Walau sebaik mana pun sesebuah negara, pandangan yang lebih popular selalunya adalah pandangan negatif tentang negara sendiri. Perkara ini menjadi lebih hebat diperkatakan sekiranya tiba waktu-waktu tertentu, seperti pilihanraya yang bakal berlangsung atau keluarnya statistik yang membuktikan keburukan negara, khasnya di Malaysia.

Realitinya persepsi buruk terhadap negara sendiri ini sebenarnya bukan saja berlaku di kalangan masyarakat kita, malahan berlaku di mana-mana negara sekalipun, tak kiralah negara itu negara membangun atau negara maju sekalipun.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mungkin itu adalah tabiat manusia yang memang suka mengeluh atau mencari salah dan perkara ini sukar untuk dielakkan berlaku. Bagaimanapun, mencari salah tetap perlu dilakukan dengan berilmu. Jadi di sini kami kongsikan untuk anda 3 kategori ekonomi sesebuah negara yang perlu anda tahu, sebagai rujukan kepada anda untuk memahami dengan lebih dalam kenapa ada pihak yang mengkritik atau memuji ekonomi negara kita.

1. Negara Tahap 1 "Dipacu faktor asas"

ekonomi rakyat bangladesh

Negara tahap 1 digelarkan negara-negara yang masih bergantung dengan nilai 'faktor' atau 'factor driven'.

Negara-negara ini adalah negara yang mempunyai kebergantungan tinggi pada pengunaan buruh berkemahiran rendah, ekonominya masih lagi bergantung dengan sumber asli dan sumber alam serta model-model perniagaan yang mengutamakan kos keuntungan selepas jualan dalam urusan jual beli produk berbentuk fizikal dan komoditi.

Oleh kerana ekonomi negara itu banyak bergantung dengan tenaga buruh, pendapatan rakyatnya juga lebih banyak disokong melalui penawaran gaji yang rendah. Antara negara Asia yang masih diletakkan di dalam kategori tahap 1 adalah Bangladesh, Cambodia dan Laos.

Untuk ke tahap 2 pula, wujud satu tahap transisi di antara tahap 1 ke tahap 2, di mana sesebuah negara itu sudah berjaya keluar daripada model ekonomi tahap 1, tetapi belum benar-benar mencapai tahap kedua. Pada tahun 2017, tiga negara Asia Tenggara di letakkan dalam kategori ini iaitu Brunei, Filipina dan Vietnam.

2. Negara Tahap 2 "Dipacu tahap efisien"

ciptaan basikal kayuh

Apa itu negara yang mencapai kadar ekonomi di tahap 2? Model ekonomi yang dinamakan 'efficiency-driven' atau 'dipacu tahap efisien' adalah tahap di mana sesebuah negara sudah mula membangunkan sistem yang memudahkan sesuatu proses serta mula mencari jalan bagaimana hendak meningkatkan kualiti produk atau servis yang dikeluarkan, ekoran pendapatan yang meningkat - tanpa menaikkan kos atau harga yang ditawarkan. Antara negara Asia yang diletakkan di bawah kategori ini, adalah Indonesia dan Thailand.

Di mana Malaysia?

Negara kita berada dalam kategori sedang transisi ke tahap ketiga ketika ini dan menjadi satu-satunya negara Asia Tenggara yang berada dalam kelompok transisi ke tahap ketiga. Antara negara lain yang turut sama berada seiring dengan negara kita adalah Turki, Brazil, Lebanon, Oman, Arab Saudi dan beberapa negara lain. Secara keseluruhannya, ada 20 buah negara di letak di dalam kategori ini.

3. Negara tahap 3 "Dipacu inovasi"

pelabuhan singapura pemacu ekonomi

Tahap ketiga ekonomi sesebuah negara adalah fasa terakhir yang dipercayai mampu dicapai sesebuah negara. Pada tahap ketiga ini, ekonomi sesebuah negara itu lebih banyak bergantung dengan tahap inovasi yang mampu dilakukan dalam negara tersebut.

Tahap 'innovation-driven' atau dipacu inovasi ini memerlukan sesebuah negara mempunyai ruang perniagaan yang bukan sahaja sekadar mampu bersaing, tetapi mampu menawarkan produk, servis, model perniagaan atau proses yang unik atau baru. Keperluan berinovasi diperlukan bagi menampung permintaan yang lebih tinggi daripada masyarakat tempatan, bagi mengekalkan kadar pendapatan yang tinggi disebabkan oleh penawaran gaji yang lebih baik, berbanding tahap-tahap sebelum itu.

Setakat ini, hanya satu saja negara di Asia Tenggara yang berjaya mencapai tahap ini iaitu Singapura, menjadikan Singapura sebaris dengan Austalia, Kanada, Finland, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Korea Selatan dan negara-negara lain yang sudah berjaya membawa negara mereka ke tahap ini.

Ke mana hala tuju Malaysia?

perusahaan industri berat di malaysia

Walaupun ada pihak yang mengatakan negara kita sedang menuju ke arah kehancuran, hakikatnya ekonomi Malaysia sebenarnya sedang berada dalam landasan yang sangat baik ketika ini.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh World Economic Forum bagi tahun 2017/2018, negara kita sebenarnya berada pada kedudukan ke 23 antara semua ekonomi dunia daripada segi pembangunan, meletakkan kita sebagai negara paling atas dalam kategori negara sedang membangun. Enam negara Asia Pasifik yang mencatatkan pembangunan ekonomi lebih baik adalah Singapura, Hong Kong, Jepun, New Zealand, Taiwan dan Australia.

Wujud beberapa isu yang perlu ditangani sekiranya negara kita ingin maju mencapai tahap negara inovasi. Laporan tersebut membentangkan masih terdapat kelemahan ketara dalam kekurangan bajet kerajaan untuk pembangunan, yang akan melambatkan kenaikan tahap ekonomi Malaysia. Negara kita juga mempunyai peratusan pekerja wanita yang rendah berbanding lelaki.

Bagaimanapun, kekuatan Malaysia pula terletak pada infrastruktur yang kukuh, diperkukuhkan lagi dengan penetrasi telekomunikasi yang meluas serta kemudahan internet yang baik, menjadikan Malaysia bersedia untuk menerima kemasukan teknologi baru.

Dari aspek inovasi, negara kita juga mencatatkan nilai yang positif dengan kekuatan negara kita terletak pada kapasiti masyarakat kita dalam inovasi, bantuan kerajaan dalam membantu membangunkan produk berteknologi tinggi serta jumlah saintis dan jurutera yang ramai.

Berapa tahun lagi Malaysia perlukan untuk diiktiraf sebagai sebuah negara yang mempunyai ekonomi tahap ketiga? Kita tidak tahu. Apa yang kita tahu - sains, teknologi dan inovasi adalah tiga cabang penting yang dikenali sebagai tunggak utama untuk membawa kita ke tahap itu, jadi latihlah diri kita dan anak-anak kita generasi masa depan negara, untuk cenderung menjadikan tiga cabang fokus itu sebagai teras pendidikan mereka.

Rujukan

Laporan WEF 2017-2018 (PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)