Seperti yang kita sedia maklum, setiap orang yang beragama Islam wajib untuk beriman kepada Nabi dan Rasul. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Iman At-Tabrani, terdapat 313 rasul yang dilantik oleh Allah, namun jumlah nabi yang wajib kita ketahui ialah seramai 25 orang.

Selain daripada hadis dan Al-quran, terdapat juga beberapa kitab agama samawi lain yang turut berceritakan mengenai kisah nabi dan rasul yang kita imani. Meskipun sedikit berlainan, namun pokok pangkal cerita tersebut tidak lari daripada kisah-kisah yang kita belajar. Untuk tahu dengan lebih lanjut, cuba baca perenggan dibawah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

kisah Korban Nabi Ibrahim

Allah S.W.T telah merekodkan peristiwa korban Nabi Ibrahim dan Ismail dalam surah As-Saffat, ayat 102-109, dimana salah satu ayatnya berbunyi:

Maka ketika anaknya itu sampai bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan mendapati aku dari orang-orang yang sabar.”

 Surah as-saffat, ayat 102.

Mengikut cerita yang disampaikan oleh para agamawan, Nabi Ibrahim pernah mengorban 1000 biri-biri, 300 ekor lembu dan 100 unta. Namun, baginda merasa pengorbanannya tidak cukup,lalu baginda bernazar “...sekiranya aku mempunyai anak lelaki, pasti aku akan menyembelihnya kerana Allah. Pada ketika itu, Nabi Ibrahim masih belum dikurniakan anak dan isterinya Sarah, masih mandul.

Setelah anak sulungnya, Ismail besar, Nabi Ibrahim telah bermimpi bahawa Allah menyeru baginda untuk menunaikan nazarnya. Lalu, tidak lama kemudian Nabi Ibrahim membawa anaknya, Ismail ke Mina untuk dikorbankan. Tetapi, Allah Maha Pengasih telah menggantikan Ismail dengan seekor haiwan sebagai ganti.

Kisah ini turut dirakamkan didalam kitab Bible dan diiimani oleh orang beragama kristian, cuma jalan ceritanya sedikit berbeza.

Dalam Genesis 22:1-18, Tuhan telah menjanjikan Abraham dan isterinya yang sudah tua seorang anak. Beberapa tahun kemudian, isterinya, Rebekah telah melahirkan seorang anak lelaki yang diberi nama Isaac.

Ketika Isaac telah meningkat dewasa, Tuhan telah mengarahkan Abraham untuk menjadikan anaknya Isaac sebagai korban dengan cara dibakar anaknya. Meskipun dilanda kesedihan, Abraham patu dengan perintah Tuhannya dan yakin yang Tuhannya Lebih Mengetahui.

Sebaik sahaja sampai ke sebuah gunung, Abraham ikat Isaac untuk dibakar, namun tindakannya telah dihentikan oleh seorang malaikat yang berkata

“Jangan apa-apakan dia! Jangan apa-apakan budka itu. Aku mengerti yang kau memang takut kepada Tuhanmu kerana kau tidak menyembunyikan satu-satunya anakmu kepadaku”

Kemudian, Tuhan telah menurunkan seekor biri-biri jantan kepada Abraham dan Isaac untuk dijadikan sebagai bahan korban bakar.

Kisah Nabi Zakaria belum mempunyai anak

Seperti Nabi Ibrahim, Nabi Zakaria juga dikurniakan anak pada usia senja.

Nabi Zakaria telah diamanahkan oleh saudaranya untuk mengasuh dan membesarkan seorang anak perempuan yang diberi nama Maryam (bonda kepada Nabi Isa). Kisahnya bermula pada suatu hari, ketika Nabi Zakaria menziarahi Maryam di mihrabnya, baginda terperasaan akan kewujudan makanan dan buah-buahan. Sebahagian daripada buah-buahan tersebut cuma berbuah pada musim tertentu.

Baginda berasa hairan. Maryam tidak pernah meninggalkan tempat ibadatnya, jadi dari mana datangnya buah-buahan tersebut? Untuk memperolehi jawapan, baginda akhirnya bertanya kepada Maryam. Lalu Maryam menjelaskan bahawa semuanya itu berasal daripada Allah, seperti yang diceritakan Allah dalam Surah Ali-‘Imran, ayat 37.

“ Maka Dia (Allah) telah menerimanya dengan baik, membesarkan ya dengan didikan yang baik, dan menyerahkan pemeliharaannya kepada Zakaria. Setiap kali Zakaria masuk menemuinya di mihrab (ruang khusus ibadah), dia dapati ada makanan di sisinya. Dia berkata “Wahai Maryam! Daripada mana engkau peroleh ini?” Dia (Maryam) menjawab, “Itu daripada Allah.” Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki tanpa perhitungan.”

Sepanjang Nabi Zakaria menjaga Maryam, hati baginda terdetik untuk memiliki seorang anak yang mampu meneruskan perjuangan baginda dalam menyampaikan kebenaran kepada Bani Israil. Namun, disebabkan usianya yang lanjut, baginda merasa yang hajatnya itu mustahil.

Tetapi, jawapan yang diberikan Maryam membuatkan hatinya terdetik untuk bermunajat kepada Allah dan memohon agar dikurniakan seorang anak. Tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan kehendak dan kemahuan Allah. Didalam surah Al-Anbiya’, ayat 89-90, Allah berfirman,

 89. “Dan ingatlah kisah Nabi Zakaria a.s, ketika dia berdoa kepada Tuhannya, “Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan aku hidup seorang diri tanpa keturunan dan Engkaulah ahli waris yang terbaik”
 90. “ Maka Kami kabulkan doanya, dan kami anugerahkan kepadanya Yahya serta Kami jadikan isterinya dapat mengndung. Sesungguhnya, mereka bersegera dalam membuat kebaikan dan mereka berdoa kepada Kami dengan penuh berharap dan cemas. Dan mereka orang-orang yang khusyuk kepada kami.”

kelahiran john the baptist

Versi agama Kristian juga menceritakan kisah Nabi Zakaria di dalam the Gospel of Luke.

Menurut Luke1:5-7, Zecharia dan isterinya tidak mempunyai anak dan telah lanjut usia. Setiap ahli keluarga yang mewarisi amanah Raja David perlu bergilir-gilir untuk menjaga Kuil di Jerusalem. Ketika minggu di mana keluarga Zecharia bertugas, seorang malaikat telah muncul dan memberitahu kepadanya yang isteri baginda akan melahirkan seorang anak yang diberi nama John, dan anak ini akan menjadi pemimpin dalam menyebarkan agama Tuhan.

Disebabkan faktor umurnya, Zechariah sukar untuk mempercayai kisah tersebut lalu baginda meminta suatu petunjuk untuk mengesahkan berita tersebut. Malaikat Gabriel pada ketika itu menjawab yang Zechariah tidak akan dapat berbicara sehinggalah hari dimana berita kehamilan tersebut disampaikan.

Kesimpulan

Allah menegaskan dalam Surah Al-Kafirun, ayat 6 bahawa

“Untuk kamu agamamu, dan untukku agamaku”

Perkongsian ini tidak lain tidak bukan, hanyalah bertujuan untuk menambah ilmu pengetahuan. Selain itu, diharapkan dengan ilmu baru ini, kita dapat lebih memahami dan bertoleransi sesama rakyat Malaysia yang berbilang agama.




Hakcipta iluminasi.com (2017)