Kredit foto: Instagram Hael Husaini
Penyanyi Jampi, Hael Husaini terpaksa menghampakan permintaan beberapa penyanyi yang mahukan lagu sentuhannya.
Menurut Hael, bukan niatnya 'memilih bulu' tetapi hanya memerlukan masa bagi melengkapkan sesebuah karya lagu bertepatan dengan identiti vokal penyanyi.
"Secara jujurnya memang ada permintaan buat lagu saya terpaksa tolak kerana tidak mahu tergesa-gesa dan gelojoh untuk menghasilkan sesuatu karya.
"Jadi jika ada yang mahu dalam tempoh masa cepat saya terpaksa tolak. Seperti lagu Ayda Jebat dan Stacy yang bakal dilancarkan tidak lama lagi itu pun dibuat dari tahun lepas," katanya kepada Mstar Online.
Hael membuat kenyataan tersebut sewaktu Malam Penghargaan Jampi yang berlangsung di Ruang, Shah Alam pada malam Jumaat.
Nama Hael melonjak naik selepas diumum juara acara tahunan berprestij Anugerah Juara Lagu ke 32 (AJL) yang berlangsung pada 12 Februari lalu.
Dalam pada itu, Hael akui beliau tidak mempunyai simpanan lagu peribadi untuk dirinya serta penyanyi-penyanyi tertentu.
"Saya tidak simpan lagu yang baik untuk diri sendiri, semua yang saya buat mengikut suara artis itu sendiri. Lagu Dia sesuai dengan vokal Dayang Nurfaizah, Nisan Cinta untuk Siti Nordiana dan Jaclyn Victor, manakala Pematah Hati memang khas untuk Nabila Razali.
"Tak mungkin saya nyanyi lagu 'Cumi-Cumi' sebab tidak sesuai pula," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Hael kini dalam proses penghasilan lagu untuk penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
"Saya sudah lama simpan hasrat untuk buat lagu untuk beliau dan baru sekarang ada rezeki itu. Tapi masih lagi dalam proses dan ambil masa sedikit.
"Namun, saya tidak berkecil hati andai lagu yang saya buat itu tidak menepati citarasa beliau dan ditolak kerana ia adalah lumrah bagi semua komposer," ujarnya.
Seramai 100 tetamu hadir memeriahkan majlis berkenaan, terdiri daripada rakan artis, media dan para peminat.
Selebriti yang tampil memberikan sokongan termasuk Wany Hasrita, Nabila Razali, Ara Johari, Ismail Izani, Sissy Iman, Dottie, Amylea Azizan, Fizi Ali dan Shakila Khoriri.
Sumber berita: Mstar