Masalah kesesakan jalan raya di negara kita, khasnya di kawasan bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bharu memang memberi kesan buruk kepada kualiti hidup kita.
Kebanyakan individu beranggapan kaedah paling mudah bagi 'menyelesaikan' masalah ini, selain daripada menambah baik sistem pengangkutan awam - adalah dengan menaikkan harga minyak petrol dan diesel.
BESARKAN TEKS A- A+
Dengan harapan kenaikan itu akan menyebabkan lebih ramai orang mula berhenti memandu seterusnya mengurangkan jumlah kenderaan atas jalan raya. Bunyinya seakan-akan senang bukan? Realitinya apa yang kita jangka akan berlaku, sebaliknya jarang berlaku. Ini kerana sudah banyak penyelidikan yang dijalankan menemui perkara sama.
Harga minyak tinggi tidak menurunkan jumlah kenderaan! Persoalannya, kenapa?
Harga minyak tidak elastik dengan permintaan
Dalam memahami hubungan di antara harga sesuatu barangan dengan permintaan, ramai antara kita sudah memahami lebih tinggi sesuatu permintaan terhadap sesuatu barangan - harganya akan naik seiring dengan permintaan.
Di sebaliknya juga sama, seandainya permintaan terhadap sesuatu barangan itu menurun, harga barangan itu berkemungkinan besar akan turun bagi memastikan jualannya tetap berjalan.
Itu kefahaman secara menyeluruh di antara hubungan permintaan dengan harga atau kos. Apa yang perlu kita sedari - harga petrol dan diesel tidak mengikut formula ini kerana dari segi teorinya permintaan pengguna kepada minyak tidak bersifat elastik berbanding harganya.
Sekiranya ada berlaku penurunan sekalipun terhadap permintaan, penurunan yang dapat dicatatkan adalah terlalu kecil sehingga tidak menampakkan kesan ketara ke atas tabiat atau rutin penggunaan kenderaan orang ramai.
Disebabkan oleh keperluan orang ramai untuk bergerak menjalankan tugas-tugas wajib mereka seperti memandu ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah dan keluar membeli barangan keperluan - kos kenaikan harga minyak yang tinggi sebenarnya tidak akan menghalang orang menghidupkan enjin dan memandu.
Situasi ini sudah dapat dilihat dibeberapa buah negara yang mengalami kenaikan harga minyak petrol atau diesel setiap liter yang ketara. Antara negara yang menampakkan tabiat serupa dan telah berjaya diteliti, adalah Amerika Syarikat.
Pengguna tidak boleh berhenti beli petrol
Di Amerika Syarikat, pola kepenggunaan di kalangan pengguna petrol dan diesel telah berjaya dikaji dengan jelas - menampakkan bahawa pengguna sanggup 'mengorbankan' wang ringgit untuk terus kekal memandu - walaupun minyak naik menggila.
Punca utama kepada tabiat ini adalah disebabkan tiadanya alternatif atau ganti kepada pembelian minyak untuk kenderaan. Ramai warga negara tersebut tidak melihat sistem pengangkutan awam sebagai satu alternatif yang baik, khasnya di kawasan-kawasan luar bandar.
Pembelian kereta yang lebih rendah kadar penggunaan minyak juga tidak dilihat sebagai satu opsyen yang baik, kerana proses pertukaran kenderaan itu sendiri sudah menjadi satu beban kewangan yang perlu ditanggung.
Majoriti pemandu pula masih sukar untuk beralih ke kenderaan berasaskan elektrik disebabkan oleh kekangan masing-masing, khasnya melibatkan kewangan.
Keengganan rakyat Amerika Syarikat untuk mengubah corak hidup disebabkan oleh kenaikan harga minyak, menyebabkan permintaan terhadap bahan bakar tersebut tidak mengalami penurunan yang berkadaran dengan harga.
Pandangan ini disokong oleh pengalaman mereka yang pernah merasai sendiri harga bahan bakar lebih tinggi, sekitar tahun 2008 di mana harga minyak di Amerika Syarikat mencecah paras paling tinggi.
