Kredit foto: Youtube DivaGojes 17

Penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini, enggan berasa selesa dengan genre muzik yang diketengahkannya kini.

Katanya, dia merancang untuk mempelbagaikan genre muzik untuk single mendatang.

"Alhamdulillah saya bersyukur dengan penerimaan orang ramai untuk single Jampi ini dan saya tidak mahu begitu selesa dengan pencapaiaan sekarang ini.

"Untuk single baharu nanti, saya tidak akan buat yang sama macam Jampi kerana ingin memberikan kelainan kepada pendengar," katanya kepada Astro Gempak.

Hael membuat kenyataan di malam Anugerah Digital Muzik Era 2018 di Galaxy Banquet Hall Sentul, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menerusi acara itu, Hael meraih kemenangan dalam kategori Lagu Viral ERA menerusi Jampi sekaligus menewaskan empat lagu popular iaitu Pematah Hati, Sabar, Senyum dan Pertama Kali.

Dalam pada itu, bekas anggota kumpulan duo, Azhael ini bercadang untuk mengetengahkan muzik rock yang menjadi genre kegemarannya.

Hael atau Hal Husaini Azmi berkata, dia tidak mahu lagu-lagunya hanya bercorak senada.

"Sejujurnya saya minat rock dan akan cuba mengentengahkan genre muzik ini pula.

"Saya mahu lebih meneroka pelbagai genre lain agar muzik yang dibawakan nanti tidak kelihatan satu nada sahaja," katanya.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)