Kredit foto: Instagram Aishah

Pernah mencetuskan isu kerana tiada pihak yang menaja busananya di Gegar Vaganza (GV4), kini timbul pula kisah sebaliknya, apabila penyanyi Aishah mula menjadi buruan pengeluar pelbagai produk.

Pelantun lagu Camar Yang Pulang ini memberitahu, sejak isu bajunya menjadi kecoh, banyak pihak mula tampil meminta dia menjadi duta produk termasuk pil dan pakej melangsingkan tubuh serta fisioterapi.

"Saya hanya tertawa apabila menerima pelbagai tawaran. Bukan saja baju malah pakej untuk saya kuruskan badan dan sesi fisioterapi.

"Rupanya mereka (penonton) mengikuti perkembangan saya termasuk tahu saya ada masalah sakit lutut," katanya yang dipetik daripada portal BH Online.

Aishah yang merupakan penyanyi kelahiran Jempol, Negeri Sembilan ini mendakwa, dia dikunjungi beratus-ratus khidmat pesanan ringkas (SMS), mesej melalui media sosial dan panggilan telefon daripada pelbagai pihak yang berminat menajanya.

"Saya terkejut sebaik berita mengenai pakaian saya tersebar, ramai yang tampil. Bukan saja secara terus kepada saya, malah ada yang melalui wartawan untuk menyatakan hasrat mereka.

"Saya ucapkan terima kasih kerana ramai yang sudi berkerja dengan saya," katanya.

Sehubungan itu, Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 52, akan membahagikan persalinan setiap minggu daripada beberapa pereka fesyen selagi berpeluang bersaing di pentas GV4.

"Kalau saya bertahan hingga minggu kelapan, saya akan pakai baju mengikut senarai pereka yang berjumpa dengan saya.

"Saya tidak mahu mereka berkecil hati, kalau boleh saya mahu pakai semua, tapi bergantung kepada rezeki saya dalam GV4," katanya.

Mengulas mengenai penampilannya pada awal pertandingan itu yang menjadi pertikaian, Aishah mengaku dia mengambil ringan soal imej selama ini.

"Saya akan lebih serius mengenai penampilan selepas ini. Maklumlah banyak benda baharu... Malah, aplikasi Direct Message (DM) dalam Instagram pun saya baru tahu," katanya sambil ketawa besar.

Tentang persaingan di GV4, Aishah berkata, dia mahu menjadi peserta 'underdog' sekaligus menjanjikan mutu persembahan cemerlang setiap minggu.

"Cabaran utama adalah masa dan kita perlu sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan," katanya.

Malam ini, Aishah bersama rakan seperjuangan lain akan memanaskan pentas GV4 dengan tema 'Berdua Lebih Baik'.

Aishah membawa tugasan lagu lagu Ceritera Cinta, berduet bersama bekas peserta GV musim pertama, Sam Innuendo.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)