Apa yang sangat menakutkan, diramalkan seandainya tidak ada penurunan kepada kadar permintaan bekalan minyak baik petrol ataupun diesel dapat dilihat dalam pasaran Amerika Syarikat - penganalisis berpendapat harga yang ada boleh naik lebih tinggi kerana pengeluar tahu pengguna secara majoritinya boleh menyerap kesan kenaikan yang ada dalam perbelanjaan kewangan mereka.
Adakah pasaran kita sama seperti Amerika Syarikat?
Untuk mengatakan dapatan yang ditemui di Amerika Syarikat akan berlaku dalam corak yang sama di negara kita, kurang tepat.
Kita mempunyai pasaran yang dikawal selia kerajaan, yang bertindak menentukan harga untuk setiap satu liter bahan bakar berbanding di sana yang mengamalkan sistem pasaran terbuka.
Tetapi untuk setiap pilihan pengguna bagi mengutamakan dana dibelanjakan kepada perbelanjaan minyak untuk membolehkan kita terus memandu, pasti ada sektor atau bahagian lain yang akan terkesan akibat pilihan tersebut.
Orang ramai sudah pastilah akan berfikir dua kali sebelum keluar melancong.
Bajet untuk berbelanja membeli barangan keperluan harian akan perlu dipotong. Peruntukan yang sebelum ini digunakan untuk berhibur seperti melanggan akses TV strim atau menonton wayang tidak lagi mampu disediakan.
Kami yakin ramai yang akan berhenti menyertai skim insurans atau takaful sekiranya bajet kita sesak, kerana itulah perkara paling senang nak dikorbankan.
Semua pengorbanan ini akan dijadikan keutamaan kerana ramai menyimpan pandangan lebih senang memandu sendiri, berbanding melakukan perubahan ke atas rutin memandu harian.
Apa jalan keluar kepada kita?
Idea utama yang dikatakan penyelesaian kepada semua masalah kebergantungan kita, kepada pembelian minyak - adalah dengan membangunkan fasiliti sistem pengangkutan awam yang lebih menyeluruh.
Bagaimanapun pendapat ini hanya terpakai di bandar-bandar utama. Bagi kawasan luar bandar di mana kadar kepadatan penduduknya rendah, tidak banyak syarikat pengendali pengangkutan mahu mengambil risiko membuka perkhidmatan.
Di bandar-bandar utama pula, perancangan prasarana pengangkutan awam kita entah kenapalah lebih menyusahkan berbanding menyenangkan bagi majoriti kita, daripada aspek masa dan beban kewangan yang perlu kita tanggung.
Kos penulis untuk hadir ke tempat kerja dengan menaiki pengangkutan awam, baik daripada kos tiket dan juga bayaran parkir kenderaan jauh melebihi kos petrol mingguan yang digunakan. Kita juga belum mengambil kira faktor masa, di mana perjalanan boleh menjadi lebih lama disebabkan keperluan untuk transit dari satu lokasi ke satu lokasi dengan berjalan kaki.
Tidak penulis nafikan ramai di antara kita yang mampu menggunakan sistem pengangkutan awam dengan baik setiap hari, tanpa perlu menanggung kos lebih besar berbanding memandu sendiri.
Namun kami yakin setiap pemandu yang bergasak-gasak di atas jalan raya menempuh trafik sesak, ada sebab masing-masing kenapa mereka sanggup memandu berbanding menaiki pengangkutan awam.
Persoalannya di sini seperti yang sudah kami bentangkan - harga petrol yang tinggi walaupun akan memberi kesan kepada tabiat pemandu, tidak memberikan impak lebih besar sehingga membuatkan majoriti pemandu mula beralih menjadi penumpang pengangkutan awam.
Berapa ringgit harga petrol RON95 perlu naik, jika anda rasa penggunaan pengangkutan awam adalah solusi utama kepada masalah kesesakan?
Rujukan
Gasoline prices tend to have little effect on demand for car travel