sendiri mengakui sistem GST adalah jauh lebih telus serta komprehensif berbanding SST. Tidaklah diketahui apa sebab sebenar kerajaan kita sanggup mengambil risiko sebesar ini adalam memacu arah ekonomi negara kita.
Mungkin ego ahli politik, mungkin kerana tidak mahu dikritik gagal menunaikan janji, mungkin juga SST memang benar-benar lebih baik, tidaklah dapat kita ketahui. Walau demikian, pengalaman kita dulu menggunakan SST pada pendapat penulis boleh membuatkan kita sudah sedia maklum apa akan berlaku pada negara kita selepas ini.
Persoalan penting - kenapa GST dimansuhkan terus?
Salah satu langkah paling mengelirukan yang diambil oleh kerajaan adalah dengan pengambilan langkah untuk memansuhkan terus akta GST. Alasan langkah itu diambil agar kerajaan tidak lagi 'tertarik' untuk mengubah semula sistem SST kepada GST apabila perlu di kemudian hari, sangat sukar untuk diterima.
Kesedaran mengenai kepentingan membayar cukai di kalangan rakyat negara kita juga semakin hari semakin bertambah. Semakin ramai yang sedar keperluan untuk setiap orang menyumbang kepada pembangunan negara, walaupun pada kadar yang sedikit.
Cadangan agar sistem GST diteruskan tetapi dikenakan pengurangan pada kadar 3% atau 4% seperti tidak langsung diendahkan oleh kerajaan kita, kerana kerajaan dilihat sudah berpegang untuk memperkenalkan sistem SST semula.
Ada menteri mengatakan orang ramai tidak mahu tahu lagi berapa nilai cukai yang dipungut dalam resit, kerana kita hanya mahu tahu harga barang turun. Realitinya, selepas beberapa tahun GST diperkenalkan sangat jelas sudah pun berlaku pengawalan harga yang agak seimbang pada rekod penulis, berdasarkan harga-harga barang yang penulis perlu beli setiap bulan.
Memang diakui semasa awal-awal pengenalan GST dulu, berlaku lonjakan harga yang agak besar menyebabkan harga barang meningkat. Namun semua itu sudah pun diramalkan akan berlaku disebabkan keperluan untuk peniaga menjual terlebih dahulu stok-stok pra-GST yang masih mengandungi nilai SST (dahulu) di dalamnya.
Lama-kelamaan, setelah setahun lebih dapat dilihat sendiri harga barang menjadi stabil semula serta berlaku penurunan bagi beberapa jenis barang yang penulis kerap gunakan seperti sabun basuh baju dan barang-barang mentah.
Kita sudah melalui fasa 'teething problem' berkaitan GST tetapi apakan daya, perubahan kerajaan menyebabkan dasar cukai negara berubah.
Kemampanan masa depan negara
Salah satu perkara yang jelas akan berlaku perubahan selepas pengenalan SST ini adalah pengenalan semula beberapa jenis cukai lama yang telah dimansuhkan kerajaan sebelum ini. Logiknya mudah - jumlah kutipan GST hampir dua kali ganda jumlah kutipan SST jadi hendak tak hendak kerajaan perlu mencari jalan bagi mengawal defisit ini.
Langkah yang diambil bolehlah dibahagikan kepada dua cara, sama ada pengenalan cukai-cukai lain seperti 'cukai soda' yang digembar-gemburkan akan dilakukan ataupun yang lebih memeritkan - pengurangan bajet kerajaan bagi merendahkan keperluan kewangan negara.
Setakat ini, kenaikan gaji tahunan kakitangan awam yang telah pun diumumkan tahun lepas dibatalkan. Bonus mereka juga telah direndahkan serta dipotong bagi kakitangan bergred 41 ke atas. Penjawat awam lantikan politik pula pada awalnya seramai 17 ribu orang sudah diberhentikan, termasuklah guru-guru KAFA di seluruh Malaysia tetapi kerajaan baru mengumumkan langkah untuk perlantikan semula mereka kelak.
Bantuan BR1M yang disalurkan sebagai salah satu cara kerajaan dahulu membantu orang ramai mengawal kesan pemotongan subsidi pukal seperti subsidi petrol, gula dan minyak masak juga dikhabarkan akan dikaji atau dihentikan.
Ura-ura serta desas-desus berkenaan rasa kurang senang melihat jumlah peruntukan kerajaan setiap tahun yang terlalu banyak digunakan sebagai kos pengurusan juga nampaknya akan menjadi salah satu pilihan kerajaan dalam menyeimbangkan bajet tanpa GST.
Namun, persoalannya adakah kita mampu menangani kejatuhan harga minyak sekali lagi seandainya berlaku?
Simpanan untuk waktu susah
Kejatuhan harga minyak tempohari sebenarnya menyebabkan negara kita kehilangan sumber yang agak banyak juga, diburukkan lagi dengan kejatuhan nilai ringgit berbanding dollar, matawang utama dagangan minyak dunia.
Penulis tidak tahu apakah kesannya kelak sekiranya negara kita terpaksa melalui sekali lagi kejatuhan harga minyak mendadak seperti yang telah berlaku. Kita sudah mengetahui kesan buruk yang boleh berlaku pada sesebuah negara sekiranya mereka terlalu bergantung kepada minyak sebagai sumber ekonomi dan minyak merupakan bahagian yang besar dalam pai pendapatan negara kita.
Memperkenalkan kembali SST, penulis tegaskan di sini adalah sama seperti dua langkah ke belakang. Kerajaan bakal mengalami defisit, jumlah pembayar cukai yang culas akan kembali meningkat dan pengguna pula tidak takrif berapakah jumlah sebenar cukai yang mereka bayar.
Negara kita juga mungkin akan mengalami kelembapan ekonomi serta pembangunan, dengan projek-projek pembangunan yang sudah dirancang atau sudah berjalan, terpaksa ditangguh atau dihentikan terus.
Kesimpulan
Selepas hampir tiga tahun GST dilaksanakan tempoh hari, pada penulis kita sepatutnya sedang dalam proses menambah baik serta memperbetulkan kekurangan sistem GST seperti kelemahan bayaran balik nilai input yang menjadi keluhan peniaga-peniaga, bukan dengan menukar semula kepada SST.
Penulis yakin kerajaan sekarang sangat berkebolehan dalam merangka ekonomi negara, diketuai oleh Perdana Menteri yang berpengalaman serta terkenal sebagai bapa pembangunan Malaysia. Namun kemampuan kerajaan untuk terus menerajui negara pasti akan terbatas tanpa mendapat suntikan dana yang sepatutnya.
Dengan barisan pemimpin yang nyata berketrampilan ini, siling potensi Malaysia sudah semakin meningkat. Sayangnya, penulis tak sempat hendak melihat sejauh mana negara kita boleh dimajukan dengan sistem GST, dalam tangan kerajaan baru Malaysia.