Kerajaan Malaysia telah menyediakan pelbagai dasar bagi membantu meningkatkan kemasukan tenaga kerja wanita dalam bidang pekerjaan professional dan hasilnya dapat dilihat pada hari ini, apabila semakin ramai wanita berani menceburi bidang professional.
Apa yang menarik untuk dibincangkan di sini adalah sektor manakah didominasi oleh kaum wanita? Berikut adalah 3 sektor perkhidmatan professional berdaftar yang didominasi oleh kaum wanita dan 3sektor lain yang berkemungkinan besar satu hari nanti turut sama dikawal selia oleh wanita secara majoritinya.
BESARKAN TEKS A- A+
6. Pakar Sakit Puan (39.3%)
Dengan kewujudan kesedaran pada orang ramai perlunya golongan wanita bekerja sebagai pakar sakit puan, tidak menghairankan semakin ramai wanita menceburi bidang ini. Walaupun begitu, jumlah pakar sakit puan wanita masih rendah, hanya sekitar 277 orang berdaftar dibandingkan dengan lelaki seramai 428 orang.
5. Psikiatris (42.3%)
Masalah jiwa yang kerap berlaku akibat tekanan memerlukan perhatian seorang pakar bagi melakukan analisa lebih baik. Psikiatris merupakan satu bidang yang memerlukan lebih ramai pakar kerana di Malaysia, hanya terdapat 71 orang pakar psikiatris wanita berdaftar dan 97 orang bagi lelaki.
4. Doktor Perubatan (48.5%)
48.5% Doktor perubatan pada tahun 2015 adalah wanita namun tidak ada data dapat dikongsikan untuk tahun 2016. Namun begitu ini adalah satu petanda baik bahawa golongan wanita semakin ramai berani menceburkan diri dalam bidang perubatan yang memerlukan seseorang itu menumpukan masa dan fokusnya pada pesakit.
3. Peguam (51.9%)
Siapa sangka, bidang peguam kini didominasi oleh wanita? 51.9% peguam berdaftar di negara kita adalah seorang wanita dan jika dibandingkan dengan data pada tahun 2015, berlaku sedikit peningkatan pada jumlah wanita yang memilih peguam sebagai bidang professional.
2. Akauntan (52%)
Akauntan memang menjadi pilihan ramai orang , dengan tawaran gaji yang menarik, bidang akauntan menjadi pilihan wanita sehinggakan lebih ramai akauntan wanita berbanding lelaki. Cuma masalahnya, terlalu ramai pula bilangan akauntan berdaftar direkodkan sehingga menyebabkan persaingan terlalu sengit di kalangan akauntan sendiri.
1. Doktor Gigi (66.8%)
Doktor Gigi memang selalunya wanita di Klinik-Klinik Kerajaan contohnya. Namun tidak disangka wanita mendominasi bidang perubatan pergigian ini secara majoriti 66.8%. Mungkin tangan wanita lebih lembut untuk merawat gigi dan gusi jika dibandingkan dengan tangan lelaki. Seramai 4,457 orang Doktor Pergigian wanita berkhidmat di negara kita jika dibandingkan dengan 2,219 Doktor lelaki.